SABUAH DRAMA

 

Insiden rampasan senjata ATM yang berlarutan selama 5 hari akhirnya berakhir.Sauk, sebuah pekan kecil tiba-tiba menjadi mahsyur di peta dunia ekoran daripada insiden yang padat dengan aksi setaraf dengan filem-filem Hollywood yang lain. Tidak mustahil pada masa akan datang ianya akan diadaptasikan ke layar perak.

Kronologi atau rentetan peristiwa di Sauk telah mengundang pelbagai andaian dan spekulasi. Penangkapan 27 orang anggota kumpulan Persaudaraan Ilmu Dalam Al Ma'unah belum dapat menyelesaikan misteri di sebalik muslihat rampasan senjata ATM ini. Apakah terdapat suatu 'Grand Design' pihak tertentu dengan perancangan yang khusus?Siapakah mastermindnya? Hakikatnya 1001 macam persoalan yang timbul dan sehingga kini menjadi tanda tanya.Namun begitu, tidak dinafikan terdapat unsur propaganda politik sedang dimainkan oleh pihak-pihak tertentu semata-mata untuk survival politik mereka.Selagi Tok dalang sebenar belum dapat ditangkap dan diheretkan ke mahkamah selagi itulah akan berterusan  insiden siri-siri rampasan senjata ATM di kem-kem tentera.

Sungguh menyedihkan apabila insiden ini turut meragut nyawa seorang komando, Kpl. Matew a/k Medan, seorang anggota SB, Kpl.K. Segadevan dan seorang ahli Kumpulan Al Ma'unah Abdul Halim b. Ali@Ahmad.
Takziah diucapkan kepada keluarga anggota keselamatan yang terlibat.
Mudah-mudahan pengorbanan mereka tidak sia-sia.

Watak-watak utama yang terlibat dengan insiden rampasan senjata ini berkisar kepada PM Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamed, TPM Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, Menteri Pertahanan Datuk Seri Najib Tun Razak, Leftenan Jeneral Datuk Zaini Mohamed Said dan Kumpulan Persaudaraan Ilmu Dalam Al Ma'unah, media massa dan rakyat Malaysia.

Sila renungi dan fikirkan hipotesis ini.Tujuannya adalah semata-mata untuk mencari kebenaran dan keadilan tanpa memihak kepada mana-mana pihak.

1.PM Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamed
Perancangannya untuk mengsabotaj imej parti pembangkang gagal dan  usahanya untuk menguatkuasakan undang-undang darurat turut musnah sama sekali.Kini perhatian rakyat tertumpu kepada tindakan beliau menghalang BPR mengadakan siasatan terhadap Bekas Gabenor Bank Negara Tan Sri Ali Abul Hassan.Tidak terdengar lagi sebarang komen beliau sejak berakhirnya insiden rampasan senjata ini.Mungkin beliau terpaksa merangka suatu strategi yang baru yang lebih real daripada insiden rampasan senjata di Sauk.

2. TPM Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi
  Imejnya kembali pulih setelah mencetuskan kontroversi dengan Jais berhubung penangkapan Azlina and Company di The Ship.Tindakan beliau mempertahankan Azlina and Company telah mendapat kritikan daripada ramai pihak. Kejayaannya membenteras kebangkitan kumpulan Al Ma'unah yang kononnya kumpulan ajaran sesat sedikit sebanyak telah berjaya membersihkan imejnya sebagai Mr. Clean (yang sebenarnya dah tak clean lagi).

3. Menteri Pertahanan Datuk Seri Najib Tun Razak
  Kedudukannya di dalam kabinet semakin tergugat sejak kemenangan beliau dengan majoriti yang rendah, kira-kira 200 undi di Parlimen Pekan ketika pilihanraya Umum yang lepas dan juga kemenangan Parti Keadilan Nasional melalui undi pos di Pilihanraya Kecil Teluk Kemang.
Insiden rampasan senjata ATM semakin menggelapkan harapannya untuk menjadi PM pada masa akan datang. Akhirnya kejayaan ATM menundukkan perampas-perampas senjata telah menyelamatkan maruah serta survival politik  beliau. Namun begitu,diharapkan kenyataannya untuk mengadakan Suruhanjaya Bebas berhubung insiden rampasan senjata ini tidak sekadar melepaskan batuk di tangga.

