Oleh Pena Suasa

 

Sekadar renungan…

 

DATUK Seri Anwar Ibrahim sudah dipenjarakan lebih dua tahun. Pengaruhnya dalam Umno masih kuat dan “beberapa orang-orangnya” yang selama ini menyangka mereka boleh hidup walaupun tanpa Datuk Seri Anwar ternyata tersilap.

Mereka, yang berpura-pura, hati kepada Anwar tetapi badan bersama Umno dan Datuk Seri Dr. Mahathir ternyata tidak mendapat tempat. Mereka bukan sahaja tidak lagi bergelar YB tetapi mereka yang pernah menang kerusi MT juga kini kecundang.

Lebih malang lagi, yang berusaha untuk kekal sebagai Ketua Umno Bahagian juga tenggelam bersama-sama falsafah perjuangan masing-masing. Bukan ahli-ahli Umno menolak mereka tetapi mereka tidak diterima kerana “berada di dua alam”.

Contoh pertama, Datuk Abu Zahar Datuk Nika Ujang. Dia digugurkan dari menjadi calon Parlimen Kuala Pilah. Dia bukan sahaja hilang gelaran YB tetapi kini dikalahkan sebagai Ketua Umno Bahagian Kuala Pilah oleh seorang wakil rakyat yang baru setahun dua menjadi Adun.

Mengapa tidak Datuk Abu Zahar meninggalkan Umno bersama-sama kes pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim dahulu? Dia bukan sahaja masih bergelar YB mungkin nama dan imejnya tidak terjejas kerana “prinsip menentang kezaliman”.

Contoh kedua, silembik Datuk Dr. Ibrahim Saad yang tewas di tangan Datin Seri Dr. Wan Azizah Ismail di Parlimen Permatang Pauh. Dia bekas Setiausaha Politik Datuk Seri Anwar dan tidak sepatutnya “tidak menunjukkan simpati” kepada bekas boss yang banyak berjasa dalam hidupnya.

Dr. Ibrahim menyangka Dr. Mahathir akan melantiknya menjadi Menteri selepas dia menyanggupi untuk menentang Datin Seri Dr. Wan Azizah tetapi dia dilupakan begitu sahaja. Malahan, dia tidak mendapat pencalonan untuk mempertahankan jawatan Ketua Umno Bahagian Bukit Mertajam.

Dr. Ibrahim memberikan alasan kononnya dia keletihan selepas pilihan raya umum ke 10, 29 November 1999 tetapi hakikatnya, dia tidak boleh membawa dirinya di dalam Umno selepas ketiadaan Datuk Seri Anwar.

Dia menang kerusi MT kerana dia dikenali sebagai orang Datuk Seri Anwar. Dia juga dilantik menjadi Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang kerana dia “orang Anwar” dan jawatan-jawatan lain termasuk Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Negeri Pulau Pinang. Tanpa Datuk Seri Anwar, siapalah Dr. Ibrahim.

Contoh ketiga, Datuk Fauzi Abd Rahman. Kata-katanya jelas menunjukkan dia cukup simpati ke atas nasib yang menimpa Datuk Seri Anwar Ibrahim. Sesekali Datuk Fauzi juga menekankan betapa zalimnya Dr. Mahathir melakukan sesuka hatinya kepada Datuk Seri Anwar.

Malangnya, dia tidak yakin jika dia berada di luar Umno, nama dan imejnya lebih baik lagi. Dia menunggu dalam Umno kerana yakin Umno akan memperbaiki nasib politiknya. Malangnya, dia diajar oleh ahli-ahli Umno dan menyebabkan dia mengumumkan mahu meletakkan jawatan. Walau apapun cara dan strateginya, Fauzi tidak akan dapat memperbaiki kedudukannya dalam Umno. Namanya akan kembali popular dan kembali bermaruah jika dia berada di luar Umno, bersama-sama Datuk Seri Anwar Ibrahim meneruskan perjuangan menentang Datuk Seri Dr. Mahathir yang tidak bertimbang rasa, zalim dan rasuah.

