Salam Reformasi,
15.02.2001

KEHEBATAN MENTERI-MENTERI KITA

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Ong Ka Ting, Menteri Perpaduan Dr Siti Zaharah dan Datuk Samy Vellu semua sependapat bahawa kematian 6 orang, kecederaan berpuluh-puluh rakyat Malaysia dan penangkapan hampir 200 orang akibat pergaduhan di beberapa Taman di Kelang Lama berpunca daripada keadaan longkang yang tidak baik, rumah yang tidak selesa dan persekitaran yang tidak membangun.

Dengan perakuan ini maka apa yang boleh disimpulkan ialah pertempuran, pergaduhan antara remaja Melayu dan India BUKAN disebabkan perselisihan kaum.

Menteri-menteri kita lantas memberi jaminan bahawa persekitaran kawasan khususnya di Kampung Medan, Ghandi dan yang lain akan dibangunkan bagi mengelakkan perselisihan antara mereka.

Andai ini BENAR maka pembangunan kawasan ini datang dari pengorbanan nyawa kalangan mereka yang terkorban. Menteri-menteri Malaysia bertindak hanya apabila ada insiden buruk berlaku dan tidak berusaha memperbaiki sesuatu keadaan sebelum mala petaka menimpa.

Sungguhpun begitu rakyat mampu membuat evaluasi sendiri dan tahu dimana kelemahan sistem kita. Memang tidak dapat dinafikan sosio-kemasyarakatan yang tidak memberangsangkan mampu menyebabkan persengketaan tetapi keperihatinan kerajaan harus wujud bagi mengelak sesuatu kejadian dan tidak hanya mengambil initiatif selepas insiden.

Banyak lagi kawasan yang mempunyai persekitaran seperti di Kg Medan dan kawasan berdekatannya. Ini perlu dipantau sebelum berlaku insiden yang tidak diingini. Apakah selepas Kg Medan maka kerajaan akan hanya duduk dan menanti insiden baru sebelum bertindak?

Komentar