PETIKAN BUKU DISMAN

PAS Jangan Jadi Umno



PAS jangan jadi Umno. Kenapa "PAS jangan jadi Umno"? PAS adalah PAS, dan Umno adalah Umno. PAS tak akan jadi Umno, dan Umno tak akan jadi PAS. Kedua-duanya sangat berbeza. Macam langit dengan bumi. Yang satu berasaskan Islam, yang satu lagi berasaskan sekular. Memang tak akan bertemu antara keduanya.

Memang ada sebab. PAS memang PAS dan Umno memang Umno. Tetapi ada orang PAS lari masuk Umno, dan ramai orang Umno yang sudah lari masuk PAS. Orang PAS lari masuk Umno tak berapa orang. Boleh dikira dengan jari. Lagi pun itu cerita lama. Tak mustahak. Yang mustahak ialah cerita baru. Ribu-ribu orang Umno tinggalkan partinya dan masuk jadi orang PAS. Ini fenomena selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim difitnah dan dianiaya. Fenomena ini sedikit sebanyak telah mengubah senario dalam PAS.

Memang PAS hari ini tak sama dengan PAS dulu. Asas atau dasar perjuangannya masih sama. Tetapi suasana politik Malaysia yang banyak berubah selepas tragedi penyingkiran Anwar Ibrahim itu, telah turut mempengaruhi suasana di dalam PAS. Generasi baru yang secara mendadak meningkatkan jumlah keahlian PAS, mahu tak mahu pastinya mempengaruhi perjalanan organisasi PAS.

Pilihanraya umum November 1999 pun telah membawa keputusan yang mengesahkan bahawa senario politik Malaysia alaf baru adalah satu senario yang baru. Orang Melayu lebih ramai menyokong Barisan Alternatif daripada Barisan Nasional. Dan PAS merupakan komponen utama dalam Barisan Alternatif. PAS mendapat kemenangan besar dalam pilihanraya umum ke-10 itu. Kelantan dikekalkan dengan undi yang bertambah kukuh, dan Terengganu berjaya diambilalih daripada BN dengan majoriti besar.

Terengganu adalah negeri terkaya di Malaysia dari segi hasilnya. Royalti minyak dan gas sahaja antara RM500 juta ke RM600 juta setahun. Sekarang sudah menjadi hak PAS. PAS tiba-tiba sahaja mendapat hak untuk mentadbir kewangan dan aktiviti ekonomi yang besar. Ini adalah satu 'benda' baru bagi PAS, yang pastinya turut mempengaruhi suasana dalaman organisasinya. Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang sebagai Menteri Besar telah mempertahankan gaya hidup dari segi rumah kediamannya. Beliau tetap tinggal di rumahnya sendiri yang sedikit pun tak berbeza dengan rumah-rumah orang kampung biasa. Samalah juga dengan Tuan Guru Nik Aziz yang menjadi Menteri Besar Kelantan. Tetapi bagaimana pula dalam aspek-aspek yang lain?

Betul, tiap-tiap pagi Hadi Awang turun dari rumah biasa rakyat itu, berpakaian seperti pakaiannya sewaktu menjadi rakyat biasa; tetapi memasuki kereta Menteri Besar yang mewah, seperti menteri Umno, dan masuk pejabat Menteri Besar yang mewah, yang diwarisi dari Menteri Besar Umno.

Apa, salahkah?

Tak salah. Tetapi adalah perbezaannya. Dan kata setengah orang, adalah juga persamaannya dengan Umno. Tetapi, sekali lagi, salahkah? Tak bolehkah kalau dalam hal itu ada sedikit persamaan dengan Umno?

Bukan soal salah tak salah atau boleh tak boleh. Tatapi sekadar orang nak bercakap. Saya pun telah menulis mengenai rumah kediaman Menteri Besar Terengganu ini (lihat Bab 7), dan saya bercerita dengan kawan-kawan. Tetapi seorang kawan saya bertanya: "Kereta Menteri Besar dia pakai tak? Pejabat Menteri Besar Umno dulu dia pakai tak?"

"Hai, takkan kereta lama tu pun dia tak boleh pakai," balas saya dengan bertanya semula.

"Takkan pejabat yang dah sedia ada tu pun tak boleh pakai juga?"

