KDN Terus Menindas Wartawan, Penerbit


Oleh Fathi Aris Omar

Kementerian Dalam Negeri masih mengganggu dengan pelbagai taktik halus agar kezaliman penindasannya tidak diketahui ramai. Pegawai-pegawai di bawah unit kawalan penerbitan menghubungi pemegang permit agar tidak membesar-besarkan isu kebebasan akhbar di negara ini.

Kerana itu, pemegang permit “Wasilah” dan “Eksklusif” tidak berani mengeluarkan sebarang kenyataan. Macam-macam alasannya.

Kebimbangan dan ketakutan itu sahaja sudah cukup menunjukkan betapa tertindasnya kaum wartawan di negara ini!

Malah, KDN dengan sesuka hati menelefon mereka, mengugut mereka secara halus dan memujuk mereka dengan pelbagai gula-gula permit – dengan syarat mereka tidak membesar-besarkan isu ini.

Saya percaya tindakan pegawai-pegawai berkenaan “tidak bebas,” (dan mungkin boleh dikatakan “tidak bersalah”) maknanya mereka berbuat demikian selepas ditekan oleh pihak-pihak atasan yang ada kaitannya pemimpin politik Umno dan BN.

Sebab tindakan KDN mengharamkan “Wasilah” dan “Eksklusif” telah menimbulkan isu besar di peringkat antarabangsa. Beberapa kumpulan aktivis media antarabangsa mula berkempen dan membantah tindakan KDN itu.

Mula-mula Jawatankuasa Perlindungan Wartawan (CPJ) yang berpangkalan di New York, kemudiannya disokong oleh rangkaian aktivis media terbesar di dunia, IFEX dan baru-baru ini, oleh kumpulan Wartawan Tanpa Sempadan (RSF), di Paris.

Akhbar-akhbar di negara ini tidak menerbitkan berita ini di negara kita. Sebab akhbar itu sendiri dikawal oleh KDN dan syarikat-syarikat mereka yang pro-BN atau ketua pengarang yang rapat dengan pemimpin negara.

Oleh itu, mereka berkonspirasi menindas wartawan dan media bebas di negara ini. Apabila Detik diharamkan pada Disember dan kemudiannya disahkan secara rasmi, akhbar tidak pernah melaporkannya.

Kini, setelah hampir setahun, berlaku pula siri kedua pengharaman “Eksklusif” dan “Wasilah” dan sekali lagi, akhbar cuba mendiamkan dirinya.

Memang benar rakyat Malaysia tidak menyedari betapa rumit dan mustahaknya isu ini. Tetapi dunia umumnya mengetahui keadaan sebenar kebebasan media di negara ini. CPJ sudah dua tahun berturut-turut mengisytiharkan Perdana Menteri, Mahathir Mamat, sebagai “musuh terburuk kebebasan akhbar” (one of the worst enemies of press). Kita akan pastikan namanya akan terus tersenarai untuk tahun depan. Dan, kita akan pastikan juga nama Menteri Dalam Negeri, Abdullah Badwi, termasuk dalam senarai itu. Jangan harap menteri ini boleh tidur lena melalui penindasan terhadap wartawan, media dan penulis bebas. Kezaliman akan menghantuinya sampai bila-bila.

Fathi Aris Omar merupakan wartawan bebas yang bertugas bersama Malaysiakini.Com. Sebagai aktivis media, pandangan ini tidak mewakili organisasi tempat beliau bertugas.


Iklan : Lawati Laman Web Khas Yang Membicarakan Tentang Penindasan KDN Terhadap Media http://putera_idaman.tripod.com/


Iklan:Akhbar Terbaru "GERAK" (Editor :Ahmad Lutfi Othman )Yang Pasti Mengegarkan Dunia Politik Telah Berada Di Pasaran.Setelah "Kritik" menjatuhkan MB Selangor ,kini mampukah "GERAK" mengubah dunia politik Perlis ."Gerak" akan di edarkan hari ini khususnya di seluruh Lembah Kelang. Untuk keterangan lanjut email kan kepada zabidi_detik@hotmail.com atau hubungi 0192796362 .Pengedar Di Seluruh Negara Di Perlukan! Hubungi Kami Segera !)