Artikel 1

Jualan suratkhabar milik kerajaan menurun. Baguslah tu!

Saya gembira apabila mengetahui Time magazine melaporkan jualan suratkhabar
milik kerajaan telah menurun secara mendadak sejak dua tahun yang  lalu. Akhbar
Utusan amat meloyakan dan Berita Hampas masing-masing mengalami penurunan 27 dan
30 peratus. Hasrat saya ialah kita teruskan boikot membeli suratkhabar kerajaan
yang langsung tidak mempunyai etika kewartawanan. Buat malu aja nama baik
wartawan yang terpaksa ikut telunjuk kerajaan.

Bayangkan dalam masa 2 tahun hampir 30 peratus penurunan jualan suratkhabar
tersebut di atas. Ia adalah suatu penurunan yang besar dan menunjukkan rakyat
sudah geram setiap kali membaca berita-berita kosong milik kerajaan. Memang
bagus dan bijak tindakan rakyat. Ia adalah suatu tindakan yang wajar. Tindakan
boikot rakyat adalah lebih baik dan berkesan daripada berdemo di jalan raya.
Nampaknya kerajaan tidak boleh berbuat apa-apa. Kalau nak pecat dan paksa
menteri-menteri (kecuali DSAI ) letak jawatan bolehlah. Tetapi kerajaan tak
boleh paksa rakyat beli akhbar. Mana boleh. Di samping itu kita dapat jimat duit
lebih kurang RM 400 setahun. Kalau kita beri duit kepada orang tua, anak-anak
kita dan bayar zakat, dapat juga kita dapat pahala.

Ia akan memberi tamparan hebat kepada kerajaan yang menjadikan suratkhabar
sebagai media utama untuk menyebarkan propaganda, fitnah dan pembohongan kepada
rakyat. Apabila jualan akhbar tidak laku lagi, usaha kerajaan untuk menyebar
segala keburukan BA tidak akan berhasil. Tindakan bodoh kerajaan memakan diri
sendiri. Biar padan muka dia orang. Saya mahu lihat sampai bila akhbar kerajaan
boleh bertahan.

Adalah menjadi harapan saya agar kita teruskan boikot akhbar kerajaan sampai
kesemua akhbar-akhbar kerajaan gulung tikar sebelum pilihanraya umum ke 11
bermula. Bayangkan, kalau setiap 2 tahun, jualan akhbar turun sebanyak 30
peratus, sebelum pilihan raya umum ke 11 bermula akhbar-akhbar Utusan Meloya dan
Berita Hampas sudah tentu akan gulung tikar kerana tak mampu nak tanggung kos
lagi. Ini adalah matlamat kita. Ia akan menyusahkan kerajaan terutamanya semasa
pilihanraya umum ke 11 akan datang. Kerajaan tidak dapat menyebarkan propaganda
secara berkesan. Kemungkinan besar apabila kerajaan mengetahui jualan akhbar
semakin merosot, maka berita-berita propaganda akan dikurangkan dan
berita-berita yang lebih kritis dan telus akan disiarkan. Apa yang perlu dibuat,
kita teruskan boikot tanpa mengira perubahan yang akan dilakukan ke atas akhbar
kerajaan. Matlamat kita ialah bukan sahaja kita boikot akhbar kerajaan tetapi
kita mahu lihat satu demi satu akhbar kerajaan gulung tikar.

Sementara itu, populariti laman-laman web pro reformasi semakin berkembang
dengan pesatnya dan merupakan media utama buat kita yang dahagakan bahan-bahan
berita yang lebih sahih, kritis dan  telus. Semoga laman-laman web akan
bertambah seperti cendawan tumbuh selepas hujan.

LTL