Oleh Ummu Natasya

 

Jawatan Kosong : Penyebar Fitnah

 

KUAT sungguh sokongan yang parti pembangkang terima jika diukur dari apa yang dikutip dalam tiga pilihan raya kecil, selepas tidak sampai setahun pilihan raya umum berlalu.

Pilihan raya kecil Sanggang dan Teluk Kemang memperlihatkan calon-calon BA mengutip undi bukan kecil, jauh sekali hilang wang pertaruhan walaupun tewas. Sementara pilihan raya kecil Dun Lunas, BN benar-benar terpukul dengan kekuatan sebenar pembangkang.

Gabungan pembangkang hanya empat. Yang paling besar ialah PAS dan diikuti keADILan, DAP dan PRM, itupun jika diukur dari jumlah keahlian.

Berbeza dengan Barisan Nasional (BN) mereka mempunyai berbelas parti komponen. Ada Umno, MCA, MIC, Gerakan dan PPP selain dari parti-parti di Sabah dan Sarawak. Jika ditambah dengan sokongan IPF, sepatutnya semua lawan BN harus hilang wang pertaruhan.

Umno yang selama ini mendakwa menjadi parti tulang belakang BN nampaknya sudah retak dan patah. Pilihan raya umum ke 10, 29 November 1999 memperlihatkan Umno benar-benar hilang pengaruh, kesan dari pemecatan Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Dr. Mahathir Mohamad selaku Pengerusi BN dan Presiden Umno berkali-kali cuba membawa cerita kononnya keADILan ini hanya sebuah parti serpihan, tidak lebih dari Semangat 46 dahulu dan akhirnya akan bubar dan ahli-ahli masuk Umno semula.

KeADILan berbeza sangat dengan Semangat 46. Semangat 46 dahulu dipenuhi dengan pemimpin tanpa pengikut sebaliknya keADILan penuh dengan ahli tanpa banyak pemimpin (yang datangnya dari Umno).

Nasib baiklah tidak ramai pemimpin Umno masuk keADILan kerana mereka sudah rosak teruk dan tidak boleh lagi meluruskan lidahnya untuk berbicara soal kebenaran dan kezaliman.

Dengan sekerat dua pemimpin yang berpengalaman dalam politik, keADILan melangkah maju dengan mengutip undi besar dalam pilihan raya. Dalam jangka masa pendek ini, PAS yang paling banyak mendapat faedah dan DAP kelihatan sedikit tersisih.

Namun, untuk jangkamasa panjang, melalui gabungan pembangkang, DAP akan dapat mencapai apa yang diperjuangkan, menghapuskan rasuah dan kezaliman di negara ini.

KeADILan adalah sebuah parti baru, baru ditubuhkan sebaik sahaja Dato’ Seri Anwar Ibrahim dipecat. Namun, idelisme perjuangan Dato’ Seri Anwar Ibrahim nampaknya jelas dan diterima.

Ini yang merisaukan Dr. Mahathir. Nasib Dr. Mahathir agak bertuah kerana dia mempunyai pasukan kabinet yang kuat mengampu dan tidak berani menentang arus. Masing-masing ada ‘fail yang menanti’ jika berlawan dengan Dr. Mahathir.

Populariti Dr. Mahathir semakin merosot sementara populariti Dato’ Seri Anwar semakin meningkat. Dr. Mahathir masih mampu tersenyum bersama-sama Ali Rustam dan Tajol Rosli kerana Dato’ Seri Anwar dikurung dalam penjara. Jika Dato’ Seri Anwar berada di luar, tidak sampai seminggu orang-orang seperti Ali Rustam dan Tajol Rosli ini akan lari masuk hutan menyembunyikan diri.

Hamzah Zainuddin yang baru dilantik menjadi Senator dan Pengerusi Felcra khabarnya sedang menghimpun wang yang banyak bagi membayar tuntutan dari bekas isterinya. Hamzah juga akan meninggalkan Malaysia jika Dato’ Seri Anwar bebas kelak. Hutangnya yang beratus juta khabarnya sudah hampir langsai dibayar oleh Tun Daim Zainuddin kerana sanggup membawa kaset kononnya rakaman suara Dato’ Seri Anwar menggoda isteri keduannya.

Umno Kelantan dan Terengganu sudah tidak dapat diselamatkan. Khabarnya Umno Kedah berada dalam ICU sekarang. Syed Razak yang tiada kelulusan itu tidak mampu untuk menerajui Umno Kedah. Anak saudaranya yang menjadi pemandunya dibayar gaji sampai RM5,000 sebulan hanya kerana berjaya menyembunyikan kisah dia berkahwin dua dari isteri pertamanya.

Perhatian yang ditumpukan kepada Umno Wilayah Persekutuan. Khabarnya Umno Wilayah Persekutuan juga huru-hara sejak mendapat Pengerusi Perhubungan baru, Tengku Adnan Tengku Mansor. Dia khabarnya menyusun siapa boleh jadi Ketua Bahagian dan siapa yang harus dijatuhkan dalam musim pemilihan akan datang.

Semua ini berlaku kerana Umno sudah sampai ke penghujung hayat. Pergolakan demi pergolakan ini akan mempercepatkan Umno menemui ajalnya dan nama-nama seperti Hamzah Zainuddin, Azmi Khalid, Aziz Shamsuddin, Ali Rustam dan Tengku Adnan mempunyai saham membunuh Umno. Paling cepat meracun Umno ialah Aziz Sheikh Fadzil yang cuba menjadi hero dalam isu Suqiu.

Apa Aziz kepingin menjadi Senator? Buat fitnah terhadap Dato’ Seri Anwar dan sebarkan ke seluruh negara. Tentu Dr. Mahathir beri upah dan lantik menjadi Senator. Dr. Mahathir sedang mencari pegawai-pegawai baru mengisi kekosongan jawatan “Penyebar Fitnah” dengan ganjaran kerusi Senator, Setiausaha Parlimen, Timbalan Menteri dan jika kerja fitnahnya cemerlang, mungkin dilantik menjadi Menteri. Calon yang sedang dipertimbangkan sekarang ialah Tengku Adnan.

 

habis