Kisah Malang Peserta Rancangan Felcra Gugusan Lubuk Sireh, Padang Besar, Perlis

Bagi menyelesaikan masalah air di negeri Perlis pada sekitar tahun 1987 pihak kerajaan negeri Perlis telah merancang perlaksanaan satu projek pembinaan Empangan. Empangan yang kemudiannya dikenali sebagai empangan Timah Tasoh ini dibina dengan tujuan menakung air bagi kegunaan industri, domestik, pertanian dan pengawalan banjir. Projek yang bernilai 67 juta ringgit ini merangkumi keluasan 13.33 km. persegi dengan keupayaan tadahan sebanyak 35.5 juta liter air.

Memandangkan kawasan yang dikenalpasti untuk projek tersebut melibatkan beberapa buah kampung tradisional, penduduk di kawasan terbabit terpaksa dipindahkan. Bagi tujuan penempatan semula ini Kerajaan negeri telah mengenalpasti kawasan Lubuk Sireh yang merupakan sebahagian daripada hutan simpan Mata Air untuk dimajukan sebagai kawasan penempatan baru.

Untuk meminta penduduk yang terbabit berpindah pihak kerajaan negeri telah berunding dengan wakil penduduk setempat yang akan terjejas dengan terlaksananya projek ini. Setelah beberapa siri perbincangan pihak kerajaan negeri telah bersetuju untuk memberikan pampasan berupa wang tunai, pemberian sebidang tanah untuk tapak rumah dan pembahagian saham ladang yang akan dimajukan oleh pihak Felcra Berhad. Selain daripada itu pehak kerajaan juga bersetuju untuk menyediakan kemudahan sosial dan kemasyarakatan untuk kemudahan semua yang terlibat.

Pehak Felcra Berhad telah diberikan tanggungjawab untuk memajukan kawasan penempatan dan ladang. Kerja - kerja membersihkan kawasan seluas 101 hektar di Lubuk Sireh dimulakan pada tahun 1985 di bawah projek Pembangunan Pertanian Bersepadu (AIDP). Kerja - kerja ini dilaksanakan bagi menyediakan 483 lot perumahan bagi menampung perpindahan penduduk yang akan dipindahkan nanti. Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Pemandu projek AIDP juga telah memberikan tanggungjawab kepada Felcra Berhad untuk memajukan kawasan ladang pertanian seluas 2,153 hektar di Lubuk Sireh secara berperingkat. Semua perancangan ini dilaksanakan sebagai galakan dan jaminan sara hidup dan masa depan supaya mereka yang terbabit mahu berpindah.

Selepas diberikan bayaran pampasan dan dengan jaminan - jaminan seperti yang dinyatakan diatas penduduk - penduduk di kawasan yang terjejas itu mula berpindah secara berperingkat. Perpindahan pertama berlaku pada bulan April 1987 yang melibatkan 91 keluarga dan kemudian diikuti dengan tiga peringkat seterusnya berakhir pada Januari 1990. Keseluruhannya perpindahan rakyat ini melibatkan 374 keluarga. Perpindahan ini adalah merupakan satu pengorbanan besar yang telah direlakan oleh penduduk - penduduk terbabit demi memberikan laluan kepada suatu projek kerajaan. Mereka yang terlibat merelakan kampung halaman tanah tumpah darah ditenggelamkan demi memberikan kebaikan kepada seluruh penduduk negeri Perlis. Pengorbanan ini sangat tinggi nilainya berbanding dengan bayaran pampasan dan lain - lain jaminan yang diberikan kepada mereka sebagai ganti.

Berbeza dengan rancangan tanah yang lain dimana peserta - perserta perlu memohon dan ditemuduga, mereka yang terlibat dengan perpindahan ini terus diiktiraf sebagai peserta rancangan Felcra Lubuk Sireh. Sebagai peserta rancangan semua mereka yang terlibat juga secara langsung menjadi ahli Koperasi Peserta Felcra (KPR).

Sejak dipindahkan para peserta mula belajar hidup di kawasan penempatan baru. Sistem masyarakat tradisional di kampung asal cuba disesuaikan dengan suasana baru. Pihak pengurusan Felcra dan kerajaan negeri pada masa itu di bawah pentadbiran Dato' Ali Haji Ahmad telah membantu bagi menyesuaikan para peserta dengan suasana yang baru ini. Berbekalkan semangat yang tinggi dan ikatan ukhwah yang kuat masyarakat peneroka baru Felcra Gugusan Lubuk Sireh ini telah berjaya membina kehidupan yang aman dan tenteram.

