Dari Kediaman Rasmi DSAI

Semangat Reformasi Semakin Membara

 

Pada lebih kurang jam 11.00 pagi Hakim Negara sempat menyertai rakan-rakan menyambut Hari Lahir DSAI di hadapan Penjara Sungai Buluh seperti dijadualkan. Hakim Negara secara kebetulan tiba hampir serentak dengan Sdr Ezam yang nampaknya cukup bersemangat pada hari tersebut. Disebabkan masa agak kesuntukan maka kumpulan yang sedang menunggu di Hentian Restoran Jejambat Sungai Buluh terus bertolak menuju ke kediaman "rasmi DSAI" sekarang.

Hakim Negara memerhatikan apabila pergi sahaja rombongan ini meninggalkan hentian tersebut maka keadaan ditempat parking tersebut yang tadinya penuh sesak dengan kenderaan kini menjadi lengang menunjukkan hentian tersebut sememangnya telah di tawan oleh reformis yang berkumpul untuk menyabut hari lahir DSAI. Hakim Negara merasa cukup terharu dengan keadaan ini. Betapa api reformasi masih terus menyala walaupun seribu satu halangan dan cabaran telah diharungi.

Keadaan disepanjang perjalanan penuh sesak dengan deretan kereta-kereta reformis yang turut dimeriahkan dengan bendera-bendera keADILan, PAS, DAP dan PRM serta keadaan menjadi lebih berwarna-warni dengan belon-belon berwarna biru, putih dan merah. Sepanjang perjalanan tersebut kami tidak putus-putus mendapat sokongan dari kenderaan dari arah bertentangan dan juga penduduk-penduduk tempatan yang begitu bersemangat menunggu di tepi-tepi jalan. Senario inilah yang menjadi mimopi ngeri regim zalim Mahathir Mohammad kerana sokongan rakyat terhadap perjuangan reformasi tetap utuh dan tegar biarpun pelbagai fitnah dan tohmahan telah dilemparkan terhadap perjuangan suci ini.

Akhirnya kami tiba juga di kediaman rasmi DSAI tanpa sebarang halangan dan di sana ratusan kereta telah bersedia menunggu ketibaan kami. Setelah kereta diletakkan ditempat yang sepatutnya, Hakim Negara bersama rakan-rakan terus menyertai rakan-rakan yang tiba lebih awal untuk memulakan perhimpunan aman kita. Ketibaan kami telah disambut oleh gangster-gangster berlesen "FRU" yang telah bersiap-sedia berbaris untuk memberi "tabik hormat" diatas keberanian semua Reformis yang hadir. Tanpa menghiraukan mereka, majlis dimulakan dengan bacaan doa dan Hakim Negara perhatikan ramai di kalangan sahabat-sahabat kita dari kalangan kakitangan penjara yang sejak awal lagi telah memenuhi ruang-ruang di tepian pagar penjara turut menghayati dengan khusyuknya.

Majlis yang meriah ini diteruskan dengan ucapan yang penuh bersemangat dari Sdr Ezam yang antara lain menyatakan bahawa regim zalim Mahathir Mohammad tersilap jika menjangkakan semangat rakyat akan luntur dengan kezaliman yang berterusan terhadap DSAI. Rakyat bukan sahaja tidak luntur semangatnya malahan semangat bersemangat dan sokongan ini semakin bertambah dari hari ke sehari. Ini dibuktikan sendiri dengan kehadiran lebih kurang 2 ribu Reformis ke "kediaman rasmi" DSAI ini dan juga kehadiran puluhan ribu pengunjung ke majlis-majlis penerangan yang di anjurkan oleh BA pada saban malam di seluruh pelusuk negara.

Senario ini tidak pernah dialami oleh Malaysia sejak merdeka dimana kebangkitan rakyat tidak dapat dibendung lagi oleh pelbagai sekatan dan halangan. Kebangkitan rakyat pada hari ini adalah umpama air hujan yang turun ke bumi. Ianya adalah kehendak Allah dan tidak dapat dibendung oleh manusia. Walaupun sifat air ini lembut namun ianya tidak mudah mengalah oleh tentangan yang di lalui di sepanjang perjalanannya. Apabila air yang turun ini cukup banyak ia akan bertakung dan terus mengalir tanpa mempedulikan apa halangan yang ada dan jika terdapat halangan-halangan yang keras seperti benteng maka air ini tetap meneruskan rempuhannya yang akhirnya akan meruntuhkan benteng ini. Begitulah juga dengan perjuangan reformasi ini, ianya tidak akan pudar walaupun terus dikenakan halangan, tentangan dan kezaliman. Ini adalah kerana teras perjuangan ini adalah suci, akhirnya jika perjuangan suci ini terus ditindas kebangkitannya pada satu hari nanti akan meruntuhkan empayar regim zalim ini. Rempuhannya tidak akan berupaya dibendung oleh regim zalim ini seumpama arus air yang deras merempuh dan meruntuhkan benteng halangan.

