Kenyataan Media 6 April 2001

Hentikan Tuduhan Tidak Asas

Akhir-akhir ini pihak kerajaan terutamanya Perdana Menteri, Menteri Dalam Negeri, dan Menteri Luar terus membuat pelbagai tuduhan berkaitan dengan keadaan kesihatan dan layanan yang diterima oleh Sdr. Anwar Ibrahim.

Sdr. Anwar dituduh mempolitikkan sakit belakangnya. Menteri Dalam Negeri dengan kerjasama media cuba menggambarkan yang beliau mendapat layanan istimewa termasuk wad yang dilengkapi televisyen dan peti sejuk. Keluarga dan rakan karib dikatakan bebas melawat beliau setiap hari.

Apabila saya mengadakan suatu majlis penerangan khas berkenaan keadaan kesihatan Sdr. Anwar, hal tersebut turut menjadi sasaran serangan. Menteri Luar dan media cuba menggambarkan langkah tersebut sebagai pakatan politik sulit dengan anasir luar sambil menyerang diplomat asing yang hadir sebagai campur tangan dengan urusan dalaman negara.

Saya ingin menegaskan bahawa segala tuduhan tersebut adalah tidak berasas, merupai propaganda pihak kerajaan apabila sudah tidak ada alasan kukuh untuk terus menafikan hak Sdr. Anwar mendapat rawatan paling selamat dan terbaik.

Saya juga ingin sekali lagi memperjelaskan beberapa perkara yang cuba dikelirukan.

Pertamanya, sakit Sdr. Anwar cukup serius sehinggakan orangramai dapat melihat sendiri bagaimana beliau terpaksa dipapah dan menaiki kerusi roda semasa menziarahi dan mengiringi pengkebumian ibunya dua hari lalu. Keperluan pembedahan disepakati oleh semua doktor yang memeriksa beliau.

Keduanya, Sdr. Anwar tidak mendapat layanan istimewa sebaliknya beliau dinafikan pelbagai haknya termasuk hak untuk diikat-jamin dan hak mendapat rawatan kesihatan. Bilik beliau, baik di hospital mahupun di penjara, tidak dilengkapi dengan televisyen ataupun peti sejuk. Rakan-rakan karib beliau langsung tidak dibenarkan melawat beliau. Hanya keluarga terdekat yang dibenarkan berbuat demikian itupun dengan kekerapan terbatas dan terpaksa melalui prosedur yang ketat.

Ketiga, majlis penerangan khas pada 29hb. Mac 2001 adalah inisiatif peribadi saya tanpa melibatkan keADILan ataupun BA. Ia adalah untuk meraikan banyak permintaan agar keadaan kesihatan Sdr. Anwar diperjelaskan. Isi kandungan majlis tersebut hanya disekitar keadaan kesihatan Sdr. Anwar dari perspektif perubatan dan perundangan yang dibentangkan oleh seorang peguam beliau serta seorang pakar bedah saraf.

Pihak kerajaan hendaklah berhenti membuat pelbagai tuduhan berkenaan dengan hal ini. Sikap negatif pihak kerajaan seumpama ini akan terus menghilangkan keyakinan saya dan keluarga untuk membenarkan Sdr. Anwar dirawat dalam negara. Kecenderungan kerajaan untuk campurtangan dan mengggunakan keadaan ini bagi kepentingan politik begitu jelas.

Saya ingin menegaskan disini bahawa tuntutan agar Sdr. Anwar dibenarkan ikat-jamin adalah suatu kelayakan yang diperuntukan oleh undang-undang dalam kes seumpama beliau malah tidak ada alasan untuk menolak ikat-jaminnya.

Beliau juga harus dibenarkan memilih rawatan yang paling kurang risiko dan terbaik bagi sakit yang dideritainya, yang besar kemungkinan akibat dipukul dalam tahanan pada 20 September 1998. Isu ini adalah isu perubatan dan kemanusiaan yang perlu ditangani dengan semangat yang sama.

Dr. Wan Azizah Wan Ismail