Diantara tahun 1987 sehingga 1994 para peserta secara berperingkat telah menandatangani perjanjian dengan pihak Felcra Berhad. Antara lain perjanjian tersebut menerima mereka yang terlibat sebagai peserta skim rancangan dan menjamin pemberian hakmilik saham ladang setelah selesai proses pembayaran balik yang akan dipotong dari keuntungan sekim. Dalam tempoh yang sama juga Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri telah bermesyuarat sebanyak empat kali dan telah meluluskan seramai 268 orang sebagai peserta rancangan dengan meluluskan pegangan saham ladang yang tidak dinyatakan keluasannya.

Bermula tahun 1995 para peserta telah mula dibayar pendahuluan dividen, sehingga awal tahun 1999 para peserta telah menerima RM 1,100.00 dengan 5 ansuran bayaran. Pembayaran ini dibuat berdasarkan hasil tanaman getah yang telah mengeluarkan hasil dan dibuat melalui Koperasi Peserta Rancangan. Begitulah keadaan kehidupan seharian para peserta rancangan Felcra Gugusan Lubuk Sireh sehingga sesuatu yang amat malang berlaku menjelang akhir 1999 sebelum pilihanraya umum ke 10.

Pada bulan November 1999 lebih kurang 135 orang peserta yang sebelum ini menerima pendahuluan dividen dinafikan daripada menerima bayaran tersebut. Mereka yang terlibat terpinga - pinga memikirkan kenapa ini boleh berlaku walaupun sudah ada yang mengagak ini sebagai tindakan politik. Mereka yang terbabit menubuhkan sebuah jawatankuasa bertindak khas bagi menangani masalah ini. Jawatankuasa ini mengemukakan rayuan dan meminta penjelesan daripada pelbagai pihak namun semua usaha mereka hampa belaka. Bahkan semasa rombongan peserta yan terlibat berhimpun secara aman untuk mendapatkan penjelasan dari pihak pengurusan Felcra, mereka diawasi oleh begitu ramai anggota polis sehingga ada yang dituduh melakukan kacau bilau dan diuggut akan ditangkap.

Yang Berhormat Dato' Azmi Khalid yang merupakan wakil Parlimen kawasan berkenaan juga tidak mempedulikan malah seolah - olah merestui kejadian ini. Kedudukan beliau sebagai Menteri Pembangunan Luar Bandar yang secara langsung bertanggungjawab keatas rancangan tanah lebih - lebih lagi dalam kawasan parlimennya sendiri tidak langsung digunakan untuk membela nasib peserta - peserta rancangan yang terbabit.

Pada 10 Februari 2000 wakil daripada Jawatankuasa bertindak ini telah menemui Menteri Besar Perlis YAB Dato' Seri Shahidan Kassim untuk meminta penjelasan. Namun usaha ini juga tidak berhasil. Pada perjumpaan tersebut, andaian bahawa tindakan ini adalah bermotifkan politik ternyata benar. Dato' Seri Shahidan dalam penerangan beliau berkaitan isu ini menggambarkan pendirian mengutamakan penyokong kerajaan dan membelakangkan penyokong pembangkang. Langkah yang diambil jelas adalah sebagai hukuman dan pengajaran kepada mereka yang tidak menyokong UMNO/BN.

Menjelang pilihanraya ke 10, sepertimana di tempat - tempat lain Negeri Perlis juga turut dilanda angin perubahan. Penganiayaan kepada Dato' Seri Anwar Ibrahim telah membangkitkan kemarahan rakyat di seluruh cerok rantau di Malaysia termasuk di Felcra Lubuk Sireh. Pada sekitar bulan September 1999 sebuan cawangan Parti Keadilan Nasional telah ditubuhkan di rancangan Felcra ini. Ramai di kalangan pimpinan UMNO cawangan telah berpindah untuk menganggotai dan memimpin cawangan keADILan yang baru ini. Dan bendera keADILan mula berkibar menggantikan bendera UMNO dan BN. Keujudan keADILan ini menguatkan lagi barisan pembangkang apabila bergabung tenaga dengan PAS yang telah lama bertapak di rancangan tanah ini. Walaupun BN masih menguasai kerusi DUN dan Parlimen di kawasan ini selepas pilihanraya ke 10, namun ini adalah merupakan tamparan hebat kepada UMNO yang mengalami penurunan majoriti yang mendadak.

Kebingungan peserta - peserta rancangan ini akhirnya terjawab apabila mereka menerima surat daripada Koperasi Peserta Rancangan bertarikh 27 Jun 2000. Surat yang ditandatangani oleh pengerusi Koperasi ini bertajuk " Terhenti Menjadi Anggota Koperasi" . Pada para kedua surat berkenaan tertulis "Dimaklumkan, memandangkan nama tuan/puan telah tidak tersenarai sebagai peserta rancangan yang sah (tidak memiliki pegangan saham ladang) di bawah Skim Tanah Rancangan Felcra Lubuk Sireh oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, maka dengan sendirinya tuan/puan bukan lagi sebagai peserta rancangan Felcra dan dengan itu juga tuan/puan tidak layak menjadi anggota dalam koperasi ini."

