Oleh Pena Suasa

 

Mungkinkah Ghani Selepas Abu Hassan?

 

JIKA Abu Hassan Omar yang dilantik menjadi Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Selangor hanya mampu bertahan dua bulan dengan jawatan itu, apakah Dato’ Abd Ghani Othman yang juga Timbalan Ketua Perhubungan Umno Johor akan mengikut jejaknya?

Di sekitar Lembah Kelang, cerita ini sudah mula tersebar. Selepas Abu Hassan berundur dari kedudukan Menteri Besar Selangor, Abd Ghani diramalkan akan berundur dari kerusi MB Johor. Abd Ghani melalui seorang proxinya pernah menggajikan seorang budak Umno bernama Zaharin Yassin RM6 ribu sebulan untuk mempromosi imej Abd Ghani. Bagaimana pun, majalah yang sepatutnya terbit untuk tujuan itu tidak siap dan tidak jadi dibuat walaupun gaji budak Umno itu dibayar lebih setahun dengan kemudahan sebuah kereta dan komputer yang diberi percuma.

Isu Abd Ghani sedikit berbeza. Jika Abu Hassan jatuh kerana tuduhan skandal seks dengan adik iparnya, Abd Ghani pula dikaitkan dengan isu Penempatan Semula Orang Asli di Bekok dan duit balak.

Khabarnya BPR masih menyiasat aduan ini dan ia turut membabitkan seorang Timbalan Ketua Umno Bahagian dari Pahang.

Turut terlibat adik Dato’ Yahya Jalil. Dato’ Yahya Jalil banyak dapat projek pengswastaan di Johor dalam era Abd Ghani menjadi MB Johor.

Turut terlibat, Bendahari Umno Bahagian Ledang, Richard Azlan yang juga bekas Pengurus sebuah bank di Muar.

Lebih menarik, Timbalan Menteri Kerja Raya, Mohd Khaled Nordin juga dikatakan terlibat sama dengan sejumlah wang yang besar.

Abd Ghani yang sedang terkial-kial menyelesaikan isu hutang KPRJ, terpaksa berdepan dengan siasatan BPR mengenai isu balak dan Penenmpatan Semula Orang Asli ini.

Abd Ghani turut dikesan terlalu banyak menganugerahkan kawasan balak kepada Ahli Parlimen Sungai Benut, Abd Hamid Abd Rahman.

Abd Hamid dikatakan tidak menjalankan kerja-kerja berkempen untuk Abd Ghani ketika pertandingan Umno Mei lalu.

Jika Abd Ghani berundur, dipercayai Speaker Dun Johor, Dato’ Zainal Abidin Mohd Zin akan dilantik menggantikannya.

Bagaimana pun, dari kem Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi, nama Haji Adam Abd Hamid disebut-sebut paling layak menggantikan Abd Ghani.

Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin diramalkan menjadi Pengerusi Perhubungan Umno Negeri atas kedudukannya sebagai Naib Presiden Umno seperti yang berlaku di Selangor, selepas ketiadaan Abu Hassan.(PS)