Teks Ucapan Junjung Kasih Ke Bawah DYMM  Agong

Oleh YB Mustafa Ali – MP Dungun

 

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Lim Si Cheng]: Dungun.

4.00 ptg.

          Tuan Mustafa bin Ali [Dungun]: Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.  Yang Berhormat Datuk Yang di-Pertua, terima kasih kerana keizinan untuk saya turut membahaskan Titah Ucapan yang sedang dibincangkan sekarang. Sebelum saya meneruskan dengan beberapa perkara, sementara Yang Berhormat bagi Rompin masih ada[Ketawa] uma dua perkataan saya hendak ucapkan, memang tugas orang yang menjaga api ini menjadi batu api. [Ketawa] [Tepuk]

          Puan Chong Eng:  Betul, betul. Selalu macam ini. Harap pagar, pagar makan padi juga. [Sorak]

          Beberapa Ahli:  Betuuul.

          Tuan Mustafa bin Ali: Tuan Yang di-Pertua,  saya hanya akan menyentuh satu tajuk sahaja iaitu masalah perpaduan yang telah disentuh oleh banyak daripada kalangan Yang Berhormat, cuma mungkin perspektifnya dari sudut yang agak berbeza.  Saya melihat – memang kita menghadapi masalah ini dalam negara kita Malaysia tetapi suka saya menegaskan bahawa perpaduan tidak boleh ditegakkan dengan kebencian. Perpaduan hanya boleh ditegakkan dengan kasih sayang, dengan persaudaraan dan hormat menghormati di antara satu sama lain, tanpa mengira agama dan kaum. Sebab itulah Islam sebagai asas mengajar bahawa semua kita adalah bersaudara.  Yang sama-sama beragama Islam mereka adalah saudara seagama, yang bukan beragama Islam, mereka adalah saudara atas nama kemanusiaan. 

Atas nama persaudaraan yang seperti inilah maka kita akan dapat mewujudkan perpaduan yang kita kehendaki, apa lagi dalam satu masyarakat majmuk seperti negara kita Malaysia. Negara Islam pertama Madinah adalah diasaskan dalam satu masyarakat yang sifatnya majmuk.  Oleh kerana itu, bukan satu perkara yang mustahil kita dapat mewujudkan perpaduan dalam negara kita jika asas-asas keadilan, kemanusiaan yang penuh rasa kasih sayang dan harmoni ini terus ditegakkan. 

          Tesis yang dikemukakan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri bahawa “Perpaduan tulen akan tercapai kalau semua orang, kaum yang selain daripada Melayu jadi Islam atas dasar Asimulasi, maka kita akan mendapat satu perpaduan tulen”. Ini bukan tesis yang benar, Tuan Yang di-Pertua.  Berdasarkan kajian sosiologi politik dan  apa pun, selama walaupun satu negara itu terdiri daripada  satu bangsa, satu agama, tetapi keadilan tidak ditegakkan, kita tidak mungkin akan mencapai perpaduan yang kita kehendaki. [Tepuk] Sebab itu, amalan perpecahan ini sebenarnya dilakukan oleh pemimpin-pemimpin yang sedang memerintah negara kita sekarang [Tepuk] Terutama sekali pemimpin-pemimpin UMNO [Tepuk]

Ditimbulkan soal empat perkara yang menjadi sebab kepada perpecahan yang berlaku di kalangan orang Melayu. Maka, dijadikan empat perkara itu sebagai asas kononnya untuk menyatukan PAS dan UMNO, sekurang-kurangnya boleh bercakap. Apa dia empat perkara disebut oleh Perdana Menteri – soal Raja-Raja Melayu, soal agama Islam, soal bahasa Melayu, soal hak keistimewaan.  Saya tidak menafikan bahawa dalam sejarah negara kita mungkin di dalam tahun 60-an dahulu wujud barangkali orang-orang yang mempertikaikan soal hak istimewa ini, tetapi mutakhir ini bermula saya kira tahun 80-an, 90-an tidak ada lagi orang yang mempertikaikan empat perkara yang disebut oleh UMNO, oleh Perdana Menteri.

Dato’ Dr. Haji Jamaludin bin Dato’ Mohd. Jarjis:  Betulkah ini?

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Lim Si Cheng]: Yang Berhormat Rompin…

Tuan Mustafa bin Ali:  Yang Berhormat, tunggu dahulu saya hendak sebut.

Dato’ Dr. Haji Jamaludin bin Dato’ Mohd. Jarjis:  Ini tidak benar,

Tuan Mustafa bin Ali:  Tuan Yang di-Pertua. Saya tidak melihat secara  terus-terang, PAS apa yang terkandung di dalam Perlembagaan ini empat-empat perkara yang terkandung  di dalam Perlembagaan dan kami mempertahankan  Perlembagaan yang mengandungi empat perkara ini. Tidak perlu dipertikaikan bahawa  PAS tidak mempertahankan empat  perkara yang disebut sebagaimana wujudnya dalam Perlembagaan negara kita. Saya melihat pimpinan parti politik lain sama ada dalam BN, dalam BA yang bukan daripada parti Melayu, MCA, MIC, DAP, KeADILan dan lain-lain, tidak ada siapa yang mencabar empat perkara yang disebut dalam Perlembagaan ini.

