KOMENTAR

Salam Reformasi
15-02-2001

REFORMASI DAN POLITIK, BAGAI IRAMA DAN LAGU?

Bersandarkan artikel sebelum ini "DIMANA KITA" Komentar ingin memberi beberapa pandangan tentang perjalanan perjuangan kita yang sudah mencecah usia 2 tahun dan kini akan menemui tahun 3 Insyallah pada bulan September 2001 ini.

Laluan kita, yang penuh dengan kegemilangan pada awal 1998 dan 1999 nampaknya mengucup sedikit setelah kita lalui proses pilihanraya ke 10 dan menuju ke tahun-tahun 2000 khususnya 2001. Laluan yang di maksudkan penuh kegemilangan adalah apabila kita menempuhi zaman kebangkitan rakyat "RE-FOR-MA-SI". Rakyat sepadu mendesak Dr Mahahtir untuk meletak jawatan. Jeritan BEBASKAN ANWAR merupakan satu jeritan yang sinonim dengan laungan RE-FOR-MA-SI. "Hancur-Hancur-Hancur BN" berkumandang sebaik sahaja parti tertubuh. Sungguhpun jeritan RE-FOR-MA-SI masih jelas berkumandang tetapi isi dan intipati sudah mengorat perubahan. UMNO sudah mula menjadi "target" kita. Ahli UMNO yang senyap bila berbicara tentang isu Anwar Ibrahim hanya melambangkan keakuran mereka kepada jenayah jahat Dr Mahathir yang perlu kita tentang dan  perlu kita singkirkan. UMNO perlu dihapuskan dan penghapusan itu akan dilaksanakan melalui jentera parti. Ya, Parti Keadilan Nasional, PAS, DAP dan PRM menentang Barisan Nasional di gelanggang mereka. Jentera parti yang di tubuhkan pada April 1999, yang diharapkan dapat membawa satu perubahan dalam senario pilihanraya hanya membawa kemenangan pada mengurangkan peratus undi BN.

Sekarang jentera itu diharapkan akan dapat membawa perubahan pada 2004, masih bertempur di gelanggang BN, mengikuti syarat-syarat perlawanan BN dan tata urusan BN. Jentera keADILan mula di kerah untuk melunaskan tuntutan demokrasi dalam parti lantas beberapa urusan politik dalaman perlu di laksanakan. Jangkauan kerja-kerja politik dalaman parti berterusan dari pemilihan yang di buat sebelum pilihanraya ke 10 yakni sekitar Oktober 1999 dan kini akan berulang.  Maka berpolitiklah kita. Maka terdedah kita pada budaya politik dalaman yang sedikit sebanyak di beri tepok sorak oleh BN.

Ini lagu mereka dan mungkinkah kita akan mengikuti rentak tersebut? Sekarang Gerakan jalanan dilaksanakan mengikuti program yang teratur dengan kehadiran kepimpinan parti sebagai semangat untuk melaungkan reformasi di jalanan. Seakan ini satu kemestian untuk menarik kehadiran. Semua mesti mengikuti prosedur, kalau bukan prosedur kerajaan ianya prosedur parti. Lalu perubahan gerakan reformasi jalanan terus mengikuti prosedur-prosedur ini. Lantas gerakan reformasi jalanan turut mengikuti sistem dan cara perjalanan politik. Ada yang hadir juga bukan sahaja melaungkan RE-FOR-MA-SI tetapi juga bagi mendapatkan sedikit "Langkauan Politik".

Persoalan kini timbul, apakah reformasi dan politik umpama irama dan lagu yang tidak dapat dipisahkan?

Rakyat Malaysia,

Biar apa pun tangkapan,pandangan dan penilaian ;- 17hb Feb 2001, hari kita, menuntut semula dengan berani dan tidak berkompromi. Anwar Ibrahim mesti dibebaskan, Mahathir MESTI diundurkan demi menjana perubahan buat Malaysia.

17hb FEB 2001;- REFORMASI BERGEMA SEMULA