MUKTAMAR DAN AGENDA MENGKAFANKAN BN 2004!
Oleh Fathi Baihaqitullah

Saya tertarik dengan demensi baru yang dicetuskan oleh Muktamar Tahunan PAS yang baru berlangsung di Terengganu minggu lalu.  PAS telah melaksanakan muktamar kali ke 46, dengan jayanya dan menetapkan beberapa kesimpulan yang telah diputuskan oleh muktamar itu.
Jika Muktamar PAS yang mengkoreksi kekalahan parti itu dalam pilihanraya umum 1986, telah mencetuskan “sedikit rasa kekecewaan” terhadap kekalahan “menawan” Terengganu yang pada anggapan pemimpin PAS negeri itu boleh ditawan dalam pilihanraya berkenaan, kini sekali lagi ia diadakan setelah Pas berjaya menumpaskan “lawan” tradisinya Umno.
Muktamar PAS pada masa itu, jelas menyalahkan kerjasama parti itu dengan CCC yang dicetus dan diledakkan untuk membuka ruang kepada sokongan orang bukan Islam khasnya dari bangsa Cina di negara ini. Akibat kerjasama itu, PAS Terengganu “kecewa” kerana pada tanggapan politik pemimpin negeri itu, “kerjasama” tersebut telah menggagalkan PAS menawan negeri “bijih hitam” itu.
Kini, PAS Terengganu telahpun menabalkan idolanya, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang sebagai MB Terengganu yang baru, yang telus dan yang berilmu. Banyak pihak menaruh harapan yang tinggi terhadap YAB Tuan Guru dalam mentadbir negeri bahkan mentadbir perjalanan PAS Terengganu dalam keadaan yang penuh tawaduk dan adil. Adil dalam ertikata tidak berat sebelah antara rakyat, antara ahli-ahli dalam parti dan antara pemimpin-pemimpin PAS negeri.
Harapan Muktamar PAS yang diadakan di Terengganu minggu lalu tentunya “harapan” rakyat Malaysia yang inginkan perubahan yang adil untuk kesejahteraan anak cucu kita pada masa depan.
Hakikatnya, perwakilan menerima kenyataan politik baru dan cabaran yang akan dihadapinya pada masa akan datang terutama dalam mengagendakan perjuangan untuk mentalqinkan Umno dan BN dalam pilihanraya umum ke 11 nanti. Sudah tentu, banyak persoalan dan persiapan perlu didahulukan dan dikenalpasti bagi memulakan gerakerja politik yang penuh ketekunan, kepantasan dan kebijaksanaan itu.
Muktamar kali ini telah mengambil keputusan untuk direalisasikan dalam mencapai “keyakinan” untuk mengkafan,  mentalqin, menensan dan mengkuburkan wadah Umno dan BN sebagai wadah reput, busuk dan berulat. Tibalah masanya untuk rakyat negara kita menggantikan BN ini dengan wadah baru yang lebih telus dan relevan dalam perkembangan politik rakyat Malaysia yang bersifat majmuk dengan meningkatkan “kerja keras” semua ahli politik BA dalam semua aspek, semua peringkat dan semua bidang.
Tertarik juga untuk saya mengupas secara ringkas beberapa pernyataan yang dicapai dalam Muktamar PAS minggu lalu.