Dato’ Dr. Haji Jamaludin bin Dato’ Mohd. Jarjis: Suqiu?

Tuan Mustafa bin Ali: … termasuk Suqiu. Yang dicabar ialah pelaksanaan daripada  hak istimewa itu.

Beberapa Ahli:  Ya. [Tepuk]

Tuan Mustafa bin Ali:  Bukan hak istimewa itu.

Beberapa Ahli:  Ya.

Tuan Mustafa bin Ali: Pelaksanaan yang tercabar ini oleh kerana kelemahan ataupun penyelewengan yang dilakukan oleh kerajaan yang sedang memerintah hari ini. [Tepuk] Oleh kerana itulah persoalan ini timbul sebenarnya kerana gara-gara yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin kerajaan yang membuat contoh yang diikuti oleh mereka yang di bawah.  Kita tidak mempunyai terlalu banyak masa, Tuan Yang di-Pertua. Saya ambil beberapa contoh.

Barangkali tidak tergambar dalam kepala kita seorang Menteri Besar tidak dibenarkan untuk pergi di dalam kawasan dalam negeri yang diperintah sendiri.  Tidak pernah kita terfikir tetapi di Terengganu, seorang Menteri Besar tidak dibenarkan untuk mengadakan perjumpaan dengan rakyat, dengan pegawai dalam kawasan KETENGAH yang dipunyai oleh negeri Terengganu tetapi ditadbirkan oleh Kerajaan Pusat. [Booooo]

Tuan Lim Hock Seng: Ini perpaduankah?

Tuan Mustafa bin Ali: Atas nama Melayu dan Islam tak ada sekerat pun kalau dalam kawasan KETENGAH itu orayang beragama lain daripada Islam tetapi inilah jawapan yang diberikan oleh KETENGAH dengan saya sendiri sangat dukacita  sebenarnya. Surat yang ditulis oleh Setiausaha Kerajaan Terengganu untuk mengadakan satu perjumpaan dengan Menteri Besar negeri Terengganu, hendak melawat KETENGAH, hendak mengadakan perjumpaan dengan rakyat, dengan penghulunya, dengan pegawainya dalam kawasan KETENGAH. Jawapan yang diterima daripada KETENGAH ialah, saya baca Tuan Yang di-Pertua, [Merujuk kepada surat berkenaan] surat yang bertarikh 18 Mac, “Kepada Setiausaha Kerajaan negeri Terengganu, Dialog Yang Amat Berhormat Menteri Besar Terengganu Bersama Pegawai dan Pemimpin Masyarakat di kawasan KETENGAH. Adalah saya dengan hormatnya diarah untuk merujuk kepada perkara di atas dan surat tuan dengan referencenya mengenai Dialog Yang Amat Berhormat Menteri Besar Terengganu bersama pegawai dan pemimpin masyarakat di kawasan KETENGAH – dimaklumkan bahawa arahan Jemaah Menteri tidak membenarkan taklimat dan dialog di antara pegawai dan kakitangan Kerajaan[Boooo] Persekutuan dengan pihak  berkuasa kerajaan negeri Terengganu.”

Seorang Ahli: Zalim, zalim.

Beberapa Ahli: Hoi, malulah.

Seorang Ahli:  Ini demokrasi ya?

Tuan Mustafa bin Ali: Jemaah Menteri [Disampuk] Bukan hanya Perdana Menteri. Ertinya kalau Perdana Menteri mengatakan “Jangan!”, semua Jemaah Menteri menjadi burung kakak tua sekali lagi. [Tepuk][Booo]

Tuan Haji Mahfuz bin Haji Omar:  Termasuk dengan Rompinkah?

Tuan Mustafa bin Ali:  Rompin lagi teruk, Yang Berhormat. [Ketawa]

Beberapa Ahli:  [Menyampuk]

Dato’ Dr. Haji Jamaludin bin Dato’ Mohd. Jarjis: Panas telinga kena. [Ketawa]

Tuan Mustafa bin Ali:  Tuan Yang di-Pertua, saya sebut kalau hendak copy saya akan beri, tidak jadi masalah. Tidak payah diminta saya akan bagi, Tuan Yang di-Pertua, sebagai gambaran bagaimana sikap yang ditanam oleh pemimpin kerajaan hari ini. Ertinya mereka mengajar pegawai-pegawai KETENGAH supaya melakukan diskriminasi, supaya tidak menghormati seorang ketua kerajaan yang dipilih secara sah oleh rakyat dan KETENGAH itu sendiri dalam negeri Terengganu, dimohon secara rasmi tetapi inilah jawapan yang kita terima.

Tuan Yang di-Pertua, saya beri contoh yang kedua.

