Kenyataan Media Angkatan Pemuda Parti Rakyat Malaysia (APPRM)

Polis Bertindak Kejam :Bebaskan Ezam dengan segera !

APPRM membantah keras penahanan Ketua Pergerakan Pemuda Parti KeADILan Nasional Sdr. Ezam Mohamad Nor malam semalam. Dari maklumat yang diterima Sdr.Ezam telah ditahan ala Gestapo di hadapan rumah Datin Seri Dr. Wan Azizah, Presiden Parti KeADILan Nasional. Beliau kini sedang ditahan di Balai Polis Jalan Stadium.

Ada laporan mengatakan bahawa rumah Sdr.Ezam telah digeledah oleh pihak polis siang tadi. Untuk tujuan apa kita tidak tahu. Yang pastinya, pihak polis begitu cepat bertindak apabila Pemuda UMNO membuat laporan polis mengenai Sdr.Ezam. Sedangkan berpuluh-puluh laporan polis yang telah dibuat oleh Sdr.Ezam dan Barisan Alternatif tidak diambil apa-apa tindakan oleh pihak polis. Apa yang sering berlaku adalah pihak polis akan bertindak menyiasat atau menahan mereka yang membuat laporan tersebut.

Beberapa hari kebelakangan ini, akhbar-akhbar arus perdana telah membuat tuduhan palsu terhadap Sdr .Ezam dengan mengatakan bahawa beliau akan mengadakan demonstrasi setiap hari untuk menggulingkan kerajaan. Tuduhan yang sama terhadap Sdr.Ezam telah dibuat oleh Perdana Menteri Dr. Mahathir.

APPRM sangat kecewa dan kesal kerana tuduhan yang dibuat adalah tidak berasas sama sekali dan telah dinafikan oleh Sdr. Ezam.

Kenyataan Dr.Mahathir bahawa parti pembangkang takut kepada demokrasi lantas cenderung untuk mengadakan demonstrasi jalanan adalah satu penipuan semata-mata. Hakikatnya, Dr. Mahathir berserta regimnya yang takutkan demokrasi. Lihatlah pelbagai sekatan yang dikenakan keatas rakyat untuk menutup ruang demokrasi mereka. Di manakah hak rakyat untuk berhimpun secara aman ? Apakah ISA, OSA, Akta Universiti dan Kolej, Akta Hasutan dan sebagainya bukan undang-undang yang menutup ruang demokrasi ? Siapakah yang sebenarnya takutkan demokrasi jika bukan Dr. Mahathir dan regimnya.

Esok merupakan Hari Raya Aidil Adha. Kenapa pihak polis tidak boleh bertindak dengan lebih peri kemanusiaan dan menunggu sehingga selepas sambutan Hari Raya untuk menahan Sdr.Ezam ? APPRM berharap keluarga Sdr.Ezam tabah menanti kepulangannya.

APPRM mendesak agar pihak polis bertindak dengan cara yang lebih bertamadun dan segera membebaskan Sdr.Ezam. Janganlah pihak polis mengikut rentak ahli politik kerana tugas polis bukannya berpolitik tetapi menjaga keamanan dan keselamatan rakyat dan negara. Pihak polis mesti bertindak secara profesional.

Faizal Sanusi Ketua Angkatan Pemuda Parti Rakyat Malaysia 6hb Mac 2001