KeADILan Antarabangsa Eropah (KAE)

London   Oxford  Manchester  Birmingham Glasgow  Bristol  Birmingham 

Cardiff  Dublin   Hamburg  Geneva  Brussels  Blois

 

 

 


Kenyataan Media:

 

KeADILan Antarabangsa Eropah Menyeru Rakyat Malaysia Zahirkan Hak Kita Bersuara

MUQADDIMAH

 

Rentetan peristiwa berikutan pemecatan Dato’ Seri Anwar Ibrahim jelas menunjukkan bagaimana kerajaan Barisan Nasional menyalahgunakan segala jentera kerajaan untuk menafikan hak rakyat berkumpul secara aman. Prinsip kebebasan bersuara seperti yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan diperolok-olokkan oleh kerajaan Dr. Mahathir.

 

Kebelakangan ini, pimpinan Barisan Nasional dengan sewenang-wenangnya menggunakan monopoli mereka terhadap media massa untuk menakut-nakutkan rakyat mengenai konsep perhimpunan secara aman. Tindakan TV3 menyamakan rancangan perhimpunan 4 Ogos ini dengan tragedi 13 Mei 1969 adalah tidak bertanggungjawab dan memusnahkan kredibiliti institusi media massa di Malaysia.

 


KESIMPULAN

 

Rakyat Malaysia kini sudah mengenal selok-belok permainan politik ‘pecah dan perintah’ kerajaan Barisan Nasional dan taktik menakutkan rakyat sedemikian rupa tidak lagi berkesan, bahkan menambahkan kebencian rakyat terhadap kerajaan Barisan Nasional.

 

Rakyat juga sudah hilang keyakinan dengan kredibiliti institusi penghakiman negara, lantaran kes Dato’ Seri Anwar ini dilihat sebagai kayu ukur terakhir bagi menentukan sejauh manakah institusi tersebut sanggup diperkotak-katikkan oleh politik kotor Barisan Nasional.

 

Rakyat Malaysia sedar akan hak mereka untuk berkumpul secara aman seperti yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan. Malah kebanyakan orang ramai yang menyertai perhimpunan secara aman sebelum ini membawa keluarga mereka bersama. Adalah tidak masuk akal jika mereka ini dikatakan merancang untu melakukan huru-hara.


AGENDA TINDAKAN

 

Oleh yang demikian, KeADILan Antarabangsa Eropah menyeru rakyat Malaysia berbilang kaum terutamanya mahasiswa dan golongan muda untuk turun menyertai perhimpunan tersebut sebagai bukti kebencian kita terhadap kekangan kerajaan Barisan Nasional serta simpati terhadap Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan keluarganya yang dianiaya. Saudara-saudari patut merasa bertuah kerana dapat menjadi sebahagian saksi kepada sejarah pembentukan Malaysia moden yang adil dan makmur seperti yang kita perjuangkan.

 

KeADILan Antarabangsa Eropah juga menyeru pihak berkuasa yang terlibat untuk menghormati hak rakyat berhimpun dan hanya bertindak mengawal selia perhimpunan aman tersebut. Laksanakanlah amanah rakyat untuk menjaga keamanan dengan peri kemanusiaan dan budi bicara.

 

Akhir sekali, KeADILan Antarabangsa Eropah menyeru rakyat Malaysia yang cintakan keamanan dan kebenaran untuk memulaukan TV3 secara berterusan di atas pembohongan yang menyelewengkan sejarah negara kita dan membawa kesan besar kepada rakyat berbilang bangsa di Malaysia.

 

 

PENUTUP

 

Selangkah kecil kita menzahirkan kecintaan kita kepada kebenaran dan keadilan pada 4 Ogos 2000 ini akan selama-lamanya menjadi sumbangan besar bagi umat manusia keseluruhannya di seluruh dunia yang berjuang menuntut kebenaran dan keadilan.

 

Jika satu Dato’ Seri Anwar Ibrahim dibelenggu dengan jeriji penjara, seribu lagi akan dilahirkan oleh kezaliman ini.

 

KeADILan Antarabangsa Eropah
Birmingham
31 Julai 2000

 

 

 

KeADIlan Antarabangsa Eropah terdiri daripada masyarakat Malaysia yang sedang menuntut atau bermastautin di Eropah. Bermula dengan Deklarasi 2000, KeADILan Antarabangsa Eropah bergiat memperjuangkan isu-isu keadilan dan kesejahteraan tanah air di kalangan masyarakat Malaysia, NGO dan kerajaan-kerajaan negara luar. Cawangan-cawangan KeADILan Antarabangsa Eropah telah ditubuhkan di London, Oxford, Manchester, Birmingham, Glasgow, Bristol, Cardiff, Dublin, Hamburg, Geneva, Brussels dan Blois.