Fathi Aris Omar: Kenapa tidak habis-habis cuba fitnah
saya?
 
Tulisan seorang pengguna internet yang menggelarkan
dirinya "Afa" dalam laman-laman Tranung Kite Minda
Rakyat dan Detikdaily pada Sabtu lalu (15 Julai, 2000)
sekali lagi mempunyai niat yang tidak baik. Sebelum
ini, penulis berkenaan telah menyerang saya dengan
cara membongkarkan apa yang beliau namakan keburukan
sebuah pertubuhan Islam, JIM.
 
Isu ini sebenarnya tidak pernah berbangkit kecuali
selepas beberapa siri tulisan saya yang mengkritik
pembangkang, khususnya Parti KeADILan Nasional atau
beberapa pendedahan saya tentang politiking dalam
parti itu.
 
Saya telah menjelaskan bahawa saya tidak lagi
mempunyai sebarang hubungan dengan pertubuhan JIM.
Malah, saya juga memaklumkan bahawa saya juga menulis
dalam rangka mengkritik JIM, ABIM, PKPIM dan Asasi
sejak musim reformasi pada 1998 lagi.
 
Saya juga pernah mendesak perletakan jawatan Presiden
JIM waktu itu (Sdr Hj Saari Sungib) dan ia tersebar
dalam kumpulan diskusi pertubuhan itu, Islah-Net pada
tempoh tersebut dan awal tahun lalu. Ada beberapa
tulisan saya dalam kumpulan diskusi itu juga
mengkritik dan menyindir beberapa langkah pertubuhan
itu.
 
Itu semua tidaklah ganjil kepada ahli-ahli JIM kerana
sememangnya mereka mengenali dan mengiktiraf peranan
saya secara peribadi sebagai penulis.
 
Bagaimanapun, tidak semua pihak berasa senang dengan
kritikan dan penulis yang kritis. Seseorang yang
menggelarkan dirinya "Afa" itu nampaknya memang geram,
marah dan kecewa dengan siri-siri tulisan saya tentang
KeADILan.
 
Lalu, walaupun saya telah menjelaskan kedudukan
perkara yang sebenar, beliau masih tidak
mempercayainya. Beliau masih menyelitkan nama saya
dengan JIM atau kerenah beberapa bekas aktivis
pertubuhan itu dalam KeADILan.
 
Beliau sebenarnya tidak mempunyai sebarang maklumat
(jauh sekali bukti) tentang diri saya sehingga sanggup
membuat tohmahan berikut:
 
(dipetik) Fathi Aris dalam respon melentingnya mengaku
beliau adalah orang besar dalam JIM Keghairahan beliau
mengkritik Anuar Tahir sehingga sanggup menghina
keluarga Dato’Seri Anwar dan memperlekehkan Dr Chandra
adalah sama dengan kritikan tokoh-tokoh JIM dalam
keADILan sekarang ini. (petikan tulisan "Afa", Sabtu
15 Julai)
 
Cara yang beliau (dan beberapa lagi penulis tanpa
wajah seperti Afa) disebut propaganda - teknik itu
ialah "ad hominem" (satu istilah Latin) atau maksudnya
(secara literal) "serang orang itu". Ertinya, cara
menolak hujah, melunturkan kepercayaan atau
merendahkan nilai kekuatan hujah seseorang (termasuk
penulis) ialah dengan cara menyerang kelemahan,
keburukan dan hal-hal peribadi seseorang; tetapi
meninggalkan isi-isi idea yang cuba dibangkitkan oleh
seseorang itu.
 
Dalam bidang pemikiran, "ad hominem" dikelaskan
sebagai salah satu kepalsuan minda ketika berfikir.
 
Dalam bidang propaganda, "ad hominem" bertujuan
'meng-discredit-kan' sumber maklumat, sumber berita
atau sesuatu pihak dengan cara memburuk-burukkannya
tetapi tidak memberikan keutamaan kepada isi atau
kandungan tulisan yang sedang menjadi topik
perbicaraan.
 
Tetapi Afa tidak mempunyai alasan yang cukup untuk
meng-discredit-kan saya secara langsung, lalu beliau
mengaitkan saya dengan JIM.
 
Seperti juga beberapa pemimpin kanan KeADILan
menganggap pengkritik parti itu sebagai "agen Umno
atau Barisan Nasional" atau "orang yang diperalatkan
oleh Umno dan BN." Nada mereka tidak jauh bezanya
dengan gelagat Dr Mahathir yang menuduh kumpulan
reformasi sebagai "agen asing."
 
Niat tidak baik "Afa" (dan beberapa orang lagi) jelas
ketara apabila mereka tidak menulis kepada organisasi
media yang asal yang menerbitkan tulisan saya
(kebetulan tempat saya bertugas, Malaysiakini.Com).
Sebaliknya, mereka menabur rasa geram dan minda keliru
mereka ke laman-laman web yang lain dan secara tidak
langsung mengajak wujudnya pertentangan dengan
laman-laman web tersebut.
 
"Afa" yang tidak mempunyai wajah dan identiti itu
sekali lagi menyokong pandangan bahawa beliau tidak
ikhlas dan cuba mencari jalan penyelesaian, sebaliknya
hanya cuba memburuk-burukkan saya.
 
Saya cukup faham jenis permainan yang mereka cuba
tunjukkan. Jika beliau seorang yang bersimpati dengan
KeADILan, tentunya beliau tidak termasuk di kalangan
mereka yang sedar, arif dan berjiwa besar.
 
Saya sama sekali TIDAK AKAN menuduh atau
mengkategorikan "Afa" sebagai orang KeADILan yang
pro-Anuar Tahir atau pro-Dr Chandra. Kecualilah saya
mendapat bukti yang kukuh atau mengetahui identiti
"Afa" yang sebenarnya, saya menganggap beliau seorang
yang mempunyai nilai agen musuh.
 
Sebagai seorang penulis dan aktivis, insya Allah saya
cukup berpengalaman menangani penulis seperti itu.
 
Jika kritikan itu berniat untuk saya memberhentikan
kritikan, analisis dan tulisan tentang KeADILan atau
pembangkang (dan juga kerajaan), beliau (dan mereka)
akan berasa kesal kerana saya tidak akan berhenti
berbuat demikian. Usaha penulis seperti "Afa" akan
gagal dan terbukti gagal.
 
Sebagai penulis yang wujud di alam nyata dan dikenali,
saya bertanggungjawab sepenuhnya terhadap
tulisan-tulisan saya. Kalau saya berani mengkritik
kerajaan dan menghadapi pelbagai risiko, kenapa pula
saya harus takut mengkritik KeADILan atau pembangkang?
 
 
Jika "Afa" berminat menulis untuk disiarkan, tulislah
dengan jelas, baik dan berdaya analitis kepada
editor@malaysiakini.com.
 
Jika beliau hanya berminat melepaskan rasa geram
kepada saya, silalah hubungi saya di alamat emel dan
nombor telefon seperti di bawah:
 
Fathi Aris Omar
emel: fathi@malaysiakini.com
tel (pej): 03-431-17-64 (jam 9 pagi - 11 pagi)