Perbahasan Rang Undang-Undang Rumah Perjudian Terbuka (Pindaan) 2000

Oleh

 Y.B. Abd Rahman Bin Yusof

Ahli Parlimen Kemaman

 

 

Tuan yang dipertua,

 

Saya mengucapkan terima kasih di atas peluang yang diberikan kepada saya untuk membahas Rang Undang Undang Rumah Perjudian Terbuka ( Pindaan ) 2000.

 

Tuan yang dipertua,

 

Judi adalah satu kegiatan yang dilarang dan dikutuk dalam semua ajaran agama. Agama Islam dengan jelas dan terang mengutuk sekeras-kerasnya kegiatan judi ini, baik kepada pengusaha, penjudi, atau pembantu-pembantu mereka, termasuk mereka yang mengeluarkan lesen-lesen ataupun permit judi itu sendiri.

 

Orang-orang Islam disuruh supaya menentang dan mencegah kegiatan mungkar ini dengan apa daya sekali pun.

 

Saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada kerajaan Negeri Terengganu dibawah pimpinan Barisan Alternatif kerana dalam masa tak sampai  6 bulan memerintah, kegiatan judi ini dapat dihapuskan dengan mendapat persetujuan yang baik dari semua pihak termasuk dari kalangan masyarakat bukan Islam sendiri.

 

Pendekatan yang digunakan oleh kerajaan Negeri Terengganu di bawah pimpinan Barisan Alternatif cukup baik iaitu menggunakan kaedah bermusyuarah dengan semua pihak yang terlibat dalam kegiatan perjudian ini. Semua pihak menerima akan pengharaman kegiatan ini dengan baik dan terbuka.

 

Saya berharap kerajaan BN patut belajar cara-cara atau pendekatan yang digunakan oleh kerajaan Negeri Terengganu didalam pengharaman kegiatan ini dengan baik. Saya percaya Tuan Guru Haji Hadi akan terbuka untuk membantu BN mengharamkan kegiatan perjudian ini.

 

Kalau tak suka cara pendekatan Negeri Terengganu, Kerajaan BN boleh belajar juga cara Negeri Kelantan. Kedua-dua negeri ini dapat menghapuskan kegiatan judi di negeri mereka dengan baik sekali.

 

Tuan yang dipertua,

 

Walaupun kegiatan judi ini dilarang oleh semua agama, tetapi perusahaan ini merupakan satu perusahaan yang memberi keuntungan yang cukup lumayan. Sebab itulah pengusaha- pengusaha sanggup melakukan apa saja untuk menjalankan perusahaan ini.

 

Yang tidak diberi permit atau lesen akan sanggup menjalankan kegiatan mereka secara haram atau kongsi gelap.

 

Yang diberi permit atau lesen pula, mereka sanggup memberi bayaran yang cukup lumyan kepada orang-orang yang berpengaruh samaada secara rasuah atau memberi jawatan yang tinggi dalam organisasi perniagaan mereka untuk mendapat  perlindungan dari gangguan pihak- pihak penguatkuasa.

 

Orang-orang seperti bapa mertua kepada dua orang bekas Perdana Menteri, bekas ketua polis negara dan sebagainya dilantik sebagai pengerusi syarikat-syarikat yang menjalankan perusahaan perjudian ini.

 

Jadi siapa yang berani  mengganggu gugat kegiatan atau operasi mereka. Lihat sahaja apa yang berlaku. Apabila kabinet membuat keputusan untuk mengharamkan semua arked perjudian, tiba-tiba pengecualian diberikan kepada syarikat yang beroperasi di Genting Highland. Ini jelas dan terang menunjukkan bahawa perusahaan judi ini mendapat perlindungan yang baik dari pihak atasan.

 

Saya meminta kerajaan mengkaji semula kebenaran perlantikan orang-orang seperti bekas Ketua Polis Negara menjadi pengerusi syarikat perjudian. Bayangkanlah bagaimana mereka-mereka yang pernah bekerja dibawah Ketua Polis negara dapat menjalankan tugas dengan sempurna dan baik apabila melihat bekas ketua mereka menjadi Ketua Organisasi Judi.

 

Bolehkah mereka berbangga dengan bekas ketua mereka. Seorang menjadi Pengerusi Syarikat Judi dan seorang lagi menjadi tukang pukul bekas Timbalan Perdana Menteri , Dato' Seri Anwar Ibrahim.