"Apa salahnya pakai kereta lama dia," jawab kawan saya

. "Itu kereta peribadi dia. Ini kereta kerajaan. Nik Aziz pun pakai Mercedes juga, kereta rasmi kerajaan." Saya berhujah mempertahankan.

"Bukan Nik Aziz saja. Nik Aziz tu menteri besar, tak apa lagi dari segi itu. Tapi ada juga pemimpin PAS yang lain pakai Mercedes mata belalang juga. Tak jadi menteri pun, tak jadi exco pun. Wakil rakyat biasa saja. Memang kereta dia sendiri. Beli dengan duit dia sendiri. Terpulanglah. Kalau PAS pun boleh terima cara hidup bermewah macam itu, tak apalah. Tapi janganlah nak mengata orang Umno. Dan pemimpin PAS yang aku sebut tadi tu bukan asal orang Umno. Dia terkenal sebagai ulamak sebelum terkenal sebagai pemimpin PAS."

Terdiam saya mendengar syarahan pendeknya. Melihat saya terdiam, dia pun terus bersyarah lagi.

"Kau tanya nak buat apa dengan pejabat mewah Wan Mokhtar tu. Hai, takkan yang itu pun tak tahu? Kalau mahligai Mahathir di Putrajaya, tahu Ustaz Fadzil Noor nak lelong kepada siapa. Takkan yang ini tak tahu nak buat apa? Tapi soal nak buat apa dengan pejabat lama tu tak penting. Yang penting ialah soal sesuaikah Menteri Besar PAS guna pejabat yang mewah begitu? Itu saja. Kalau kau kata itu sesuai, tak payahlah kau nak cerita lagi dengan orang pasal Haji Hadi duduk di rumah macam orang kampung. Tak ada apa istimewanya pada aku kalau dalam masa yang sama dia juga pakai kereta mewah dan pejabat mewah. "

Percakapan dengan kawan saya itu, tak dinafikan, memang meninggalkan kesan dalam fikiran saya.

PAS memperjuangkan cara hidup Islam. Cara hidup Nabi Muhammad s.a.w menjadi contoh bagi cara hidup pemimpin Islam. Saya pun terfikir - diandaikanlah Nabi Muhammad s.a.w hidup pada hari ini, bagaimanakah cara hidup yang akan baginda amalkan? Diandaikanlah baginda yang menjadi menteri besar Terengganu di tempat Hadi Awang itu, akan baginda gunakankah kereta Mercedes Menteri Besar dan Pejabat Menteri Besar warisan Umno itu? (Sekadar berfikir sahaja. Jawapannya memang tak ada yang pasti.)

Ya, percakapan dengan kawan saya itu simpel sahaja. Tetapi ia menyebabkan saya berfikir-fikir akan banyak perkara. Pertembungan antara PAS dengan Umno ini. Seperti dalam soal rumah rasmi Menteri Besar, kereta rasmi Menteri Besar, dan pejabat rasmi Menteri Besar itu. Dan dari situ terfikir juga, bagaimana pula dengan perjalanan rasmi Menteri Besar? Mestikah di tempat duduk kelas satu apabila menggunakan kapalterbang? Dan kalau ditakdirkan nanti menjadi Perdana Menteri, akan digunakankah jet mewah Perdana Menteri Dr Mahathir itu?

Dan saya teringat juga cerita yang masyhur mengenai Ghandi, pemimpin India yang tak ada bandingan pemimpin seumpamanya di dunia. Ketika naik kereta api, orang bertanya dia kenapa duduk di kelas tiga? Dia jawab, "sebab tak ada kelas empat!"

Lalu bagaimana pula dengan penginapan rasmi Menteri Besar, apabila berjalan? Patutkah guna suite mewah di hotel lima bintang, dengan pegawai-pegawai pengiring pun tinggal di hotel yang mahal itu juga? Dan banyaklah lagi soalan-soalan seperti itu. Sekadar berfikir, untuk mencari kefahaman, penjelasan dan kewajaran.

Dan entah macam mana, berfikir-fikir akan hal seperti itu, hingga saya pun terfikir untuk memberi tajuk buku ini "PAS Jangan Jadi Umno".

