Dari Keadilan Antarabangsa Eropah:

‘Persecution’ dan Ironisnya Kerajaan BN

 

            Dr. Mahathir hari ini menegaskan bagaimana kerajaan pimpinan UMNO yang komited untuk menyatukan umat Islam dan menjamin bahawa tidak akan ada persecution dari umat Islam terhadap masyarakat bukan Islam – dipetik daripada akhbar The Star hari ini 11 Julai 2000.

 

            Ucapan rambang sebegini yang dibuat oleh Dr. Mahathir dari semasa ke semasa membuktikan bagaimana ‘lidah bercabang’nya kerajaan Barisan Nasional dalam usaha mereka mengabui mata rakyat. Slogan dan janji kosong sebegini jelas bertentangan dengan tindakan dan amalan yang dilakukan oleh kerajaan Barisan Nasional, terutamanya semenjak memenangi Pilihanraya yang lalu.

 

1)                   Sebuah parti yang masih mengamalkan politik sempit perkauman seperti UMNO, MIC dan MCA jelas menjadi kontradiksi kepada idea perpaduan masyarakat Malaysia itu sendiri. Berbanding semua parti alternatif yang tidak satupun meletakkan teras perkauman sebagai asas di dalam perlembagaannya, parti-parti komponen Barisan Nasional adalah parti yang dibentuk atas dasar menjaga kepentingan sesebuah kaum sahaja.

 

Oleh yang demikian, perjalanan kerajaan Barisan Nasional selama ini adalah tidak lebih ‘politik akomodatif’ yang cuba mencari jalan tengah semata-mata untuk mempastikan parti komponen lain (secara langsung kaum-kaum lain) tidak berasa diketepikan. Maka, polisi dibentuk dengan ras perkauman agar setiap kaum merasa dibela – tidak kira walau pada keseluruhannya dasar itu adalah baik atau tidak untuk masa hadapan negara.

 

Contohnya, sistem kuota Menteri-menteri yang diberikan kepada parti-parti tertentu acapkali meletakkan Kementerian tersebut dibawah seorang Menteri yang tidak ada kena mengena dengan kepakaran berkaitan. YB. Chua Jui Meng contohnya, dikritik hebat kerana dikatakan tidak memahami perjalanan dan isu logistik Kementerian Kesihatan kerana bukannya berlatar belakangkan bidang tersebut. Walaupun KAE tidak meletakkan kriteria ini sebagai muktamad di dalam menentukan kesesuaian seseorang pemimpin, dasar politik berasaskan gabungan parti perkauman sebegini jelas meletakkan banyak kekangan di dalam perjalanan kerajaan.

 

Politik ‘pecah dan perintah’ yang merupakan warisan penjajah ini bertentangan dengan hasrat yang diluahkan oleh Dr. Mahathir tadi. Secara kasarnya, adalah terlalu sukar bagi sebuah kerajaan yang dibentuk atas dasar perkauman untuk menghapuskan sentimen perkauman – berbanding dengan sebuah kerajaan lain yang berpaksikan kepelbagaian kaum dan mengakui bahawa usaha-usaha drastik perlu diambil untuk mendekatkan jurang perkauman di Malaysia.

 

Inilah bezanya diantara kerajaan Barisan Nasional dan Barisan Alternatif. Kerajaan Barisan Nasional tidak lama lagi akan ketinggalan zaman kerana orientasi perkaumannya sudah tidak sesuai dengan peredaran zaman; jauh sekali untuk menyatu padukan rakyat pelbagai kaum di Malaysia.

 

Jika Dr. Mahathir seorang pemimpin yang ada integriti dan kepintaran, beliau sudah pasti belajar dari sejarah dan mengundur diri secepat mungkin.

