PROGRAM JELAJAH SEMENANJUNG “GERAKAN MENGHUKUM MAHATHIR” BERAKHIR HARI INI

Johor Baharu – 23hb Julai 2000, tepat jam 10.00 pagi Sdr Ezam Mohd Nor diiringi oleh Sdr Zahid Mat Arip, Sdr Nasir Tasrip, Sdr Abd Rahman Othman serta kira-kira 20 orang Ahli Jawatankuasa Perhubungan dan Pemuda Negeri Johor telah bergerak menuju ke utara untuk mengedarkan Laporan Polis DSAI.  Rombongan kami telah disertai oleh sebuah pajero dan sebuah proton wira yang sarat dengan pelancong dari IPK Johor Baharu yang merakamkan setiap pergerakan kami.  Memang tidak dapat dinafikan bahawa anggota polis Johor antara yang paling sopan, berbudi bahasa dan saling hormat menghormati bila berurusan dengan kami.

Destinasi pertama kami hari ini adalah Perhentian Bas dan Pasar Kulai.  Kami telah disambut oleh teman-teman dari Bahagian Senai setibanya kami di Kulai.  Selepas operasi mengedarkan Laporan Polis DSAI selesai di Kulai, kami telah menjalankan operasi yang sama di Simpang Renggam.  Dr Noraini, Ketua Bahagian Sg Benut serta rakan-rakan penyokong reformasi disana telah menyertai kami untuk meneruskan operasi tersebut.   Memandangkan waktu kami berada di Simpang Renggam adalah sekitar jam 12.30 tengahari, kami telah berhenti makan tengahari di sana sebelum bergerak ke Air Hitam.  Ketika berada di Air Hitam, beberapa peristiwa menarik telah berlaku di Pekan yang dipenuhi dengan barangan tembikar serta kuih muih itu.  Antara perkara yang menarik adalah apabila Sdr Zahid telah disindir dengan cara yang agak kasar oleh peniaga wanita yang merenyuk serta membuang Laporan Polis DSAI ke dalam longkang. Walaupun terpaksa bersabar dengan sikap wanita tersebut akhirnya Sdr Zahid dan teman-teman yang lain telah melakonkan satu drama dan telah memborong barangan di kiri-kanan gerai wanita tersebut tanpa membeli satu pun barangan jualan wanita itu.  Perkara ini telah menyebabkan wanita tersebut merasa hiba dan menangis mengenangkan sikapnya yang kasar tadi.

Selepas Air Hitam kami telah bergerak terus ke Masjid Jamek Kg Kenangan Dato Onn, Batu Pahat  untuk menunaikan solat Zohor.  Alhamdulillah, buat pertama kalinya disepanjang jelajah kami, kami dapat melihat teman-teman Bahagian Khas yang mengekori kami, turut menunaikan solat apabila kami bersolat tidak seperti lazimnya, menunggu di dalam kereta sahaja.  Submit Parade Batu Pahat merupakan lokasi utama kami ketika mengedarkan Laporan Polis DSAI sebelum ke Semerah, Pt. Jawa, Pt Bakar dan Muar.  Saya dan Sdr Zahid telah pulang lebih awal memandangkan kami terpaksa berceramah di TTDI Jaya, manakala Sdr Ezam telah merasmikan Mesyuarat Agong Pertama KeADILan Muar sebelum berangkat pulang dan menghadiri satu ceramah umum di Teluk Kemang.  Selepas ini kami akan turun ke negeri-negeri untuk memberikan penerangan berhubung dengan tarikh jatuh hukum DSAI.

“Pemuda Pemangkin Gerakan Reformasi”


LOKMAN ADAM
Exco Pergerakan Pemuda KeADILan Malaysia