Seperti Dijangka, Pak Lah Tergamak Haramkan Wasilah




GOMBAK, 5:30 PETANG, 30 OGOS: Apabila dihubungi wartawan Malaysiakini, Ariani Rustam, jam 3.30 petang tadi, saya menjangkakan tentu ada perkembangan menarik darinya kerana di sebelah pagi, beliau bertanyakan saya tentang isu permit penerbitan (PP) Wasilah dan kemudiannya menghubungi KDN bagi mendapat keterangan lanjut.

Walaupun saya sudah menjangkakan bahawa Kementerian Dalam Negeri tidak mudah untuk menyambung PP Wasilah, tetapi harapan untuk melihat hayat 'majalah khusus buat orang muda' ini terus berdetik sentiasa subur mewangi.

Sekadar termampu, saya cuba mengurangkan unsur-unsur politik dalam Wasilah meskipun minat saya cukup mendalam dengannya. Di samping mendapat garis panduan daripada Ketua Pengarang, Ramli Abdul Halim, dan membiarkan banyak isi kandungannya ditentukan oleh Penolong Editor, Muhamad Nor Abdul Samad, saya hanya menulis Warkah Pengarang dan menyuntingnya.

Namun, harapan dan impian indah sukar menjadi kenyataan. Ariani memberitahu, seorang pegawai di Unit Kawalan Penerbitan, Bahagian 'C', Kementerian Dalam Negeri (KDN), Mohd Nor memaklumkan kepadanya bahawa permit majalah Wasilah sedang digantung dan kemudiannya akan dibatalkan!

Pelik sekali (tapi, apalah yang nak dipelikkan zaman Mahathir dan Pak Lah ini) gerakerja KDN ini. Mengapa lagi mahu digantung permit Wasilah kalau hayatnya sudahpun diketahui, yakni akan dihukum pancung. Bagi saya, ini satu lagi bentuk sandiwara lapuk kerajaan pimpinan Umno. Mereka tidak perlu mendera saya lebih lama lagi, sepertimana apa yang dialami ketika saya mengendalikan Detik dahulu. Hairan sekali, pegawai-pegawai Menteri Dalam Negeri nampaknya menggunakan strategi usang bagi mengendurkan kemarahan rakyat terhadap pembatalan permit penerbitan ini.

Saya ketika itu, dalam kemarahan yang amat sangat selepas diberitahu tentang pengharaman Wasilah, membayangkan reaksi Ramli di Kota Bharu apabila mendengar berita malang itu nanti. Minggu lalu, Ramli memberitahu saya, pegawai KDN, Mohd Nor menjelaskan bahawa bagi pihaknya yang meneliti isi kandungan Wasilah, tiada sebarang masalah yang timbul. Cuma pihak yang akan meluluskannya ialah pegawai yang lebih atas, Tengku Mahmood Tengku Ismail.

Sebelum ini saya sering dimaklumkan oleh pegawai-pegawai KDN bahawa mereka tiada berkuasa untuk meluluskan atau membatalkan mana-mana permit penerbitan, hanya Menteri Dalam Negeri yang berhak menentukannya. Mereka hanya boleh mencadangkannya sahaja. Justeru, Abdullah Ahmad Badawi harus bertanggungjawab sepenuhnya dalam kes Wasilah dan sebelumnya, Detik serta Eksklusif. Marah saya itu sehingga membuatkan jari jemari saya terketar-ketar menahan perasaan. Untuk mengetik komputer pun terasa beban yang amat dahsyat.

"Saya boleh cuba untuk memahami tindakan KDN terhadap Harakah, Detik, atau apa saja makalah berbentuk politik, tapi sampai Wasilah pun Pak Lah tergamak untuk mengharamkannya, apa cerita ni," kata saya kepada seorang aktivis muda pembangkang.

"Apa bahayanya Wasilah kepada …. ya, kepada siapa saja? Keselamatan negara boleh terjejas? Umno boleh tumbang? Semuanya mengarut! Semuanya kerana pemimpin Umno takut dengan bayang-bayang sendiri. Pokok bergoyang kerana ditiup angin pun disangka hantu."

Saya tidak dapat mencari apa rasional tindakan pengharaman ini selain pengisytiharan terbuka KDN dengan saya. Memang benar selama ini saya cukup kritikal dengan KDN, tentang bagaimana mereka mentadbir satu unit yang penting tetapi dilakukan secara sambil lewa dan sengaja mahu menunjuk siapa lebih berkuasa.

Saya diberitahu Ramli bahawa KDN sukar meluluskan pembaharuan permit Wasilah kerana saya banyak menghentam dan menegur KDN melalui internet. Mereka mahu saya mengangguk dan mengaminkan apa saja kehendak mereka, mahu menjadikan saya lembu kenyang yang menurut apa saja asalkan permit diluluskan.

Inilah mentaliti sebahagian pegawai kerajaan, kadang-kadang 'lebih Umno dari pemimpin kanan Umno sendiri'. Sikap profesionalisme mereka hilang, sebaliknya lebih ghairah untuk berusaha menjadi pengampu dan pembodek bagi memuaskan nafsu serakah pemimpin atasan Umno. Soal kemarahan rakyat tidak dihiraukan. Isu kebebasan akhbar, prinsip ketelusan, pemerintahan yang baik, semuanya hanya polemik di pentas politik pembangkang.

Oleh kerana kemarahan saya masih belum dapat dikawal, pemikiran berkecamuk, maka saya tangguhkan sekejap penulisan ini. Tunggu nanti, saya cuba aturkan respons yang sewajarnya kepada tindakan tidak bertamadun Pak Lah itu. Apa pun yang berlaku di sekitar Bahagian C, KDN, saya tetap meletakkan tanggungjawab sepenuhnya atas pengharaman Wasilah ini kepada Menterinya, Abdullah Ahmad Badawi. - AHMAD LUTFI OTHMAN

IKLAN:Dapatkan buku terbaru "PAS Mampu Pimpin Malaysia" karya Mohd Nasir Awang terbitan bermutu PENERBITAN PEMUDA dipasaran Buku berkisar tentang Negeri Terengganu Di Bawah Pimpinan PAS .Untuk keterangan lanjut hubungi kami 03-40230175 atau emailkan kepada kami zabidi_detik@hotmail.com .Pengedar Pengedar diperlukan diseluruh Malaysia !.Pastikan anda memiliki buku ini .

"DETIK SUDAH MATI! HALANG PENCABULAN KDN TERHADAP KEBEBASAN MEDIA"