KOMENTAR

Salam Reformasi
8-02-2000

RE-FOR-MA-SI,  MANA KITA BERADA SEKARANG?

Keadaan nampak mencurigakan. Badan Bertindak Melayu mula menghentam UMNO. Dalam dunia siber terdapat pula satu laman yang cuba mempengaruhi masyarakat siber dengan cadangan untuk melakukan perubahan kepada UMNO. Malaysia Kini - satu laman surat kabar internet yang di tidak di ikhtirafkan oleh kerajaan dan hampir "gam" oleh Kementerian Dalam Negeri  sekarang mendapat sokongan dari laman web rasmi UMNO (artikel tersebut wujud pada 7-02-2001 kini hilang pula) dan laman reformasi UMNO. Kenapa? Apakah perubahan ini satu kesedaran UMNO atau satu lagi lakunan mereka dalam usaha untuk terus mengekalkan ketuanan UMNO.

Komentar melihat cuba mengkaji perkembangan keadaan semasa. Namun bagi kita yang sudah menerima arus RE-FOR-MA-SI perkara ini seakan satu lagi sendiwara yang mampu kita ketepikan. Tetapi bagi yang masih di atas pagar atau mereka yang belum sempurna menerima "nur" reformasi pasti akan melihat ini sebagai satu perkembangan yang positif di pihak UMNO.

Pelbagai kabar angin dilemparkan kepada kita. Ada yang mengatakan Dr Mahathir tersepit, UMNO di ambang keruntuhan, terdapat golongan yang memperjuangkan reformasi dalam UMNO dan segala bentuk sodokan mimpi manis buat kita yang menuntut reformasi. Yang pasti satu - Anwar Ibrahim masih terpenjara. Tidak ada sebarang perubahan yang nampak positif mengarah kepada pembebasan Anwar Ibrahim. Setiap program kita belum menampakkan bunga-bunga  bahawa  pintu penjara akan terbuka untuk beliau.

Dimana  sebenarnya kedudukan kita? Apakah kita sudah mendaki setapak lagi menuju kejayaan atau sebenarnya berada di takok yang sama. Lagi mengerikan sekiranya kita melangkah kebelakang dan arus RE-FOR-MA-SI semakin mendatar.

Andai hari ini  kita di cabar untuk berarak menuju ke Putra Jaya mendesak Mahathir untuk mengundurkan diri - agaknya berapa jumlah mereka yang  sanggup hadir. Apakah 100,000 pejalan kaki mampu berkumpul di Dataran Merdeka untuk berjalan menuju ke Putra Jaya demi mendesak agar Mahathir untuk undur.

Apakah kekuatan kita sekarang hanya tinggal pada sejarah pegangan RE-FOR-MA-SI tahun 1998? Sungguhpun kita melihat bahawa pelajar-pelajar IPTA/S sudah mula menerima laungan reformasi tetapi siapa sebenarnya yang mempunyai statistik tepat mengenai perkara itu. Kemenangan Badan-badan pelajar yang pro reformasi pada pemilihan wakil-wakli pelajar tidak boleh di ukur sebagai kejayaan kita. Peratus mengundi yang rendah hanya menunjukkan bahawa ramai pelajar yang tidak mengambil peduli senario politik tanahair.

Sekali lagi masa untuk kita bertafakur seketika melihat dimana kita dan Parti dokongan kita berada.

Sekadar terfikir......

 

Komentar