Isu Sauk: Cara serangan Umno terhadap PAS
Oleh Fathi Aris Omar [emel: faomar@yahoo.com]
 
Umno hanya mampu menyerang PAS daripada tepi atau
secara sipi-sipi. Serangan Umno terhadap PAS dalam
drama ala 'Mission Impossible' Sauk itu bermaksud
menimbulkan kekeliruan, dengan tujuan mengaitkan
secara kabur dan sipi-sipi kumpulan Al-Ma'unah dengan
PAS. Kumpulan itu digambarkan begini = merampas
senjata = melanggar undang-undang = ganas + sesat =
membunuh bukan Islam = hendak tegakkan negara Islam =
anti kaum bukan Islam.
 
Selepas tersebar watak dan ciri-ciri kotor Al-Ma'unah,
maka kesimpulannya "sebahagian besar daripada 1,800
ahli Al-Ma'unah terdiri daripada ahli-ahli PAS."
Inilah hujah Mahathir. Tidak cukup dengan itu,
Mahathir berhujah lagi, kenderaan yang digunakan oleh
sebahagian pengikut kumpulan itu di Sauk "menampal
lambang-lambang PAS." Malah, pemimpin tua ini
berhujah, "Amin Razali (ketua atau presiden persatuan
silat itu) dibesarkan dalam keluarga PAS, tinggal
dalam kampung yang didominasi PAS dan dekat dengan
penyokong PAS."
 
Apa hujah ini, Dr Mahathir? Nyanyuk ke? Alamak... tak
kan macam ini cara Perdana Menteri dan kerajaan
menangani isu "keselamatan negara." Alamak... Najib
dan Norian Mai... TOLONGLAH nasihat PM yang tua ni...
janganlah meraban, merepet dan melalut sangat....
Kalau pakai hujah PM ni, semua ahli Umno di Terengganu
dan Kelantan merupakan ahli PAS!!! Satu penghinaan
yang ketara kepada ahli-ahli Umno di dua negeri itu.
 
Saya cadangkan PAS, KeADILan dan Barisan Alternatif
melaporkan kepada polis agar menyiasat PM di bawah
Akta Rahsia Rasmi (OSA). Mungkin sebahagian ucapan
Mahathir itu diambil daripada maklumat sulit pihak
keselamatan negara yang dikategorikan "RAHSIA."
 
Kalau berani, cubalah siasat PM.
 
Kalau polis tidak berani, nescayalah PM itu 'kebal'.
Al-Ma'unah dituduh sesat kerana kebal. Mahathir kalau
kebal (daripada proses undang-undang) apakah tidak
sesat?