Hishamuddin Didesak Meminta Maaf diatas kenyataannya, kempen memboikot Hishamuddin dilancarkan

Ma.S.A.M ingin melahirkan rasa terkilan dan marah di atas kenyataan Hishamuddin Tun Hussein, Menteri Belia dan Sukan yang begitu tidak sensitif minggu lepas berikutan beberapa protes damai yang disertai oleh pelajar Malaysia menentang kehadiran Dr. Mahathir di United Kingdom.

Pertama, untuk menyamakan pelajar-pelajar ini dengan pengkhianat negara adalah satu tuduhan melulu yang jelas menunjukkan sikap pemimpin BN yang memandang hina sesiapa yang tidak bersetuju dengan mereka. Pelajar-pelajar ini yang mengharumkan nama Malaysia di bidang akademik di luar negara dengan sewenang-wenangnya dituduh sebagai pengkhianat negara sedangkan kroni-kroni mereka yang menyelewengkan duit amanah rakyat dengan pelbagai cara diangkat sebagai wirawan bangsa.

Ma.S.A.M percaya sikap provokatif sebiginilah yang menyebabkan ramai pelajar cemerlang kita memilih untuk tidak kembali ke Malaysia selepas tamat pelajaran - ruang demokrasi untuk bersuara yang dikongkong dan wabak kronisme yang terlalu tidak dikawal menyebabkan anak muda ini melihat bakat dan kepandaian mereka sia-sia sahaja jika pulang ke Malaysia. Kemarau tenaga professional ini tidak akan dapat diatasi tidak kiralah apa rayuan yang dibuat oleh Law Hein Ding, selagi mentaliti ahli politik BN masih lagi kebudak-budakkan; seperti yang dibuktikan oleh Hishamuddin minggu lepas.

Kedua, bukanlah hak Hishamuddin untuk menentukan apa yang boleh dan tidak boleh dibuat oleh para pelajar kita. Beliau bukanlah menteri yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal pelajar - adalah lebih baik beliau memikirkan strategi membanteras gejala dadah yang terlalu kronik di kalangan remaja Melayu daripada memberitahu pelajar yang sudah terpelajar ini apa yang patut dan tidak patut dibuat. Apatah lagi protes tersebut dijalankan di negeri orang - sedang kita bertubi-tubi mengutuk campur tangan 'asing' di dalam hal ehwal dalaman kita, janganlah kita pula cuba menjadi pendakwa dan hakim bagi peristiwa-peristiwa yang berlaku di negara orang.

Di atas kenyataannya yang dangkal dan kasar itu, Ma.S.A.M mendesak Hishamuddin menarik balik kenyataan tersebut dan meminta maaf kepada para pelajar yang terbabit.

Ma.S.A.M juga ingin mengajak masyarakat pelajar dan belia untuk menyertai kempen kami memboikot semua upacara yang dihadiri Hishamuddin. Kempen yang bermula pada hari ini 14 Oktober 2000 akan dijalankan selama enam bulan sehingga 14 April 2000.

Belia dan pelajar diminta tidak menghadiri upacara-upacara tersebut, sebaliknya mencetak logo Kempen Memboikot Hishamuddin dan mengedarkannya di upacara-upacara tersebut. Logo tersebut akan dipaparkan di laman-laman reformasi tidak lama lagi.

Ma.S.A.M percaya dengan tindakan sebegini sahajalah golongan muda dapat mengajar menteri yang sepatutnya menjaga kebajikan mereka agar lebih berhemat dalam mengeluarkan kenyataan - walaupun di dalam usaha beliau membodek Dr. Mahathir.

Sertailah kempen kami mendesak Hishamuddin meminta maaf.

 

Ahmad Kamal Mustapha

Pengerusi Ma.S.A.M

 

Sila lawat laman web Ma.S.A.M di ma.s.a.m.tripod.com untuk keterangan lanjut mengenai kempen-kempen yang dijalankan.