MAHATHIR YANG SEBENARNYA TAKUTKAN DEMOKRASI

PRM merasa hairan mengapa Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Jamil Johari, begitu cepat bertindak berdasarkan semata-mata berita yang tersiar dalam 'Mingguan Malaysia' mengenai demonstrasi jalanan. Katanya, satu laporan polis akan dibuat supaya latar belakang laporan itu dapat disiasat untuk tindakan tegas selanjutnya diambil.

Kami berasa lebih hairan lagi kerana selama ini pihak polis berdiam

diri saja dan tidak mengambil apa-apa tindakan terhadap beberapa laporan polis yang telah dibuat oleh pihak pemuda Barisan Alternatif mengenai korupsi dan perompakan wang rakyat yang dilakukan oleh pucuk pimpinan BN dan kroni-kroni mereka. Yang terakhir sekali ialah laporan polis terhadap Datuk Seri Dr Mahathir, Tun Daim Zainuddin dan Tan Sri Tajuddin Ramli, berhubung dengan penjualan saham MAS.

Barangkali Datuk Jamil merasa sangat terpanggil untuk bertindak cepat

kerana sebelum itu Dr Mahathir telah mengecam keADILan dan berita mengenai demonstrasi jalanan yang kononnya akan diadakan setiap hari untuk menggulingkan kerajaan, sebagaimana yang dilaporkan dalam akhbar. 'Mingguan Malaysia' Hari ini 'Utusan Malaysia melaporkan Dr Mahathir menuduh keADILan takutkan demokrasi.

Kami ingin mengingatkan Dr Mahathir bahawa demokrasi bukan terbatas

hanya kepada proses mengadakan pilihan raya lima tahun sekali. Ia termasuk juga kebebasan akhbar, kebebasan mengadakan ceramah, kebebasan mengadakan perhimpunan secara aman dan bermacam-macam lagi. Melalui media, ceramah dan himpunan, rakyat berhak untuk menuntut supaya kerajaan atau mana-mana pemimpin berundur, bahkan dijatuhkan.

Sekarang ini pemerintah BN mencekik kebebasan akhbar, kebebasan

bersuara dan kebebasan berhimpun bagi rakyat. Ada akhbar atau penerbitan lain yang tidak menyokong BN yang telah ditutup atau dikurangkan pengeluarannya, dan ada permohonan untuk mendapat permit penerbitan yang tidak diluluskan. Begitu juga kebebasan mengadakan ceramah disekat dan ada pula majlis ceramah yang aman disuraikan secara kekerasan oleh pihak polis dengan menggunakan tembakan gas pemedih mata ataupun air berkimia, walaupun terhadap orang perempuan dan orang tua. Cerita mengenai kekasaran dan kezaliman pihak polis terhadap perhimpunan jalanan yang aman memang sudah diketahui umum.

Rakyat berhak menaik atau menjatuhkan kerajaan. Rakyat, terutama sekali

dari parti-parti alternatif, perlu diberi hak bersuara melalui penerbitan sendiri, melalui ceramah dan demonstrasi, kerana pihak pemerintah memonopoli segala saluran media dan cuba menutup ruang demokrasi kepada rakyat yang tidak bersetuju dengannya. Bahkan dalam pilihanraya pun, berbagai penipuan, ugutan dan politik wang digunakan untuk BN menang.

Sebenarnya Dr Mahathir dan BN yang takutkan demokrasi. Mereka menyekat

proses demokrasi untuk menyembunyikan amalan zalim, rasuah dan pilih kasih yang mereka amalkan selama ini. Inilah perkara yang sepatutnya disiasat oleh polis, apatah lagi kerana laporan demi laporan telah pun dibuat. Polis hendaklah bertindak secara profesional.

Dr Syed Husin Ali

Presiden PRM 5hb Mac 2001