KENYATAAN AKHBAR

Mesyuarat Khas Biro Politik Pemuda keADILan yang diadakan hari ini memandang serius penahanan Sdr. Ezam Mohd Noor sehari sebelum Hari Raya Aidil Adha dan lanjutan tempoh reman ke atas beliau hingga Jumaat ini.

Biro Politik Pemuda keADILan memutuskan untuk melakukan beberapa tindakan dalam masa terdekat berhubung isu ini:-

1. Tindakan undang-undang terhadap akhbar Utusan Malaysia:-

Sdr. Ezam telah menafikan pernah membuat kenyataan sepertimana yang dilaporkan oleh Utusan Malaysia. Malangnya isikandung kenyataannya telah diputarbelitkan sehingga digunakan oleh Timbalan KPN, Jamil Johari dan Ketua Pemuda UMNO, Hishamuddin Hussein untuk melokap Ezam.

Sehubungan dengan itu Pemuda keADILan akan mendapatkan nasihat peguam bagi mengkaji kemungkinan untuk mengambil tindakan menyaman Utusan Malaysia kerana telah memutarbelitkan kenyataan Sdr Ezam. Kekeliruaan yang dicetuskan oleh akhbar itu sebenarnya lebih bahaya kerana ia boleh mewujudkan suasana resah dan tidak harmoni di kalangan rakyat negara ini.

2. Pemuda keADILan juga melihat penahanan Sdr. Ezam lebih merupakan usaha terdesak Dr Mahathir dan Abdullah Badawi bagi memadamkan kebangkitan rakyat. Malah kita yakin penahanan ini sebagai langkah awal mereka untuk memperalatkan polis bagi menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) untuk menahan lebih ramai pimpinan BA.

3. Kita juga yakin penahanan ini lebih merupakan usaha Dr Mahathir dan Abdullah Badawi untuk menutup semua kelemahan dan penyelewengan yang mereka lakukan.

Pemuda KeADILan ingin tahu kenapa hingga kini laporan polis yang dibuat ke atas Rafidah Aziz dan Rahim Thamby Chik serta perhimpunan yang dianjurkan oleh Pemuda UMNO, GPMS dan BBM dalam isu tuntutan Suqiu yang jelas menghasut rakyat secara terang-terangan dan membangkitkan isu perkauman tidak ada sebarang tindakan daripada pihak polis.

HAMDAN TAHA 7 Mac 2001
Naib Ketua Pemuda