 

Sejarah mengajar kita bahawa sebuah kerajaan yang sejarahnya berorientasikan Apartheid tidak mungkin memimpin sebuah masyarakat berbilang bangsa Afrika Selatan ke arah perpaduan. Atas kesedaran ini F.W. de Klerk secara bermaruah menyerahkan kuasa kepada rakyat melalui pilihanraya yang adil, melepaskan tahanan politik Mandela dan menerima keputusan rakyat.

 

Namun itulah bezanya diantara seorang negarawan dan ahli politik lincah yang mementingkan diri.

 

Negarawan berundur apabila masanya sudah tiba, ahli poltik berkepentingan memanipulasi kuasa untuk menekan rakyat dan mereka yang lemah.

 

2)                   Sejak memenangi pilihanraya yang lepas, kerajaan Barisan Nasional telah menghalalkan ‘political persecution’ di Malaysia. Malah ia telah disampaikan kepada rakyat jelata melalui media yang dikuasai kerajaan sebagai satu amalan biasa yang mana mereka yang taat dan berterima kasih dihadiahkan ganjaran, yang tidak sependapat akan dihukum.

 

Ini sudah pasti meletakkan kenyataan Dr. Mahathir tadi di dalam perspektif bahawa ia tidak ada makna dan harga langsung. Bagaimanakah sebuah kerajaan yang menghalalkan ‘political persecution’ di segenap peringkat masyarakat berhasrat menjamin ‘persecution’ sebegini tidak dilakukan? ‘Double-standard’ dan pembohongan dari pimpinan tertinggi kerajaan Barisan Nasional sebegini sudah pasti makin menjejaskan kredibiliti kerajaan BN di mata rakyat dan peringkat antarabangsa.

 

Kerajaan Melaka telah meletakkan amalan demokrasi di negara ini tidak lebih pada slogan semata-mata apabila segala bentuk tekanan telah dikenakan terhadap mereka yang dikenalpasti tidak menyokong kerajaan BN.

 

Menteri Pembangunan Usahawan sendiri dengan tanpa segan silu mengumumkan bagaimana biasiswa dan bantuan kewangan MARA hanya akan diberikan kepada mereka yang menyokong kerajaan BN sahaja.

 

Dr. Mahathir sendiri menyatakan bahawa royalti petroleum milik kerajaan Terengganu akan dikaji semula kerana ia kini berada ditangan pembangkang.

 

Ini adalah contoh-contoh yang diketahui umum bagaimana pada peringkat pimpinan tertinggi kerajaan BN, ‘political persecution’ diamalkan sebagai satu senjata politik. Ini belum lagi menyentuh isu-isu lain seperti keadilan yang tidak diberikan kepada Dato’ Seri Anwar Ibrahim, tekanan yang terpaksa dihadapi oleh tahanan-tahanan politik/demonstrasi dan sebagainya.

 

Pada dasarnya, kerajaan BN adalah diskriminator nombor satu di Asia Tenggara – kerana undi popularnya hanyalah 55% tetapi rakyat yang selebihnya yang menyokong BA jika dikenalpasti tidak akan diberikan hak mereka seperti termaktub di dalam Perlembagaan.

 

 

Adalah ironik kerajaan yang survivalnya bergantung kepada ketidakadilan dan ‘persecution’ bertekad mencegah perkara-perkara tersebut tidak akan dilakukan terhadap kaum minoriti. Walaupun KAE sudah cukup masak dengan taktik menakut-nakutkan kaum minoriti dengan kebangkitan Islam, kami percaya rakyat bukan Melayu sudah cukup matang menilai perkembangan di tanah air.

 

Janji Dr. Mahathir untuk menjamin ‘persecution’ tidak berlaku samalah seperti janji yang diberikan oleh pihak Spanish Holy Inquisition dahulu – bahawa mereka yang datang ke hadapan akan diampunkan. Mereka dibakar secara hidup-hidup kemudiannya.

 

Mempercayai sandiwara kerajaan BN ini samalah seperti membakar masa depan kita hidup-hidup di depan mata kita!

 

Keadilan Antarabangsa Eropah

11 Julai 2000