Pertama: Meningkatkan hubungan dalam Barisan Alternatif dan membangunkan struktur BA bagi menjadikannya alternatif yang berwibawa kepada BN:
Dalam hubungan ini, “hubungan” antara parti harus ditingkatkan dalam semua aspek. Bukan sahaja PAS terpaksa tunduk dengan “reality” persekitaran dalam “mengikat” hubungan ini tetapi parti-parti komponen yang lain seperti KeAdilan harus juga “mengikat” sama hubungan ini dengan memberikan kerjasama secukupnya dengan mengemaskinikan organisasi diperingkat cawangan dan bahagian. Adalah tidak “adil” jika segala kerja-kerja politik hanya dijalankan oleh PAS di satu-satu kawasan tanpa penglibatan sepenuhnya oleh KeAdilan. Perkembangan ini dilihat dibanyak kawasan, KeAdilan seolah-olah “tiada” nakhoda dan kelasi dalam mengendalikan parti itu sebaliknya PAS terpaksa bertungkus-lumus “menunjukkan” kepada massa betapa wujudnya kerjasama itu. Kita khuatir, pada peringkat setahun dua ini, ia dilihat berjaya tetapi kemudiannya “timbul” rasa curiga, jemu, bosan dan kurang adil dengan “persembahan” sedemikian rupa”. Hubungan akrab dalam komponen memang penting seperti yang dikecapi oleh MIC, Umno dan MCA serta Gerakan dalam BN.
Jika PRM dan DAP hanya memiliki sekelompok kecil penyokong, tetapi realitinya berbeza. Ia boleh menjadi “jambatan” bagi orang Cina mendekati komponen BA ini. Malah, aktiviti mereka tidak “menjejaskan” kawasan orang melayu sebaliknya tumpuan diberikan kepada masyarat Cina atau kawasan-kawasan yang majority Cinanya lebih besar dari orang Melayu.
“Krisis” akan berlaku di kawasan bersama PAS dan KeAdilan jika “hubungan” ini tidak difahami. Pengorbanan aktivis PAS bukan sahaja menghulurkan duit ringgit malah masa dan tenaga turut dikorbankan demi menjayakan cita-cita PAS. Namun begitu, banyak kawasan, KeAdilan hanya menumpang “tuah” dari gerakerja berkesan yang dibuat oleh PAS hingga ramai pemimpin parti itu menang dalam pilihanraya lalu dan pada masa yang sama PAS “terpaksa” mengecewakan calon-calon yang sepatutnya bertanding tetapi diambil-alih oleh calon KeAdilan.

Kedua: Mahu memainkan peranan utama bagi meningkatkan  kesedaran politik dan mempelopori perubahan sosial dan politik untuk mengujudkan masyarakat yang lebih terbuka dan demokratik. Ini dapat ditunjukkan melalui peranan Pas yang dominan dalam Parlimen serta usaha menjadikan Kelantan dan Terengganu sebagai negeri model yang terbuka berpandukan kepada  prinsip-prinsip Islam.

Ketiga: Mahu lebih banyak lagi dialog antara ugama dan budaya di Malaysia bagimenjelaskan salah faham terhadap Islam yang di mulakan oleh Umno.

Keempat: Perwakilan juga menekankan keperluan mempertingkatkan sistem maklumat dan pengurusan parti lagi meletakkan parti dalam keadaan terkini, disamping merapatkan jurang maklumat akibatkezaliman kerajaan BN terhadap akhbar Harakah.

Khusus mengenai pengurusan parti:
Pertama: Akan mengambil langkah bagi menentukan kemenangan yang telah dicapai dikekalkan dan dikembangkan ke seleruh negara. Sasarannya ialah kemenangan total.
Kedua: Akan merangka pelan induk bagi memastikan mobilisasi sumber yang optima bagi menamin kemenangan dalam pilihanraya akan datang.
Ketiga: Akan melicinkan jentera parti dari peringkat cawangan hingga ke peringkat tertinggi

Khusus mengenai UMNO/BN, para perwakilan memberikan tekanan berikut:

Pertama: Mengutuk sebarang usaha untuk menggugurkan “Islam” daripada PAS.
Kedua: Mengulang lagi kesediaan Pas untuk bermuzakarah bagi mencari kebenaran.
Ketiga: Mengecam tindakan Umno yang tidak demokratik yang memberikan pinjaman atau geran berdasarkan keahlian dan sokongan mereka kepada Umno sedangkan semuanya adalah warganegara yang turut membayar cukai termasuklah ahli PAS.

PAS telah melalui zaman “memboikot” dan zaman “menggempur” Umno dan BN sejak kepimpinan ulama diperkenalkan. Kepimpinan Haji Yusuf Rawa (Allahyarham) dikenali sebagai zaman “menggempur pemikiran jahiliyyah” dan kemudiannya disambut oleh Presiden yang ada sekarang, Ustaz Fadzil Noor  yang memulakan era “menerang bukan menyerang”.
Demensi baru yang diterima pakai oleh ahli-ahli PAS sekarang tanpa banyak pihak dalam parti “membantah” merupakan asset kepada perkembangan parti dalam negara ini. Kerjasama Pas dengan Semangat 46 tahun 1990 telah mencetuskan ahlinya keluar parti dan menubuhkan Islah dan disatu pihak pula menubuhkan Akim.
Masa depan PAS memimpin BA terserlah jika hubungan akrab dalam komponen ini dapat dipertahankan. Ombak yang melambung tinggi pasti tidak “menghalang” kepada pengeratan hubungan politik yang lebih mantap. Asset yang paling besar pada masa ini ialah “persetujuan” ahli-ahlinya disemua peringkat dalam menggiatkan gabungan BA tanpa bantahan politik yang mengaibkan.