4. Leftenan Jeneral Datuk Zaini Mohamed Said
  Dinobatkan sebagai hero atau wira negara kerana berjaya menundukkan kepala perompak senjata setelah bergelut dengannya selama kira-kira 10 minit. Tidaklah diketahui jurus apakah yang telah digunakan olehnya ketika berbalas-balas serangan dengan mahaguru kumpulan Al Ma'unah itu. Kini, beliau lebih hebat dan lebih hero daripada wira dunia ke 3 yang kecut untuk ke mahkamah.Walaubagaimanapun kejayaannya sedikit sebanyak telah berjaya menggembalikan maruah rakan-rakan sejawatannya di dalam ATM. Syabas kita ucapkan kepada beliau dan anggota-anggota ATM. Mudah-mudahan pada masa akan datang tidak ada rakan-rakan sejawatannya di dalam ATM yang menjadi alat untuk melindungi survival politik golongan tertentu.

5. Kumpulan Persaudaraan Ilmu Dalam Al Ma'unah
  Kumpulan Al Ma'unah telah dilabelkan sebagai kumpulan ajaran sesat yang ganas dan kejam oleh TPM dan media massa. Sejauh manakah kebenarannya belum dapat dipastikan lagi kerana belum ada mana-mana Jabatan Agama yang dapat mengesahkan dakwaan ini.Pada suatu ketika kumpulan Al Ma'unah ini kelihatan professional daripada tindakannya dan pada suatu ketika pula tindakannya tidak munasabah atau amatur.Kejayaan kumpulan ini memasuki kem-kem tentera serta merampas senjata amat mengkagumkan. Anehnya! tindakan kumpulan Al Ma'unah ini berkubu di dusun durian serta menculik tebusan tanpa membuat sebarang permintaan menimbulkan 1001 macam persoalan.Jihad mereka berjaya ditumpaskan dengan titisan air mata dan rayuan ahli keluarga mereka serta lagu Getaran Jiwa nyanyian Allahyarham Tan Sri P. Ramlee.Keganasan dan kebrutalan mereka akhirnya berakhir setelah mengambil keputusan menyerah diri.Apakah motif sebenar tindakan mereka? Kenapa mereka berbuat demikian? Unsur-unsur x-files ini telah menjadi buah mulut rakyat Malaysia selama sebulan dua ini.

6.Media massa
Kelemahan ketara media massa ketika melaporkan berita insiden rampasan senjata ATM ini semakin ketara. Bagaimana seorang apek pencari durian boleh bertukar kepada seorang renjer atau seorang Melayu pencari durian?
Kredibiliti media massa semakin buruk kerana sering mengubah-ubah laporan berita berhubung insiden ini.Jelas laporan mereka tidak dapat menandingi kehebatan media massa Alternatif yang beroperasi melalui internet. Syabas kepada laman-laman web reformasi kerana berjaya mendedahkan pembohongan pihak-pihak tertentu yang cuba mengaut keuntungan hasil daripada kesusahan orang lain asalkan suvival politik mereka terjamin.

7.Rakyat Malaysia
Kebijaksanaan rakyat Malaysia berhadapan dengan propaganda politik yang cuba dimainkan oleh kerajaan perlu diberikan pujian. Ini menunjukkan mereka tidak mudah lagi diperbodoh-bodohkan oleh sesiapa sahaja.Kini, rakyat semakin cerdik politik.

Kesimpulannya bagi sesiapa yang berminat untuk menjadikan insiden di Sauk sebagai sebuah filem, Sauk The Legend wajar dipertimbangkan sebagai tajuk cerita oleh sutradara yang terlibat. Kepada yang terlibat sekali lagi ingin dinasihatkan supaya sedar dan insaflah dengan politik ala komunis yang cuba didedahkan kepada rakyat Malaysia.Politik sebegini cukup keji dan kejam kerana boleh mencetuskan huru-hara kepada negara. InsyaAllah selagi kita berpegang kepada Al Quran dan Al Hadis selagi itulah kita tidak akan tersesat.