Sdr Ezam meneruskan acara dengan laungan-laungan slogan bersemangat dan ketika ini hujan hula turun renyai-renyai seolah-olah alam terus meratapi kezaliman yang dikenakan terhadap DSAI. Namun Reformis tidak berganjak dari tempat masing-masing kerana usahkan hujan, semburan "meriam air" pun tidak digentari oleh kami. Kemudian semua yang hadir menyanyikan lagu buat "Allah Selamatkan Anwar Ibrahim" sambil terus melaungkan slogan-slogan Reformasi. Amat mengejutkan bila Hakim Negara perhatikan ramai di kalangan kakitangan penjara yang sebahagian besarnya dipercayai warden-warden penjara yang berada di dalam pagar turut bersama-sama menyanyi dan bertepuk tangan. Hakim Negara berasa cukup bersemangat dengan keadaan ini.

Sedang kami menyanyi, keadaan digemparkan dengan bunyi siren yang biasa kita dengar di Kuala Lumpur. Rupa-rupanya pihak polis terkejut sambutan hangat pada hari ini telah menambahkan kekuatan FRU dengan penambahan 2 trak FRU siap dengan "meriam air" dan juga tambahan satu trak PGA. Reformis nampaknya sedikitpun tidak gentar malahan telah memberikan kerjasama dengan memberi laluan kepada trak-trak ini. Namun seperti biasa sikap baik kita adalah umpama melepaskan anjing tersepit. Setelah mereka masuk ke kawasan penjara, terus sahaja "meriam air" ini dihalakan kepada kami.

Acara yang dirancangkan tetap diteruskan dengan menantikan ketibaan Kak Wan. Seperti biasa kami terus "diprovok" oleh beberapa SB yang telah menyusup kedalam kumpulan kami, mereka seoalh-olah mahu supaya berlaku kekacauan di sini. Namun Reformis telah cukup masak dengan keadaan ini dan menganggapkan provokasi mereka ini seumpama cakap-cakap orang gila yang tidak perlu dilayan. Keadaan telah berlansung dengan cukup harmoni dan Sdr Ezam telah melepaskan beberapa ekor burung bersama-sama dengan belon-belon berwarna-warni keudara tanda kebebasan Sdr Anwar Ibrahim. Akhirnya ketibaan tetamu yang di tunggu-tunggu telah sampai bersama anak-anak kecuali Mohd Ihsan yang kini sedang belajar di Australia. Kelihatan raut muka Kak Wan dan anak-anak cukup tabah dan bersemangat walaupun ujian ini sememangnya cukup perit bagi mereka.

Setelah Kak Wan turun dan masuk ke perkarangan "kediaman rasmi" DSAI reformis-reformis telah bersurai dengan keadaan yang cukup aman dan harmoni. Keadaan pelbagai bangsa dari segenap lapisan masyarakat telah membuktikan bahawa perjuangan reformasi ini adalah satu perjuangan yang melampaui batasan agama dan bangsa. Perjuangan reformasi telah mengajar rakyat untuk menjauhi budaya politik perkauman yang cuba ditanamkan oleh regim zalim Mahathir supaya rakyat Malaysia masih terus dibelenggu oleh jurang ini dan mereka terus senang mempermainkan sentimen perkauman ini.

Perhimpunan pada hari ini telah membuktikan bara reformasi masih dan akan terus mebara di bumi Allah ini selagi kezaliman terus berleluasa dan keadilan tidak ditegakkan. Sekiranya penindasan terus berlaku akan tiba masanya suatu hari nanti rakyat tidak akan takut lagi untuk turun berjuang mahupun dengan ancaman maut sekalipun. Rakyat tidak akan merasa ragu lagi untuk terus berjuang kerana nilai sebuah perjuangan yang suci tidak akan dapat ditukar-ganti walau dengan nyawa sekali pun. MAHATHIR KAMU TUNGGULAH SAAT INI !!!.

 

Hakim Negara

http://hakimegara.tripod.com/freeanwar/

hakimnegara@freeanwar.com