Subject: keADILan di ambang perpecahan? Email dari keadilan Johor


> keADILan di ambang perpecahan?
> Kepelbagaian kumpulan di dalam keADILan benar-benar menguji
> kebijaksanaan pemimpinnya. Kepelbagaian ini boleh mengundang bermacam
> masalah. Buat masa ini dominasi kelompok pro ABIM cukup ketara.
> Jawatan-jawatan penting parti seperti Naib Presiden, Setiausaha Agung,
> Ketua Penerangan, dan tidak kurang 5 Majlis Pimpinan Tertinggi terdiri
> mereka yang pernah memimpin ABIM. Ketua-ketua negeri juga menyaksikan
> penguasaan ABIM. Bermula Perlis, Kedah, Selangor, Melaka, Negeri
> Sembilan dan Kelantan. Dominasi ABIM seterusnya terus mencengkam
> sehingga pada peringkat bahagian-bahagian. Hampir 96 bahagian telah
> diluluskan pendaftarannya oleh Pendaftar Pertubuhan. Khabarnya ABIM
> sedang berusaha menguasai pula kepimpinan cawangan yang sedang giat
> didaftarkan. Kelompok Jemaah Islah Malaysia cuma tiga orang dalam MPT
> parti keADILan. Ketua Wanita keADILan dan dua ahli MPT. Itupun seorang
> daripadanya sekadar MPT undangan! Presiden keADILan benar-benar berada
> di bawah pengaruh pemimpin-pemimpin pro ABIM. Sehinggakan Presiden
> benar-benar diyakinkan bahawa tiada masa depan untuk keADILan sekiranya
> pemimpin-pemimpin pro ABIM tidak diberi tempat. 'Kehebatan' mereka ialah
> berjaya meyakinkan Presiden bahawa pemimpin dari JIM dan bekas UMNO di
> dalam keADILan sebenarnya mempunyai niat buruk merosakkan parti.
> Hasilnya hampir semua biro penting dalam keADILan dikuasai oleh pemimpin
> pro ABIM. Biro Politik dan Biro Pengurusan menyaksikan penguasaan
> pemimpin-pemimpin pro ABIM. Namun kelompok lain dalam parti terpaksa
> menerima keadaan ini. Lantaran yang boleh bekerja, yang rajin turun
> menemui rakyat di peringkat akar umbi, yang rancak berusaha meramaikan
> ahli, yang gigih berusaha menubuhkan cawangan, yang aktif menggerakkan
> bahagian dan yang berkemampuan berunding dengan Pas, Dap dan PRM
> hanyalah pemimpin-pemimpin pro ABIM dalam keADILan. Kelompok JIM dan ex
> UMNO hanya tahu merosakkan parti. Mereka tidak tahu bekerja, tidak cekap
> dalam soal pilihanraya, tidak ada menerima tarbiah Quraniyah dan lebih
> teruk cuma mahu menjatuhkan Presiden. Mereka ini diketuai oleh bekas
> Naib Presiden Marina Yusof. Kandungan surat Dr Chandra kepada Marina
> baru-baru ini mengesahkan perkara ini. Bukankah Marina dikatakan cuba
> menjatuhkan Dr Wan Azizah sebagai Presiden dengan mencadangkan Anwar
> Ibrahim sebagai Presiden keADILan? Yang Marina tidak tahu ialah menjadi
> satu kesalahan jika mencadangkan orang lain selain Dr Wan Azizah.
> Walaupun itu cuma satu cadangan dalam mesyuarat dalam membincangkan
> permohonan Anwar Ibrahim menyertai keADILan. Timbul dua pandangan.
> Pertama Anwar diterima menjadi ahli dan dilantik sebagai penasihat
> parti. Kedua Anwar diterima menjadi ahli dan dilantik menjadi Presiden.
> Setelah dibincangkan, cadangan pertama diterima. Keputusan telah dibuat.
> Namun kesan cadangan Marina bahawa Anwar dilantik Presiden telah
> melukakan hati Dr Wan Azizah. Kelompok yang menentang Marina yakni
> pemimpin-pemimpin pro ABIM terus-terusan memanaskan isu ini. Marina
> menjadi sukar bekerja di dalam parti. Cuma satu pilihan yang tinggal.
> Letak jawatan dan menjadi sasaran serangan. Surat Dr Chandra sekadar
> mengesahkan teori ini. UMNO dan BN tidak perlu bersusahpayah
> menghancurkan keADILan. Perkukuhkan penguasaan ABIM dalam keADILan.
> keADILan tidak akan berkembang ahlinya, cawangannya dan bahagiannya.
> Sikap pimpinan pro ABIM dalam keADILan terhadap Pas juga tidak membantu.
> Sampai bila-bila pun mereka tidak mengakui Pas sebagai parti yang mampu
> melaksanakan Islam di negara ini. Cuma mereka yang menerima tarbiyah
> ABIM sahaja yang layak. Selamat 'berjaya' keADILan. Renung-renunglah
> rakyat bawah yang mengharap dan ikhlas dalam perjuangan.
>
>
> Ahli keADILan
> Negeri Johor