www.harakahdaily.com
Malay Section

MB Terengganu keluarkan surat rasmi dari OSA
Oleh Kamarudin Mat Akib

KUALA TERENGGANU 4 Okt (Hrkh)-Kerajaan Terengganu sekejap tadi(2.30 petang)
mengumumkan tiga dokumen berkaitan isu royalti petroleum yang sedang hangat
dibincangkan di seluruh negara diklasifikasikan sebagai dokumen yang tidak
lagi mempunyai status rahsia rasmi, berkuatkuasa serta-merta.

Menteri Besar, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, ketika mengumumkan perkara
itu di sidang akhbar di Wisma Darul Iman hari ini, berkata langkah itu
bertujuan supaya perkara itu diketahui orang ramai bagi menjelaskan
kekeliruan yang ditimbulkan pihak tertentu berhubung isu royalti petroleum.

Beliau berkata, tindakan itu juga bertujuan mengelakkan rakyat dikelirukan
pihak tertentu berhubung isu tersebut dengan dakwaan kononnya kerajaan
negeri mengada-ngadakan dan meminta sedekah.

Tiga dokumen tersebut ialah Surat Acara di bawah Seksyen 2(2) Akta Kemajuan
Petroleum 1974 yang ditandatangani oleh Menteri Besar Negeri Terengganu dan
Petronas pada 22 Mac di Kuala Terengganu;

Perjanjian bertarikh 22 Mac 1975 di bawah Seksyen 4 Akta Kemajuan Petroleum
1974 yang ditandatangani oleh menteri Besar Negeri Terengganu dan Petronas;

dan Perjanjian melalui surat bertarikh 16 September 1987 yang ditandatangani
oleh Pengerusi Petronas dan Menteri Besar Negeri Terengganu.

Beliau yang membuat pengisytiharan itu mengikut kuasa yang diperuntukkan di
bawah Seksyen 2C Akta Rahsia akta Rahsia Rasmi 1972 (Akta 88) berkata, kini
orang ramai boleh memiliki dan menyimpan dokumen itu dan pengedarannya akan
diuruskan oleh Unit Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri Terengganu.

"Jumlah pengedaran (salinan dokumen) dibuat mengikut keperluan dan terpulang
kepada orang ramai untuk membantu kita (membuat salinan)," katanya ketika
menjawab pertanyaan soalan pemberita berhubung pengedaran dokumen tersebut.

Ustaz Hadi menjelaskan, tindakan mendedah dokumen tersebut kepada rakyat
dibuat bagi menjalankan tanggungjawab kerajaan negeri. "Dengan itu rakyat
boleh baca sendiri sama ada ia (bayaran hasil minyak kepada kerajaan
Terengganu) ehsan atau royati," ujarnya.

Berikut adalah perisytiharan Menteri Besar Terengganu itu:-

Diklasifikasi dokumen rasmi di bawah Seksyen 2C Akta Rahsia Rasmi 1972

Saya Haji Abdul Hadi Haji Awang, Menteri Besar Negeri Terenganu pada
menjalankan kuasa saya di bawah Seksyen 2C Akta Rahsia Rasmi 1972 (Akta 88),
maka dengan notis ini adalah diberitahu bahawa dokumen-dokumen yang tersebut
di bawah ini telah diklasifikasikan, iaitu tidak lagi mempunyai status
rahsia rasmi.

Dokumen-dokumen ini ialah:

1) Surat acara di bawah Seksyen 2(2) Akta Kemajuan Petroleum 1974 yang
ditandatangani oleh Menteri Besar Negeri Terengganu dan Petronas pada 22 Mac
1975 di Kuala Terengganu.

2) Perjanjian bertarikh 22 Mac 1975 di bawah Seksyen 4 Akta Kemajuan
Petroleum 1974 yang ditandatangani oleh Menteri Besar Negeri Terengganu dan
Petronas; dan

3) Perjanjian melalui surat bertarikh 16 September 1987 yang ditandatangani
oleh Pengerusi Petronas dan Menteri besar Negeri Terengganu.

t.t.

Haji Abdul Hadi Haji Awang
Menteri Besar Negeri Terengganu
Dibuat di Pejabat Menteri Besar Negeri Terengganu
2 Oktober 2000.