 

Tuan yang dipertua,

 

Perusahaan perjudian ini banyak dikaitkan dengan kegiatan rasuah, peyelewengan dan salahguna kuasa.

 

Kalau kita perhatikan apabila penguatkuasa menjalankan operasinya, selalunya pengusaha-pengusaha tempat perjudian ini samada yang ada permit atau tidak akan mendapat maklumat terlebih dahulu sebelum operasi dijalankan.

 

Ini adalah kerena pihak penguatkuasa dirasuahkan untuk memberi maklumat akan operasi mereka. Apabila penguatkuasa sudah dirasuahkan bagaimana kerajaan boleh mengharapkan keberkesanan tindakan pembasmian kegiatan judi ini.

 

Saya harap pihak BPR dapat melakukan sesuatu supaya kegiatan rasuah yang berleluasa dalam operasi penguatkuasaan pembasmian kegiatan judi ini dapat dihapuskan agar tindakan yang berkesan dapat dijalankan untuk menghapuskan kegiatan judi ini.

 

Tuan yang dipertua,

 

Malaysia hari ini bukan sahaja terkenal sebagai destinasi perjudian terbaik di Asia tetapi juga terkenal sebagai pelabur terbesar dalam industri perjudian di rantau ini.

 

Saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada kerajaan BN dibawah pimpinan UMNO kerana berjaya meletakkan Malaysia didalam peta dunia sebagai salah satu destinasi perjudian terbaik dirantau ini.

 

Tuan yang dipertua,

 

Didalam Akhbar The Straits Time Singapura pada 9/10/2000 seorang usahawam Malaysia, En Chen Lip Keong, Pengerusi Lipkland Group dan "tuanpunya" Syarikat Ariston Sdn Bhd dilaporkan akan melabur 1 bilion dollar Amerika bersamaan 3.8 bilion ringgit dalam pembinaan salah satu bandar dan kompleks perjudian terbesar di Asia di Sihanoukville, Kemboja.

 

Tokoh usahawan ini ialah seorang yang cukup rapat dengan elite kepimpinan negara, menunjukkan bahawa kegiatan beliau mendapat restu dari kepimpinan negara kita.

 

Didalam kenyataan beliau semasa melancarkan projek pembinaan kompleks perjudian ini ialah, " untuk meraih keuntungan dari 'ketagihan Orang Asia berjudi' ".

 

Ini adalah satu kenyataan yang menghina kepada orang Asia.

 

Sekiranya benar orang-orang Asia ketagih judi, sepatutnya Malaysia sebagai sebuah negara Islam berusaha  melakukan sesuatu untuk mengubati penyakit ini dari terus merebak, bukannya menggalakkan syarikat dari negaranya mengambil kesempatan mengaut keuntungan dari penyakit yang melanda orang Asia. Ini akan membiakkan lagi penyakit judi dikalangan orang Asia.

 

Saya nak tahu apa pendirian kerajaan Malaysia didalam pelaburan kompleks atau operasi perjudian diluar negara oleh syarikat dari negaranya

 

Apa makna perbahasan kita didewan ini untuk mencegah penyakit yang sedang merebak dalam masyarakat kita akibat dari gejala perjudian tetapi pada masa yang sama kita menggalakkan syarikat - syarikat dari negara kita melabur dalam perindustrian yang berpenyakit ini di negara lain.

 

Tuan yang dipertua,

 

Selain dari itu, saya difahamkan juga sebuah stesyen TV berbayar bercadang untuk menjalankan kegiatan judi "racing game" melalui stesyen TV mereka untuk "cover" dengan izin kerugian yang mereka alami dari kegawatan ekonomi sekarang ini.

 

Sekiranya ia dibenarkan, gejala penyakit perjudian ini akan merebak lebih luas dan pantas lagi kerana ia mudah di "access" oleh seluruh masyarakat

 

Satu pernyataan dan tindakan tegas perlu diambil supaya segala ruang kegiatan perjudian dapat ditutup buat selama-lamanya.

 

Itulah sahaja perbahasan saya, agar kita sama sama dapat membanteras satu kegiatan maksiat yang dilaknati oleh Allah s.w.t ini iaitu perjudian

 

Sekian.