PRM Bantah Penahanan Ezam

Kenyataan Media PRM

Bantah Penahanan Ezam

PRM membantah penahanan polis ke atas Saudara Ezam Mohd Noor, Ketua Pemuda Parti Keadilan Nasional. Tindakan polis itu jelas atas kehendak Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad. Amat malang sekali polis terpaksa tunduk menahan seseorang hanya atas laporan akhbar yang kesahihannya dipertikaikan. Akhbar tertentu sengaja mensensasikan kenyataan Saudara Ezam dengan tujuan mengwujudkan suasana supaya beliau ditangkap. Kenyataan pemimpin-pemimpin tertinggi Umno juga kelihatan seperti mengarah polis supaya menahan Saudara Ezam.

Penahanan Saudara Ezam adalah satu lagi bukti menunjukkan Mahathir, Umno dan BN semakin takut dengan suara protes rakyat yang semakin meluas hari demi hari. Ke mana sahaja saudara Ezam dan pemimpin-pemimpin Barisan Alternatif berceramah, hadirin yang datang ribuan manusia. Kenapa? Mahathir perlu bertanya kepada dirinya dan menteri-menteri kabinetnya.

Hari ini, rakyat jelata resah dan tertekan dengan kehidupan yang semakin susah. Harga barang makanan mahal. Harga tambang pengangkutan naik. Harga api, air, gas memasak dan elektrik naik. Para pekerja kilang ramai yang telah diberhentikan. Petani padi juga menghadapi masalah. Peneroka Felda dan pekebun kecil getah serta kelapa sawit di seluruh negara hidup menderita kerana kejatuhan harga komoditi tersebut. Bukan itu sahaja, para pekerja dan rakyat biasa rasa tertipu dan terpedaya dengan dividen KWSP yang jatuh begitu rendah. Dividen Tabung Haji juga jatuh sama. Begitu juga, para pekerja estet di seluruh negara rasa terhina dengan gaji minima bulanan mereka adalah di bawah garis kemiskinan. Golongan peneroka bandar atau setinggan pula diusir dari rumah mereka secara paksa dengan amat zalim.Ini semua bagi rakyat biasa adalah bukti bahawa kerajaan BN hari ini tidak adil.

Rakyat nampak Kerajaan BN pimpinan Mahathir lebih mengutamakan syarikat-syarikat korporat besar yang dimiliki oleh kroni-kroni mereka. Berpuluh bilion ringgit wang negara dan wang Petronas telah digunakan untuk menyelamatkan kroni-kroni tersebut, termasuk anak-anak Perdana Menteri sendiri. Dalam masa yang sama laporan-laporan rakyat kepada polis dan BPR supaya diambil tindakan kepada mereka yang melakukan rasuah dan penyelewengan seperti dalam kes Perwaja, dan laporan-laporan rasuah ke atas Daim Zainuddin, Rafidah Aziz, Rahim Thamby Chik, Mohtar Abdullah dan Dr Mahathir Mohamad sendiri telah tidak dipedulikan.

Ini semua menjadikan rakyat tidak puas hati dan protes. Dalam amalan sistem demokrasi, rakyat sepatutnya diberi ruang untuk meluahkan rasa tidak puas hati mereka dengan cara membuat protes. Demonstrasi aman secara umum adalah satu bentuk protes. Demokrasi bukan bermakna mengundi sekali setiap lima tahun. Demokrasi bukanlah sama ertinya dengan memangkah kertas undi dari pukul lapan pagi hingga lima petang. Demokrasi mesti hidup dan berdenyut setiap saat dan setiap hari. Penafian kebebasan rakyat berlaku sepanjang hari dan sepanjang tahun. Penyelewengan dan rasuah terutamanya di kalangan elit berkuasa berlaku dengan berleluasa di depan mata. Masakan rakyat boleh berdiam diri dengan menutup mata, memekakkan telinga dan membisukan suara? Tentu sekali tidak!

Justeru itu, PRM mendesak supaya Saudara Ezam dibebaskan segera. Sekiranya Mahathir menggunakan ISA ke atas Saudara Ezam dan lain-lain pemimpin pembangkang, jelaslah Mahathir dan konco-konconya, sebenarnya yang takutkan demokrasi.

Hassan Karim
Ketua Penerangan PRM 5 Mac 2001