Mahathir menggelupur saat-saat terakhir (1)
Oleh: Fathi Aris Omar [emel: faomar@yahoo.com]
 
Ikan, jika dibiarkan beberapa ketika di atas daratan,
akan melompat-lompat. Pertama, kerana tidak tahan
berada di luar alam air. Kedua, lompatannya itu
bertujuan mendekatkannya ke arah sumber air.
 
Memang tabiat ikan di daratan -- ia akan terus
melompat-lompat walaupun ada waktunya sia-sia. Malah,
lagi banyak dan lama melompat, semakin hilang
tenaganya dan kian dekatlah saat-saat nazak.
 
Perdana Menteri, Mahathir Mohamad, kini seperti ikan
itu.
 
Umno dan kerajaan yang diwakilinya itu kini
menunjukkan ciri-ciri ikan yang berada di luar air --
melompat-lompat, insangnya tercungap-cungap, berlendir
dengan harapan akan terselamat.
 
Maaf, kali ini air sudah kering untuk Mahathir!
 
Mahathir memang diburu kegusaran yang luar biasa sejak
dosanya memecat timbalannya tidak bertebus. Dia harus
berbohong 10 kali untuk menutup satu lubang
pembohongannya.
 
Tetapi malangnya, Mahathir tidak berbohong sekali
sahaja. Maka banyaklah lubang-lubang pembohongan yang
harus digali untuk menutup lubang pembohongan yang
asal. Kesian...
 
Siakap senohong, gelama ikan duri; bercakap bohong,
lama-lama hilang kerusi Perdana Menteri! (he, he, he)
 
Jentera Umno dan kerajaan tidak mampu lagi menolong
Mahathir. Malah, ahli Umno sendiri pun meluat pada
seorang presiden seperti Mahathir.
 
Menurut Ketua Polis Negara, Tan Sri Norian Mai,
Perdana Menteri itu "sungguh bimbang" apabila
diberikan taklimat awal tentang rampasan senjata di
dua kem pada awal pagi 2 Julai lalu.
 
Mahathir sendiri mengaku bahawa pada mulanya beliau
menduga kumpulan itu bertujuan "memberontak" tetapi
mujurlah rupa-rupanya pertubuhan silat Al-Ma'unah
tidak bertujuan begitu.
 
Pada minggu pertama memecat Anwar dan menuduhnya
meliwat (September, 1998), Mahathir mengetatkan
kawalan keselamatan ke atas dirinya. Beliau tidak lagi
tinggal di kediaman rasminya di Seri Perdana.
Sebaliknya tinggal jauh dari pusat bandar Kuala
Lumpur.
 
Wartawan-wartawan media arus perdana diperhatikan.
Kawalan dan tapisan mereka yang layak membuat liputan
sidang akhbar PM diperketatkan. Pemberita lelaki yang
berjanggut "disyaki" penyokong bekas timbalannya.
 
Pernah suatu hari, ketika Mahathir begitu asyik dan
khayal berbicara dalam sidang medianya, sebuah alat
perakam suara "meletup." Terperanjat besar Mahathir
dan beliau kelihatan sangat terkejut dan berpeluh di
dahi. Rupa-rupanya bukan bom; bukan juga peluru.
 
Kumpulan wartawan media arus perdana itu turut
terkejut besar. Bukan kerana bunyi "letupan" itu
tetapi kerana melihat gelagat Mahathir yang panik dan
kaget tidak berhujung pangkal.
 
Rupa-rupanya, alat perakam itu "meletup" kerana pita
kasetnya sudah habis, maka butang rekodnya pun
tertendang secara automatis! Hai, pemimpin berdosa...
di mana-mana pun dibayangi rasa bersalah yang amat
sangat.
 
(bersambung ke bahagian 2 esok.... )