Kenyataan Media PRM

PRM Bantah Penangkapan Pemimpin Reformasi

Parti Rakyat Malaysia (PRM) membantah tindakan polis menahan Tian Chua, Naib Presiden Parti Keadilan Nasional, Hishamuddin Rais dan lain-lain pemimpin reformasi pada petang Sabtu 17 Februari di Kuala Lumpur.

Rakyat mempunyai hak untuk bersuara. Isu rasuah dan penyalahgunaan kuasa kerajaan yang memerintah sekarang tidak boleh didiamkan begitu sahaja. Rakyat mesti bertindak. Malaysia mesti diselamatkan dari wabak rasuah dan salahgunakuasa kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Mahathir Mohamad.

Tindakan pemimpin-pemimpin Pemuda Barisan Alternatif (BA) membuat laporan polis terhadap bekas Peguam Negara, Mohtar Abdullah adalah tepat. Bekas Peguam Negara yang kini diangkat menjadi Hakim Mahkamah Persekutuan perlu disiasat atas kemungkinan melakukan kesalahan jenayah berikutan bersekongkol dengan Perdana Menteri, Mahathir Mohamad menghalang proses undang-undang dikuatkuasakan ke atas Rafidah Aziz, Menteri Perdagangan dan Perindustrian Antarabangsa yang telah didapati oleh Laporan Siasatan Jabatan Peguam Negara, mempunyai kes “prima facie” melakukan kesalahan jenayah rasuah bersabit dengan pemberian saham-saham kuota khas bumiputera kepada anak menantunya sendiri.

Rafidah Aziz sepatutnya dibawa ke mahkamah untuk dibicarakan atas tuduhan rasuah. Tetapi Mahathir Mohamad telah menghalang proses undang-undang berkuatkuasa. Peguam Negara ketika itu, Mohtar Abdullah turut bersubahat dengan Perdana Menteri menutup kes rasuah Rafidah Aziz itu. Jadi adalah tepat kesalahan bekas Peguam Negara, Mohtar Abdullah disiasat.

Tetapi bukan Mohtar Abdullah sahaja mesti disasat dan didesak supaya diambil tindakan berdasarkan keluhuran undang-undang yang tidak memilih bulu, pangkat dan kedudukan seseorang. Sebaliknya, Mahathir Mohamad, selaku Perdana Menteri adalah pelakon utama yang menghalang Rafidah Aziz dikenakan pertuduhan jenayah di mahkamah. Kesalahan Perdana Menteri itu sangat serius dan berat, tidak boleh dibiarkan berlalu begitu sahaja

Jadi penahanan ke atas pemimpin-pemimpin gerakan reformasi seperti Tian Chua dan Hishamuddin Rais adalah sengaja dilakukan oleh pihak kerajaan Mahathir yang berkuasa sekarang untuk mematahkan kebangkitan semula gerakan reformasi yang kini memfokuskan perjuangan mereka kepada pembongkaran kes-kes rasuah dan penyalahgunaan kuasa Mahathir dan konco-konconya. Malangnya, pihak polis telah diperalatkan oleh kerajaan Mahathir untuk melemahkan aspirasi rakyat yang mahukan supaya mereka yang rasuah dan menyalahgunakan kuasa disiasat, diadili dan dihukum sekiranya bersalah.

Jadi, PRM mendesak supaya Tian Chua, Hishamuddin Rais dan lain-lain yang ditahan supaya dibebaskan. Mereka tidak menganggu ketenteraman awam. Mereka tidak merusuh atau melakukan keganasan. Mereka bertindak aman. Mereka bersuara kerana menentang rasuah dan penyalahgunaan kuasa di pihak kerajaan. PRM membantah institusi-institusi negara seperti Polis dan Mahkamah digunakan sewenang-wenang untuk mempertahankan kedudukan seorang Perdana Menteri dan kerajaannya yang rasuah serta melakukan salahguna kuasa.

Oleh Hassan Karim,
Naib Presiden PRM 17 Februari 2001