Oleh Pena Suasa

 

Lagi Anggota Konspirator Dapat Habuan

 

WALAUPUN Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohamad mengatakan internet di Malaysia merupakan tempat penulis surat layang dan kemudiannya pendapatnya itu disokong ‘bapa buaya’ Tan Sri Mohd Khalil Yaakob, saya salah seorang penulis di ruangan ini mahu menafikannya.

 

Sekali lagi pembaca semua diminta membaca semula tulisan saya bertajuk ANGGOTA KONSPIRATOR DAPAT GANJARAN bertarikh 5 Ogos 2000 terdapat satu paragraf bertulis:

 

Khabar paling baru, seorang lelaki yang bernama Hamzah Zainuddin yang memfitnah Dato’ Seri Anwar (Ibrahim) mengganggu isterinya melalui panggilan telefon juga akan mendapat ‘perlantikan’ Senator dalam tempoh terdekat. Hamzah sudah dimaklumkan pihak Parlimen tetapi masih belum mendapat surat rasmi. Hamzah cukup berjasa kepada Dr. Mahathir Mohamad kerana ‘tape recorder’ yang kononnya dirakamkannya untuk membuktikan suara Anwar yang menghubungi isterinya itu menjadi bahan ‘kempen’ Sanusi Junid, si kaki pukul budak lapangan terbang bertujuan merosakkan nama Dato’ Seri Anwar.

 

Sah! Hari ini Hamzah yang merupakan Ketua Umno Bahagian Ipoh Barat yang sedang berhadapan dengan tuntutan harta sepencarian dari bekas isterinya, Nooraini Abdul Rashid dan tuntutan muta’ah sudah dilantik menjadi Senator dan juga dilantik menjadi Pengerusi FELCRA menggantikan Datuk Ahmad Shahibuddin Mohd Nor, Ketua Umno Bahagian Bachok, Kelantan.

 

Kita tunggu selepas ini, siapa lagi anggota konspirator yang akan mendapat ganjaran selepas Dato’ Aziz Shamsuddin yang sudah menjadi Timbalan Menteri Pendidikan.

 

Khalid Jefri sudah memandu Mercedes Benz E220. Tengku Adnan Mansor sudah dilantik menjadi Pengerusi Perhubungan Umno Wilayah Persekutuan selain dari Setiausaha Eksekutif Umno Malaysia.

 

Tidak lama lagi, Abdullah Ahmad Badawi khabarnya akan dilantik menjadi Menteri Kewangan menggantikan Tun Daim Zainuddin yang berundur kerana sedang berkrisis teruk dengan Perdana Menteri. Aziz Shamsuddin akan menjadi Menteri Dalam Negeri. Khabarnya Tengku Razaleigh Hamzah pula akan dilantik menjadi Menteri Dengan Tugas-Tugas Khas. Kita tunggu, sama ada ini surat layang atau benar.

 

Dr. Mahathir memberi upah seorang demi seorang anggota konspirator dengan jawatan-jawatan selain wang .

 

(PS)