Johor Baharu - 22hb Julai 2000, Pergerakan Pemuda KeADILan Malaysia hari ini telah memilih negeri Johor sebagai negeri terakhir yang mereka lawati dalam siri Jelajah Semenanjung "Gerakan Menghukum Mahathir". Sekitar jam 4.30 petang, sekumpulan penyokong gerakan reformasi seramai seratus orang telah mara menghampiri muka pintu Balai Polis Central, Johor Baharu.

Setiba di muka pintu, pihak Polis hanya membenarkan hanya tiga orang untuk masuki perkarangan Balai Polis.  Alhamdulillah, selepas berunding 6 orang telah dibenarkan masuk iaitu Sdr Nasir Tasrip, Ketua Pemuda KeADILan Johor, Sdr Razak Ahmad-Pengerusi PRM Johor, Pn. Chan - DAP, Sdr Ezam Mohd Nor, Dr.Zaleha-Ketua Wanita KeADILan Johor dan saya.
Sdr Nasir Tasrip telah membuat laporan polis tesebut bagi mewakili 70 orang penandatangan yang telah menurunkan tandatangan untuk membuat laporan polis terhadap Dr. Mahathir.  Kami telah disambut dengan baik dan Ketua Polis Balai sendiri telah mengambil repot polis yang dirujuk ke Balai H.S. Lee itu.

Selepas laporan tersebut dibuat, kami sepertibiasa telah membahagikan penyokong yang hadir kepada dua kumpulan, satu bergerak untuk mengedarkan laporan Polis Dato' Seri Anwar menuju ke KOMTAR dan satu kumpulan lagi bergerak menuju ke Plaza Kotaraya.  Selepas itu kami telah menyebarkan laporan tersebut di Stesyen Bas Larkin sebelum ke hotel dimana kami menginap.

Tepat jam 8.00 malam kami telah berangkat ke Hotel Selesa, Pasir Gudang bagi memenuhi undangan KeADILan Bahagian Tebrau yang mengadakan Mesyuarat Agong Pertama mereka.  Sdr Ezam telah merasmikan mesyuarat tersebut sebelum bergegas ke Kg Melayu untuk menyampaikan ceramah umum dengan Ustaz Idris (Setiausaha Dewan Pemuda Pas Pusat) dan YB Sdr Mohammad Sabu.  Selepas Ceramah umum yang dihadiri oleh lebih 10,000 orang penyokong Alternatif Johor itu, Sdr Ezam telah mengadakan pertemuan tertutup dengan sekitar 20 orang teman-teman yang sudah lama menantikan kehadiran beliau untuk mengajukan persoalan dan menyelesaikan kekeliruan mereka terhadap isu-isu yang melanda keADILan dan negara kebelakangan ini.

"Pemuda Pemangkin Gerakan Reformasi"

LOKMAN ADAM
Exco Pergerakan Pemuda Malaysia