PAS nak join BN?

Cadangan kepada Mahfuz dan Nasharuddin: Hentikan segera putar-belit jahat ini

Oleh Dinsman

Umno tidak akan menghalang PAS menyertai Barisan Nasional, kata Dr Mahathir. Tiba-tiba saja. Tak semena-mena. Entah mana datangnya.

Tengah sibuk-sibuk orang membincangkan kewajaran dan kebijaksanaan keputusan Ustaz Fadzil untuk berjumpa Dr Mahathir, tiba-tiba saja diktator itu buat kenyataan yang Umno tidak akan menghalang PAS menyertai BN? Bila masanya PAS pernah menyatakan hasratnya nak join BN?

Tak pernah terlintas pun perkara nak join BN itu dalam fikiran pemimpin-pemimpin PAS hari ini. Apa lebihnya BN hari ini daripada BA? Tak ada apa lebihnya, kecuali BN sedang pegang kuasa perintah negara. Itu saja.

Dari segi pengaruh di kalangan rakyat, BA lebih kuat daripada BN. Dan PAS memang pun menjadi komponen utama dalam BA. Jadi apa masalahnya?

Tak ada masalah apa pun. Tunggu saja pilihanraya umum akan datang, tumbanglah BN, dan jatuhlah kuasa memerintah negara itu dari pegangan BN. Maka BA-lah pula yang akan pegang kuasa itu. Jadi, buat apa PAS nak fikir pasal nak join BN?

Inilah strategi jahat Dr Mahathir. Dia kira nak kelirukan orang saja! Dan bila saja Mahathir cetuskan perkara itu, akhbar-akhbar pengampu yang ada pun berlumba-lumbalah buat folow-up berita itu. Jumpa orang itu jumpa orang ini minta komen. Dan saki baki pemimpin Umno dan BN yang masih bergantung pada Mahathir pun apa lagi - berlumba-lumbalah beri komen yang menyokong Big Boss mereka.

Kalau ikutkan siaran media-media pengampu itu, nampaklah seolah-olah PAS yang hendak join BN. Maka nampaklah juga seolah-olah BN itu masih kuat, hingga PAS pun masih nak join dia. Padahal hakikatnya BN dan Umno itu tunggu saat nak ranap saja dah.

PAS pun kalau tak mahu layan jemputan Mahathir itu pun tak apa dah sebenarnya. Dia memang tengah nak jatuh dah. Buat apa nak pergi bincang dengan dia lagi. Tapi oleh kerana PAS ini mempunyai adab dan hemah yang tinggi dan mulia, sebagai parti Islam, mereka sambut juga tangan orang yang tengah nak tumbang itu.

Aleh-aleh dia nak pusing kita pula. Ambil kesempatan nak tunjukkan konon bukannya Umno yang memerlukan PAS, sebaliknya PAS yang memerlukan BN. (Cis!) Padahal hakikatnya siapa yang nak berjumpa siapa? Umno yang nak berjumpa PAS dan KeAdilan. Mahathir yang nak berjumpa Fadzil dan Wan Azizah.

Padanlah pun KeAdilan tolak mentah-mentah jemputan itu! Kononnya nak bincang masalah perpaduan Melayu. Tapi belum apa-apa lagi, tembelang mereka dah pun pecah. Nak pujuk PAS supaya masuk BN rupanya. Itulah tujuan mereka yang sebenar. Bukan nak bincang perpaduan Melayu.

Bilanya yang Dr Mahathir tu minat nak menyatu-padukan orang Melayu? Seperti kata Mahfuz (Ketua Pemuda PAS): yang Mahathir minat bukannya nak menyatu-padukan Melayu, tetapi nak memecah-belahkan Melayu.

Belum lagi pertemuan itu berlangsung, satu perangkap Mahathir sudahpun terbongkar. Tak mengapa. Bagus juga Fadzil dan Nasharuddin lambat-lambatkan pertemuan itu! Kita bolehlah tengok cara permainan Mahathir - jahat tak jahatnya dia.

Satu kejahatan telah terbongkar. Dan bila Nik Aziz menyanggah permainan jahat Mahathir itu, Hamid Man (yang ditolak orang Sik tapi masih nak berlagak ulamak besar) pun ambil kesempatan keluarkan fatwa, konon tindakan Nik Aziz itu tidak Islamik.

Apa ni Mid! Apa yang tak Islamiknya? Menolak satu kejahatan, takkan tak Islamik kot! Kalau orang dakwah ke jalan kebajikan kita tolak, itu memanglah tak Islamik. Tapi ini nak ajak join kumpulan yang menghina agama. Kalau terima ajakan itulah tak Islamik.

Walhasilnya, saya nak buat satu cadangan kepada pemimpin PAS, eloknya Mahfuzlah, sebab dia Ketua Pemuda, ataupun Nasharuddin, sebab dia yang berunding peringkat teknikal sekarang. Cadangannya begini:

Beri amaran kepada pemimpin-pemimpin Umno itu: Hentikan segera cakap-cakap putar-belit jahat pasal PAS nak join Umno ini. Jangan lagi ada media pengampu mereka yang nak buat cerita mengarut ini.

Artikel Sumbangan Dari DetikDaily http://detik.daily.tripod.com/

PENERBITAN PEMUDA 24G, Jalan 4/21D, Medan Idaman, Gombak 53100 Kuala Lumpur
Tel : 03-40243530 Faks : 03-4630372
lutfi_detik@hotmail.com "DETIK DAN Al - WASILAH SUDAH MATI! HALANG PENCABULAN KDN TERHADAP KEBEBASAN MEDIA"