TAKLIMAT SAUK: MENGAPA MP BA DI PINGGIRKAN?

Laporan TARMIZI MOHD JAM

 

Kuala Lumpur, Isnin 31 Julai: Ketua Pemuda PAS Pusat yang juga MP Kuala Kedah, Mahfuz Omar kesal dengan sikap kerajaan BN yang tidak memanggil sama ahli-ahli Parlimen dari BA untuk mendengar taklimat wakil Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Pertahanan berkenaan Tragedi Sauk yang diadakan di Bangunan Parlimen baru-baru ini.

 

Katanya, taklimat yang dianggap penting yang membabitkan soal maruah negara dan keselamatan negara itu, tidak wajar hanya untuk ahli-ahli Parlimen dari komponen BN sahaja, tanpa menghiraukan ahli-ahli Parlimen dari BA yang juga diangkat oleh rakyat dan diiktiraf peranannya oleh system demokrasi berparlimen.

 

Sebagai sebuah negara demokrasi, kata Mahfuz, amat malang dengan tindakan kerajaan itu yang langsung tidak mengiktiraf peranan yang dimainkan oleh wakil-wakil rakyat dari pembangkang. Beliau yakin, taklimat itu penting kepada rakyat dan wakil-wakil rakyat yang telah dipilih demi menjaga keselamatan negara.

 

“Soalnya, mengapa kami wakil rakyat dari BA tidak dipanggil? Semua yang dengar taklimat itu wakil-wakil rakyaty dari komponen BN sahaja!” tanya Mahfuz melahirkan rasa pelik dan hairannya dengan sikap kerajaan itu.