PAS TENTANG JIKA MAHATHITPUN DI-ISA-KAN

Laporan TARMIZI MOHD JAM

 

Kuala Lumpur, Isnin 31 Julai: Ketua Pembangkang yang juga Presiden PAS, Datuk Fadhil Mohd Noor telah menegaskan kepada kira-kira 20,000 para penyokong BA dan orang-ramai, sekalipun Dr. Mahathir Mohamad ditakdirkan ditahan di bawah Akta ISA, maka PAS adalah parti yang pertama dan terkehadapan yang akan menentang sekeras-kerasnya penahanan itu kerana ianya jelas bercanggah dengan Islam dan akta ini juga jelas zalim dan tidak berperikemanusiaan.

 

Beliau menegaskan perkara itu sewaktu meminta kerajaan membebaskan ke semua 27 orang yang terbabit dalam perompakan senjata di Grik yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) semalam. Mereka yang sepatutnya dibicarakan pada 1 Ogos ini (esok) di Mahkamah Kuala Kangsar telah diumumkan ditahan di bawah akta berkenaan.

 

Datuk Fadhil yang berucap pada Ceramah Umum dan Penjelasan Mengenai Tragedi Sauk di Markaz Tarbiyyah PAS Pusat, Taman Melewar semalam menyifatkan penahanan di bawah ISA sebagai zalim dan tidak berperikemanusiaan.

 

Beliau meminta pihak berkuasa menahan dan membicarakan mereka di mahkamah terbuka atas kesalahan yang telah dilakukan oleh mereka dalam Tragedi Sauk itu. Katanya, sekalipun, mereka itu perompak, pihak kerajaan mestilah berlaku adil sekalipun terhadap musuh mereka supaya tiada siapa yang teraniaya akibat tindakan itu. PAS katanya, tidak bersetuju mereka ditahan di bawah ISA sebaliknya menggesa pihak kerajaan membicarakan mereka di mahkamah terbuka.

 

“Kita tidak akan tahu, apakah kejadian sebenarnya. Sebab mereka tidak dibicarakan. Kita tidak tahu, sama ada mereka bersalah atau tidak. Ini kerana tahanan ISA ini tidak dibicarakan,” tegas beliau.