Melalui khidmat peguam senarai peserta yang telah dipinda melalui mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri telah diperolehi. Keputusan - keputusan tersebut dibuat pada dua mesyuarat berasingan pada bulan Ogos dan November 1999. Diskriminasi politik jelas dapat dikesan daripada pindaan ini dimana yang tercicir adalah dikalangan mereka yang menyokong dan menjadi ahli PAS atau keADILan. Walaupun pindaan ini telah dibuat namun tidak seorangpun yang terbabit menerima apa - apa makluman resmi samada dari pihak Felcra Berhad maupun pihak Kerajaan Negeri yang menyatakan kedudukan status mereka. Peserta - peserta yang dicicirkan juga tidak pernah dipanggil untuk memberi keterangan ataupun membela diri atas apa - apa kesalahan atau tuduhan.

Para peserta yang disingkir ini adalah merupakan mereka yang telah banyak menyumbang kearah pembangunan masyarakat dan kejayaan rancangan tanah berkenaan. Diantara mereka adalah beberapa orang yang telah terlibat sejak dari awal dalam rancangan tanah ini. Dalam kumpulan inilah juga terdapat pemimpin - pemimpin masyarakat yang telah berusaha memujuk peserta - peserta yang lain untuk berkorban demi untuk menjayakan projek empangan berkenaan. Ada diantara mereka yang dicicirkan adalah bekas Ahli Lembaga Koperasi Peserta dan semasa penyingkiran dibuat masih menjadi Ahli Lembaga Koperasi Peneroka Felcra Berhad, peringkat Kebangsaan. Diantara mereka juga merupakan penerima Anugerah Peneroka Jaya Negeri Perlis dan pernah memegang tugas sebagai Pengurus Eksekutif Projek. Beberapa orang lagi pula pernah selama beberapa tahun berkhidmat sebagai Ahli Jawatanuasa Kemajuan Peserta (JKKP)

Sejak penyingkiran dibuat peserta - peserta yang terbabit mula disisihkan daripada aktiviti - aktiviti Felcra dan Koperasi Peserta. Mujurlah tapak rumah yang mereka diami telahpun menjadi hakmilik mereka untuk membolehkan mereka terus tinggal disitu. Namun penyingkiran ini telah menyulitkan kehidupan seharian mereka, jika sebelum ini mereka boleh bekerja secara kontrak dalam projek - projek yang dikendalikan oleh Felcra atau Koperasi sekarang peluang itu semakin kurang. Menjelang musim awal persekolahan dan Hari Raya mereka hanya boleh sekadar mendengar berita bahawa jiran sebelah telah menerima pendahuluan dividen sedangkan mereka terpaksa bertungkus lumus, membanting tulang berbuat apa saja yang halal untuk mencukupkan belanja. Ada seorang ibu tua yang sebelum menghembuskan nafasnya yang terakir merintih diatas kezaliman yang dilakukan terhadapnya " amboi, tergamaknya depa tak bagi duit dekat aku, aku nak makan sebelum nak mati, zalimnya depa" .Ibu tua ini akhirnya kembali ke rahmatullah membawa harapan yang tidak kesampaian.

Adalah amat memilukan apabila orang - orang yang telah berkorban apabila kerajaan memerlukan pengorbanan mereka, kemudiannya dianiaya cuma kerana mereka membuat pilihan sebagai rakyat yang bebas dan merdeka. Kini selepas hampir 15 bulan, peserta - peserta yang disingkirkan ini bertekad mengambil tindakan undang - undang bagi mendapatkan semula hak meraka yang telah dirampas . Kes ini akan difailkan di Mahkamah Tinggi Kangar dalam tempoh terdekat. Semangat, kesabaran, keberanian dan kesungguhan para peneroka ini untuk menegakkan keadilan dan mempertahankan hak mereka amat mengkagumkan. Jika ramai lagi rakyat Malaysia yang sehebat ini insy'Allah perobahan akan pasti terjadi. Kita doakan agar keadilan akan berlaku kepada mereka yang telah dizalimi ini. Kepada seluruh rakyat Malaysia yang cintakan keadilan dan kebenaran hebahkan cerita ini agar menjadi pembuka mata tentang kezaliman yang sedang berleluasa di negara kita yang tercinta ini.

"Kembalikan Hak Rakyat"

Pencinta Keadilan Indera Kayangan