Contoh keempat, Datuk Ruhanie Haji Ahmad, Ahli Parlimen Parit Sulong. Ruhanie sudah mengumumkan tidak akan bertanding apa-apa jawatan dalam pemilihan Umno bahagian itu kerana “tidak menerima pencalonan yang mencukupi” untuk mencuba kerusi Ketua Umno Bahagian.

Ruhanie tidak boleh hidup dalam Umno tanpa Datuk Seri Anwar. Betul, dia naik ketika Umno baru selesai krisis dalam tahun 1988 tetapi selepas itu, Ruhanie dilihat menjadi “orang Datuk Seri Anwar”. Bila dia meninggalkan Datuk Seri Anwar, dia menyangka dia boleh hidup dalam Umno tetapi Dr. Mahathir tidak meneruskan jawatan Pengerusi MARA yang disandang oleh Ruhanie. Kini, Ruhanie hanya menunggu “habis edah” untuk gugur sebagai Ahli Parlimen Parit Sulong.

Contoh kelima, Datuk Dr. Afiffuddin Haji Omar. Selepas tidak lagi bergelar YB, dia juga tidak dapat mengekalkan kerusi MT yang dimenanginya. Paling menyedihkan diri Dr. Afiffuddin ialah apabila dia kalah sebagai Ketua Umno Bahagian Padang Terap dalam pemilihan yang dijalankan pada 21 April 2001 lalu dengan majoriti 19 undi.

Dr. Afiffuddin menyangka dia boleh hidup dalam Umno kerana dia cendikiawan Melayu tetapi dia lupa, dia naik selama ini kerana “dia orang Anwar”. Dia dihormati kerana dia mempunyai rasa simpati yang agak mendalam terhadap Datuk Seri Anwar. Jika dia berada di luar Umno, mungkin hari ini Dr. Afiffuddin seorang Ahli Parlimen BA yang cukup berkesan di Dewan Rakyat.

Baik Datuk Abu Zahar, Datuk Fauzi, Dr. Ibrahim, Datuk Ruhanie dan Dr. Afiffuddin seharusnya mempunyai masa untuk duduk berbincang, mengambil satu keputusan untuk “mengajar Umno” selepas ahli-ahli Umno mengajar mereka secara tidak bermaruah. Tidak usahlah meminta kepada mereka yang tidak memberi dan tidak usahlah merajuk kepada mereka yang tidak sudi. Masa dua tahun lebih, selepas Datuk Seri Anwar dipenjarakan sepatutnya sudah cukup untuk mereka semua merenung kembali…. relevankah lagi Umno ini.

Semua orang percaya, jika kesemua mereka bersama-sama Datuk Seri Anwar sejak hari pemecatan Datuk Seri Anwar, mereka kini cukup hebat. Benar Datuk Ahmad Zahid Hamidi dapat hidup dalam Umno tetapi sedarkah dia bahawa dua anak Bagan Datuh kini menjadi Menteri tanpa menjadi ahli Umno?

Zahid mungkin masih berangan-angan mahu menjadi Menteri tetapi kalau dia kini berada di dalam “kem” Datuk Seri Anwar, dia juga boleh menjadi Ahli Parlimen Bagan Datuh dan mampu mengajar Umno. Zahid mungkin boleh “lari” dari Datuk Seri Anwar tetapi dia tidak akan dimaafkan dengan mudah. Dialah yang memulakan “pergolakan” ini tetapi dia menyelamatkan diri dan membiarkan kawan-kawan lain “terperangkap”.

Dikesempatan yang lain, saya akan mencoretkan kisah Datuk Salamon Selamat dan Tan Sri Muhammad Muhd Taib yang kononnya masih dapat bertapak dalam Umno…. bersambung.