Tuan Haji Mahfuz bin Haji Omar:  Dengar, dengar.

Tuan Mustafa bin Ali:  Contoh yang kedua, mengenai ini surat daripada Kementerian Pendidikan.

Seorang Ahli:   Waaaaahhhhh…

Beberapa Ahli:  [Menyampuk]

Tuan Mustafa bin Ali:  Mahasiswa UKM hendak mengadakan satu khidmat masyarakat di Terengganu, kebetulan dalam kawasan yang saya wakili di negeri Terengganu. Telah diputuskan bahawa oleh kerana Menteri Besarnya, Menteri Besar negeri Terengganu, kawasan negeri Terengganu minta Menteri Besar untuk merasmikan khidmat masyarakat itu tetapi yang diberitahu kepada kami, ubah, perasmiannya jangan Menteri Besar tetapi Datuk Naib Canselor.

 

          Yang menutupnya, Timbalan Naib Canselor, bukan wakil rakyat dalam kawasan itu, kebetulan saya.  Pelajar-pelajar sudah mengubah, boleh menerima keadaan itu.  Ditambah satu syarat lagi, saya banyak syarat tidak sempat saya nak baca.  Yang ditulis di sini ialah oleh Jabatan Pendidikan Tinggi, saya sebut namanya, Dr. Zaharatulkamar Mahmud, saya pun tidak kenal siapa dia.  Surat ini ditujukan kepada Yang Berbahagia, Prof. Datuk Muhammad Salleh Mohammad Yassin, antaranya memastikan bahawa penganjur program tidak menerima sumbangan daripada Kerajaan Negeri Terengganu ataupun ahli Dewan Undangan Negeri. [Disampuk] Inilah dangkalnya pemikiran.  [Disampuk]

          Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Lim Si Cheng]:   Yang Berhormat, sila gulung.

Dato' Dr. Haji Jamaluddin bin Dato' Mohd. Jarjis:  Tadi dia kata saya batu api, ini batu api juga ini. [Ketawa] Ini bapa batu api kepada Kerajaan Negeri Terengganu.  Saya batu api Rompin, itu batu api Kerajaan Negeri Terengganu.  [Disampuk]

Tuan Mustafa bin Ali:  Memang sifatnya api mudah meletup, Tuan Yang di-Pertua. 

Tuan Haji Mahfuz bin Haji Omar:  Doa saya Dia spark lebih.  [Ketawa]

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Lim Si Cheng]:   Pokok Sena.

Tuan Mustafa bin Ali:  Berapa minit, Tuan Yang di-Pertua.

Timbalan Yang di-Pertua [Dato' Haji Muhamad bin AbdullahDatuk Lim Si Cheng]: Cukup.

Tuan Mustafa bin Ali: Ya.? 

Timbalan Yang di-Pertua [Dato' Haji Muhamad bin AbdullahDatuk Lim Si Cheng]: Cukup.  [Disampuk]

Tuan Mustafa bin Ali: Ya. Terima kasih, Tuan Yang di-Pertua.  Saya mempunyai banyak perkara lagi, tetapi  tidak apalah oleh kerana menghormati Tuan Yang di-Pertua.

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Lim Si Cheng]:  Baik, terima kasih.

Tuan Mustafa bin Ali:  Tetapi  saya belum berhenti, hendak akhir, ayat akhir belum saya sudah.

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Lim Si Cheng]:  Itu ayat akhir, boleh.

Tuan Mustafa bin Ali:   Bahawa gambaran yang diberikan oleh pemimpin-pemimpin Kkerajaan sebenarnya, sikap mereka inilah yang menimbulkan perpecahan.  Mereka menjadi contoh yang tidak baik kepada pegawai-pegawai kerajaan, kepada rakyat, mereka menjadi contoh yang tidak baik kepada pelajar-pelajar universiti.  Mahasiswa universiti yang kita hendak tanamkan semangat persaudaraan, keharmonian, hormat-menghormati, mereka diajar jangan. [Disampuk]  Hormatilah sahaja pemimpin Kkerajaan yang memerintah, bukan orang lain. 

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Lim Si Cheng]:  Cukuplah, Yang Berhormat.

Tuan Mustafa bin Ali:  Menjadikan semua – dengan sikap yang seperti menjadikan pegawai-pegawai semacam orang yang mesti patuh, semacam tidak ada pemikiran sendiri, hatta universiti pun kelihatan jadi macam bodoh terpaksa mengikut arahan yang tidak betul.  Inilah sikap yang ditunjukkan dan ini tidak mungkin kita akan mencapai satu perpaduan yang seperti ini selama sikap ini masih terus dipunyai oleh pemimpin-pemimpin kerajaan. dan sSaya menyerulah supaya ubahlah sikap, supaya kita menjadi orang-orang yang baik, yang menyeru kepada perpaduan dengan amalannya sekali, bukan hanya dengan cakap-cakap.  Terima kasih.  [Disampuk] [Tepuk]