Sememangnya saya pun mulai mendengar ramai juga orang bercakap mengenai hal ini. Ada yang mengaitkan kebimbangan ini dengan kemasukan ramai bekas ahli Umno. Mereka bimbang ajaran dan sikap materialistik Umno akan dibawa bersama masuk ke dalam PAS. Itu pun tak dapat dinafikan juga. Ada kemungkinannya, kerana ajaran dan sikap materialistik di kalangan orang-orang Umno bukannya satu perkara yang remeh. Ia satu perkara serius. Ajaran dan sikap itu begitu tebal dianut oleh orang-orang Umno. Semacam sebati dengan diri mereka. Tak mungkin mereka dapat menanggalkannya begitu sahaja, seperti menanggal baju.

Tetapi itu tidak bermakna bahawa sikap materialistik itu menjadi satu sikap yang khas bagi orang-orang Umno sahaja. Di kalangan orang-orang PAS pun jangan dinafikan langsung. Ada juga orang PAS yang bersikap demikian. Bukan PAS generasi baru atau orang PAS yang berasal dari Umno. Tapi orang yang memang asal PAS pun. Ada juga yang materialistik. Padahal itu sepatutnya yang membezakan orang PAS dengan orang Umno. Pada pendapat sayalah. Saya faham PAS itu begitu. Tidak materialistik.

Sedangkan Umno, lebih-lebih lagi Umno di bawah Mahathir, sangat materialistik. Dan mengikut fahaman saya juga, kalau orang PAS pun bersikap materialistik, dia tak adalah beza dengan orang Umno. Dia pun jadi Umno-lah tu!

Inilah yang dibimbangkan oleh ramai penyokong kuat PAS hari ini, kerana mereka sudah nampak ada bunga-bunga ke arah itu. Bunga-bunga itu kalau tidak segera ditangani, ia akan membuahkan ahli-ahli yang seperti ahli-ahli Umno. Dan lama kelamaan ia akan menuju ke arah keruntuhan, seperti keruntuhan yang sedang dialami oleh Umno sekarang. Kerana sikap materialistik akan menyebabkan orang itu juga bersikap mementingkan diri sendiri. Dan apabila orang politik mempunyai dua sikap ini, lambat bangat dia tentu akan mengamalkan politik wang. Dan apabila politik wang diamalkan, lama kelamaan jadilah seperti Umno hari ini.

PAS jangan jadi Umno. Ini mesej buku ini. Bukannya apa, sekadar ingat mengingati. Kerana PAS hari ini bukan seperti PAS dulu lagi. PAS sekarang sudah besar. Ahli sudah ramai, dan berbagai ragam. Bukan orang kampung saja. Orang bandar pun ramai. Orang profesional pun ramai. Orang intelektual pun ramai. Orang muda pun ramai. Maka cara berorganisasi PAS pun mestilah disesuaikan. Mesti lebih terbuka kepada pandangan-pandangan yang berbeza. Mesti terbuka kepada kritikan. Jangan jadi macam Umno hari ini yang pemimpinnya pantang ditegur atau dikritik.

Dalam hubungan ini saya pun turut mengalu-alukan kesanggupan, keikhlasan dan keberanian Mohd Sayuti Omar menghasilkan buku terbarunya, Hikayat Tok Guru Dan Tiga Abdul. Kritikannya terhadap pimpinan PAS Kelantan memang pedas dan sekaligus pahit. Isi kandungannya mungkin semuanya betul mungkin ada yang tak betul, saya tak tahu. Dia yang buat kajian, dia yang tahu. Maka pimpinan PAS hari ini harus bersikap terbuka dan positif menerima kritikan-kritikan seperti ini. Kritikan membina tentunya.

Beberapa bab dalam buku ini pula bercerita mengenai Umno. Bukan kerana apa, supaya orang-orang PAS mendapat pengajaran daripadanya. Orang-orang keADILan pun juga. Kita sama-sama belajar.

Artikel Ini Di Petik Daripada Buku Terbaru :PAS Jangan Jadi Umno Karya Dinsman
Penerbit:PENERBITAN PEMUDA
Harga : RM 10.00

Dapatkan Buku Ini Di Pasaran Segera . Cetakan Adalah Terhad !.Sebarang Pertanyaan Mengenai Buku Ini Sila Hubungi 0192796362 (Encik Zabidi Bin Morad )

"DETIK SUDAH MATI! HALANG PENCABULAN KDN TERHADAP KEBEBASAN MEDIA"