Oleh Pena Suasa

 

Pujian harus diberikan kepada Indonesia

 

APABILA Polis Indonesia menyiasat Presiden Abdurrahman Wahid atau Gus Dur berhubung siasatan kes kehilangan wang sebanyak AS$4 juta dari agensi komoditi negeri, Bulog, bermakna Polis Malaysia terlalu jauh ketinggalan dari segi ketegasan bila berhadapan dengan isu yang mengaitkan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohamad.

Di Malaysia, bukan sahaja Dr. Mahathir tidak berani didekati oleh polis untuk tujuan siasatan, malahan tidak berani pihak polis atau agensi berkaitan dengan rasuah mendekati untuk menyiasat sesiapa sahaja yang dikatakan rapat dengan Perdana Menteri.

Contoh nyata, Rafidah Aziz, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industeri. Seorang lagi contoh paling nyata ialah penglibatan bekas Gabenur Bank Negara, Ali Abul Hassan Sulaiman dalam tangkapan bekas Ketua Pengarah BPR, Dato’ Shafiee Yahaya terhadapnya ketika menjadi Ketua Pengarah EPU yang mempunyai wang di dalam laci bilik pejabatnya, sejumlah RM100,000.

Sumber wang itu masih disangsikan!

Bagaimanapun Dato’ Shafiee dihalang dari meneruskan siasatannya dan diminta menutup kes itu.

Akhbar-akhbar di Malaysia saban hari melaporkan betapa buruknya keadaan politik dan ekonomi di Indonesia hanya kerana “rakyat mereka berani membuat perubahan” dengan menumbangkan Suharto. Dengan lain perkataan, akhbar di Malaysia membandingkan politik Indonesia dengan keadaan di Malaysia. Jika berani buat perubahan, dibimbangi nasib Indonesia akan menimpa Malaysia.

Saban hari, sesiapa sahaja pemimpin Umno kalau berucap akan “memberikan contoh” jangan jadi macam Indonesia!

Keadaan di Indonesia sebenarnya rosak teruk kerana membiarkan Suharto berkuasa selama 32 tahun. Malaysia usah membiarkan Dr. Mahathir sampai tempoh yang sama dengan Suharto kerana kerosakan yang dilakukan juga sudah semakin teruk. Kini tempoh 20 tahun sudah memadai untuk ditukarkan. Bersedialah untuk berbuat demikian dengan semangat bersedia menghadapi sedikit kesukaran asalkan negara ini dapat diselamatkan.

Regim Dr. Mahathir sudah menunjukkan keangkuhan yang nyata. Timbalannya, Abdullah Ahmad Badawi juga nampak betul-betul macam Habibie ketika mengambil alih kuasa dari Suharto seketika dahulu. Akhbar yang nampak bebas dihentikan penerbitannya. Dia bersedia ke arah yang lebih zalim dari zaman Dr. Mahathir.

Sebagai seorang yang lemah, Abdullah terlalu bergantung kepada Dr. Mahathir. Dia cuba menunjukkan kekuatannya kerana dia nampak tanpa Dr. Mahathir, hanyutlah dia. Saingannya ialah Dato’ Seri Najib Tun Razak.

Najib tentunya kecewa kerana Dr. Mahathir memilih Abdullah dan tidak memilih dia. Dia memang pasangan ideal Dato’ Seri Anwar Ibrahim jika Anwar jadi Perdana Menteri. Malangnya, apabila Anwar terpelanting, Najib juga nampaknya tidak bernasib baik.

Rakyat Malaysia harus memikirkan nasib Indonesia jika berlaku di Malaysia seandainya Dr. Mahathir menyamai tempoh berkuasa Suharto, iaitu 32 tahun.

Dr. Mahathir menjadi begitu kebal dari segi undang-undang. Jika Sultan dan Raja-Raja Melayu ditarik semua kekebalan (imuniti) mereka, tetapi kekebalan itu kini dipegang oleh Dr. Mahathir. Dia betul-betul kebal. Sapina Mahkamah Tinggi yang menuntut dia hadir sebagai saksi kes Dato’ Seri Anwar boleh diketepikan begitu sahaja.

Hakim pun tidak berani buat apa-apa terhadapnya. Banyak perkara seperti ditunjuk-tunjuk di Mahkamah Malaysia.

Tidak ada satu pun akhbar (yang pro pemerintah) di Malaysia menyiarkan pengakuan bersumpah Dato’ Shafiee Yahaya terhadap halangan yang Dr. Mahathir lakukan terhadapnya ketika menjalankan siasatan terhadap Ali Abul Hassan Sulaiman. Dr. Mahathir melindungi perasuah dan akhbar melindungi Dr. Mahathir. Rakyat Malaysia diperbodoh-bodohkan kononnya Dr. Mahathirlah pejuang Islam dan sedang berusaha menghapuskan politik wang, rasuah dan penyelewengan di Malaysia.

Beberapa pemimpin Umno yang “ditangkap” kerana terlibat dengan politik wang dalam tahun 1996 dahulu dinaikkan pangkat dalam tahun 1999. Antaranya Dr. Abdul Latif Ahmad dari seorang Exco Kerajaan Negeri Johor kini sudah menjadi Timbalan Menteri Sumber Manusia.

Dato’ Seri Shariff Omar dari jawatan Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang kini sudah menjadi Timbalan Menteri Pertanian.

Dato’ Salamon Selamat dari seorang Ahli Parlimen biasa kini sudah menjadi Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor.

Dato’ Dr. Abd Malek Mohd Hanafiah kekal sebagai Exco Kerajaan Negeri Perak.

Maknanya, Dr. Mahathir memang tahu orang Melayu singkat ingatan mereka. Dia boleh berbuat apa sahaja kerana “dia tahu” kelemahan orang Melayu.

Sedarlah wahai bangsaku!