Kenyataan Media Ketua Penerangan PRM

Akta Hasutan Perlu Digunakan Dengan Berhemat

Polis tidak wajar menakut-nakutkan parti pembangkang dan media massa dengan Akta Hasutan. Wajarkah hanya kerana mempertikaikan statistik polis berhubung angka kematian dalam pergaduhan kaum di Jalan Kelang Lama, maka seseorang itu akan didakwa di bawah Akta Hasutan? Apakah Polis Diraja Malaysia (PDRM) suatu institusi yang mempunyai kekebalan tertentu yang begitu sensitif sehingga tindak tanduknya tidak boleh langsung diperiksa, ditegur, dikritik atau dipersoalkan?

Pihak Polis mesti menyesuaikan dirinya dengan keadaan di Malaysia sekarang yang mahu menjadi sebuah masyarakat yang telus dan terbuka. Kerana itu, pihak Polis juga mesti bersikap telus dan terbuka. Jika ada kenyataan pihak-pihak tertentu termasuk media massa dan parti pembangkang, pihak Polis jangan cepat melenting dan bersikap prasangka, seolah-olah pihak-pihak itu mahu menghasut atau memburukkan lagi keadaan.

Pihak Polis harus akui akan hakikat bahawa sejak tertubuh Barisan Alternatif (BA) yang dianggotai oleh empat buah parti pembangkang utama di negara ini yang mewakili seluruh lapisan rakyat dari pelbagai kaum, budaya dan agama, maka trend politik perkauman telah dapat dikurangkan. Pihak polis harus menyedari bahawa BA membawa pendekatan keadilan untuk rakyat semua dan menentang politik perkauman. Parti-parti di dalam BA mahu membawa masyarakat Malaysia ke arah perpaduan nasional yang sebenarnya. Ini dapat dilihat bahawa para pemimpin BA sering menekankan tentang perlunya perpaduan nasional, bukannya perpaduan satu-satu kaum tertentu seperti yang dilaung-laungkan oleh parti-parti tertentu dalam gabungan parti pemerintah.

Jadi PRM menyeru supaya pihak polis menggunakan Akta Hasutan dengan cermat, berhemat dan penuh hikmah. Anggap kritikan dari parti-parti pembangkang atau media massa sebagai kritikan yang membina untuk kebaikan masyarakat dan negara kita, termasuk dalam soal keselamatan. Tidak ada sesiapa yang cintakan keamanan, perdamaian, demokrasi dan keadilan mahu ketegangan kaum seperti yang berlaku beberapa hari di Jalan Kelang Lama itu berterusan dan merebak menjadi lebih buruk sehingga tidak terkawal dan mengancam keselamatan negara keseluruhannya.

Pihak Polis perlu menyedari bahawa parti-parti pembangkang juga mempunyai tanggungjawab moral untuk sama-sama memulihkan keadaan supaya menjadi kembali tenteram dan rakyat keseluruhannya berasa selamat dan negara aman. Tetapi ini tidak bermakna kami perlu berdiam diri dan membisu. Jika ada kelemahan dan kekurangan atau kepincangan tertentu di pihak jentera atau agensi kerajaan termasuk polis dalam menangani isu seperti di Jalan Kelang Lama itu, maka adalah tanggungjawab parti-parti pembangkang termasuk pihak media massa untuk menegur. Tujuan teguran dan kritik itu ialah untuk memperbaiki keadaan.

Dalam hal ini, sekali lagi ditegaskan bahawa pihak Polis mesti menerima hakikat bahawa ia perlu bersikap telus dan terbuka. Kalau pihak Polis percaya dengan alasan yang kukuh bahawa ia benar dan pihak pembangkang yang silap, maka jalan yang baik ialah dengan mengadakan perhubungan awam secara bersemuka dan bedialog untuk menjernihkan kekeliruan. Semua pihak mahukan penjelasan yang benar tentang peristiwa yang berlaku di kampung-kampung di Jalan Kelang Lama itu dari 4 Mac hinggalah ke hari ini.

Justeru itu, pendekatan ugut-ugutan seperti percubaan mendakwa pihak media dan parti-parti pembangkang dengan tujuan menakutkan mereka supaya tidak membuka mulut adalah satu pendekatan tidak profesional dan tidak bersesuaian dengan amalan hidup sebuah masyarakat sivil yang demokratik dan terbuka. Pihak Polis perlu insaf bahawa negara kita pada asasnya masih lagi sebuah negara yang mengamalkan demokrasi. Malaysia tidak seharusnya menjadi sebuah negara polis. Sebarang kecenderungan ke arah itu akan ditentang.

Hassan Karim
Ketua Penerangan PRM 15 Mac 2001