Kami juga jalankan reformasi: Pemuda Umno
'Ein Azmi

5pm, SEL: Pemuda Umno hari ini menegaskan pergerakan itu masih meneruskan reformasi secara perlahan-lahan dan bukannya mendadak. Badan itu sebaliknya mendakwa hanya segelintir penyokong pembangkang berfikiran reformasi walaupun mereka melaungkan slogan itu.

"Jika kami tidak menjalankan reformasi dan memperbarui perjuangan sebelum ini, kami tidak akan berjaya sampai ke tahap ini," kata Ketua Pemuda pergerakan itu, Datuk Hishammuddin Hussein, menjawab satu soalan pembaca malaysiakini.

"Mungkin ada beberapa tokoh dalam pergerakan itu, misalnya Dr Chandra (Muzaffar, Timbalan Presiden Keadilan), yang cuba merencanakan agenda perubahan yang lebih besar."

"Tetapi sebahagian besar (daripada pergerakan reformasi) hanya mempunyai satu agenda sempit dan kita semua tahu apa agenda itu," tambahnya lagi.

Pemimpin Umno sering mendakwa penyokong reformasi hanya bertujuan membebaskan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Hishammuddin juga menyarankan agar potongan sebanyak lima peratus kepada Bumiputera yang mampu untuk membeli rumah yang dibina pemaju swasta dihapuskan dan jumlah itu dimasukkan ke dalam satu tabung khas.

"Saya tidak nampak lagi justifikasi bagi Bumiputera yang berkemampuan untuk terus menikmati potongan lima peratus apabila membeli rumah," kata Menteri Belia dan Sukan itu lagi dalam sesi soal-jawab dengan pembaca akhbar ini.

"Kenapa tidak kita menyumbang jumlah lima peratus itu, misalnya kepada tabung khas perumahan untuk mereka yang tidak mampu?"

Apabila ditanya mengapa isu rayuan 17 perkara daripada gabungan Cina, Suqiu berbangkita sekarang, menteri itu berkata isu hak keistimewaan Melayu sepatutnya dibincang melalui "mekanisme yang sedia ada", misalnya Majlis Perundingan Ekonomi Negara (Mapen).

Utamakan akademik, bukan politik

Hishammuddin juga menegaskan pelaksanaan dasar istimewa itu sewajarnya terus diperbaiki dan dipertingkatkan.

Bagaimanapun, bulan lalu, akhbar berbahasa Melayu dan sebahagian pemimpin Umno turut mengkritik Naib Pengerusi Mapen II, Datuk David Chua, selain mendesak Suqiu menarik balik tuntutan tersebut yang asalnya dikemukakan menjelang pilihan raya umum November lepas.

Ketika menjawab isu penglibatan politik di kalangan siswa tempatan, Ketua Pemuda itu mendakwa "mereka ini seringkali tidak mencapai tahap akademik yang memuaskan" dan menasihatkan siswa agar menumpukan perhatian kepada akademik.

Hishamuddin mengakui bahawa program Rakan Muda, di bawah kementeriannya, bukannya "jawaban" kepada gejala sosial tetapi hanya sebagai "program pencegahan." Program ini dilancarkan menjelang pilihan raya umum 1995 bagi menangani isu keruntuhan akhlak remaja, khususnya Melayu.

Beliau sebaliknya membidas PAS dan pembangkang kerana tidak mempunyai pelan tindakan bagi menangani gejala sosial.


RIGHTARROW.gif (70 bytes)Jawapan penuh