Salam Reformasi,

Pendedahan Afa tentang apa yang di katakan tentang peranan JIM untuk merosakkan keADILan cukup memanggil saya untuk memberi sedikit pandangan mengenai perkara ini. Sebelum itu ada juga beberapa pandangan yang membawa motif yang agak serupa samada menuju kepada ABIM atau JIM di dalam keADILan. Dan luka-luka serangan BN kepada keADIlan ditambah lagi dengan simbahan air garam oleh Sdr Fathy Aris.

Senario sebegini telah menimbulkan satu budaya  tidak sihat yang jika terus dibiarkan secara berleluasa nescaya satu masa dan ketika akan merosakkan wadah yang kita sayangi ini, iaitu keADILan. Saya tidak menafikan kemungkinan ada beberapa kebenaran terselit di dalam tulisan-tulisan tersebut tetapi perkara yang baik tidak akan memberikan sebarang manfaat jika menggunakan cara yang kurang baik. Namun saya menyeru kepada semua hentikanlah tindakan sebegini kerana ianya bukan sahaja menampakkan seolah-olah gerakan Islam kita begitu buruk tingkahnya malahan inilah bibit-bibit yang akan membawa kepada perpecahan sesama kita.

Memang benar keADILan memperjuangkan kebebasan bersuara, namun dalam mengamalkan kebebasan itu ada batasan dan tatacara yang perlu diikuti. Seorang anak tidak boleh menegur seorang bapa yang melakukan kemungkaran dengan cara biadap walaupun Islam menyuruh ummatnya mencegah kemungkaran. Begitu juga adat kita berorganisasi, tambahan pula organisasi politik yang menjadi musuh kepada pemerintah kuku besi seperti BN ini, kaedah menegur parti kita perlu bijaksana supaya ianya tidak dieksploitasi oleh mereka. Perkara yang tidak wujud lagikan boleh direkja oleh mereka inikan pula rungutan-rungutan liar dari dalam organisasi kita sendiri.

KeADILan memang di akui sebagai satu wadah yang di dalamnya terdiri dari berbagai-bagai kabilah. Di antaranya ABIM, JIM, x-UMNO, x-S46, ahli-ahli badan NGO yang lain malahan juga rakyat biasa yang tidak pernah terlibat atau mengambil tahu perihal politik sebelum ini. Mereka terpanggil untuk bersama-sama dalam wadah ini kerana ingin berbakti kepada negara tercinta melalui perjuangan reformasi. Perkara ini sebenarnya menjadi satu teras yang menjadi asas kekuatan keADIlan itu sendiri.

Namun kadang-kala insan-insan ini masih belum dapat meninggalkan pembawakan dari wadah lama masing-masing. Ini merupakan satu lagi perkara yang saya rasa agak kurang sihat. KeADILan tidak memerlukan kesemua budaya tersebut kerana keADILan adalah satu wadah yang akan membawa satu perubahan melalui satu budaya politik baru. Amat tidak wajar jika di dalam keADILan wujud berbagai macam puak yang terhasil dari organisasi-organisasi lama. Saya merayu setiap individu terutama pemimpin di semua peringkat supaya membuang segala prejudis dan tanamkan satu tekad untuk kita sama-sama berjuang dengan matlamat dan budaya yang satu. Sesungguhnya tema Persidangan Agung kita tempohari iaitu 'SATU WADAH SATU PERJUANGAN' perlu kita hayati bersama dan kita garapkan menjadi satu benteng dan senjata yang utuh untuk menghadapi kejayaan kita dalam pilihanraya ke 11 nanti.

Kita tidak perlu membuang masa dengan memandang ke belakang dan menuding jari kepada sesama kita. Sedarlah perjalanan kita masih jauh, onak dan durinya semakin mencabar, oleh itu jangan kita bazirkan masa dan tenaga kita untuk bertelagah serta menuding jari sesama sendiri. Marilah kita bersama-sama perkukuhkan wadah kita ini dan jika ada sedikit-sebanyak kecacatan sama-samalah kita perbaikinya. Sikap suka menuding jari dan mengharapkan pihak lain akan hanya menjadikan bahtera kita ini karam seperti karamnya kapal TITANIC akibat sikap ego pemerintah kapal tersebut.

Sayangilah wadah ini kerana keADILan mempunyai masa depan yang cukup cerah di negara kita ini. Mungkin kita boleh bertelagah di luar sini namun renungkan balik dan cuba bayangkan di balik tembok tebal nun di Sungai Buluh sana bersemadi pemimpin kesayangan kita yang saban hari menderita terkurung kesepian. Kepada pemimpin-pemimpin pandanglah ke bawah dan ingatlah kepada amanah dan harapan seluruh rakyat kepada keADILan. Untuk sahabat-sahabat Reformis teruskan semangat perjuangan anda dan percayalah sahabat-sahabat tidak di pinggirkan namun kita tidak harus menagih balasan ke atas apa yang telah kita sumbangkan. Buat semua rakyat Malaysia tetapkanlah pendirian semua dan percayalah walau apa pun yang berlaku cahaya kebenaran pasti akan bersinar kelak dan sama-samalah kita berdoa supaya kesempatan ini dapat kita kecapi bersama.

ZY/B14/07
Shah Alam