LAPURAN REFORMIS LONDON
 
Dialog Masa Hadapan Negara
Imperial College London
3.00 Pm - 29hb April, 2000
 
        Masyarakat Malaysia di kota London pada hari Sabtu yang lepas merasa bertuah
apabila kita telah dapat menghakimi sendiri pergolakan politik di tanahair
apabila Sdr Ezam dijemput untuk berdialog dengan YB. Dato' Dr. Rais Yatim,
Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Sdr Ahmad Azam, Presiden ABIM di dalam
satu majlis yang dipanggil 'Majlis Dialog Masa Hadapan Negara'.
 
        Sdr Ezam dengan tegasnya telah menghuraikan beberapa kepincangan dan
ketidakadilan yang ketara yang telah dilakukan oleh kerajaan Dr. Mahathir.
Beliau menceritakan kembali pengalaman beliau sendiri berkenaan layanan pihak
polis terhadap beliau dan aktivis reformasi yang lain berikutan Peristiwa Black
14 baru-baru ini. Beliau mengkritik keras bagaimana aktivis reformasi
diperlakukan tanpa maruah seperti diletakkan di dalam lokap yang sudahpun lima
kali ganda melebihi had maksimun serta sukar untuk menunaikan perkara-perkara
wajib seperti menunaikan solat, mandi tanpa dibekalkan seurat benangpun sebagai
kain basahan dan sebagainya.
 
        Seterusnya beliau mengutuk Dr. Mahathir yang memulakan fenomena politik dendam
di tanahair bagi mengekalkan kedudukan beliau sebagai Perdana Menteri. Ini
termasuklah penyalahgunaan secara terang-terangan agensi kerajaan dan
penguatkuasaan undang-undang untuk menekan parti dan aktivis pembangkang
terutamanya dari pihak KeAdilan sendiri. Beliau juga berucap mengenai
ketidakadilan politik yang berleluasa seperti permit untuk perhimpunan parti
yang seringkali tidak diluluskan, penerbitan Harakah yang kini disekat hanya dua
bulan sekali, fitnah yang dilemparkan berkenaan keganasan yang dirancang
bersempena Peristiwa Black 14 dan sebagainya. Beliau memberi amaran kepada Dr.
Mahathir bahawa keputusan pilihanraya yang lepas sepatutnya diambil iktibar
bahawa orang Melayu telah memberi amaran kepada pimpinan politik Melayu, yakni
permainan politik perlu ada batas-batasnya dan hendaklah tertakluk kepada ajaran
Islam dan budaya kita sebagai orang Melayu.
 
        Perkara ketiga yang telah dibawa oleh Sdr Ezam ialah mengenai pelbagai kes
rasuah dan penyalahgunaan kuasa yang telah dilaporkan oleh pihak beliau kepada
polis tetapi masih belum diambil tindakan. Sebaliknya kes rasuah Dato' Seri
Anwar yang tidak melibatkan sesen pun telahpun ditangani dengan begitu keras
sekali. Beliau menyebut kes pampasan projek Bakun  yang mana Tan Sri Ting Phek
Khing telah acapkali menemui Dr. Mahathir untuk meminta pampasan sebanyak 600
juta, sedangkan pihak auditor Price Waterhouse Coopers telah membuat kesimpulan
bahawa pampasan adalah jauh lebih rendah dari itu. Ini tidak mengambil kira
hasil penjualan balak di kawasan yang diteroka, yang telah dimasukkan ke dalam
poket Phek Khing sendiri yang dianggarkjan berjumlah ratusan juta. Beliau juga
mengungkap kembali kes-kes penyelewengan lain yang berhubung dengan mereka yang
berada di dalam kerajaan sekarang. Ini termasuklah kes Bank Hock Hua yang
berkait rapat dengan Daim Zainuddin serta penyalahgunaan wang rakyat yang
disalurkan sebagai 'bail out' kepada Renong. Beliau juga membongkar
pertelingkahan yang berlaku di antara Dato' Seri Anwar dengan Ali Abul Hassan
berkenaan penamatan kontrak sebuah syarikat yang ada kaitan dengan Daim bernama
SPANCO.
 
        SPANCO telah diberikan kontrak selama berpuluh tahun untuk menyelengarakan
kereta  kerajaan. Di kemuncak krisis ekonomi dua tahun yang lepas, Dato' Seri
Anwar telah memutuskan untuk mengkaji semula kontrak tersebut memandangkan ia
nampaknya hanya menguntung pihak kroni sahaja sedangkan rakyat bertungkus-lumus
di dalam kemelut ekonomi yang melanda. Keputusan ini telah mendapat tentangan
yang hebat dari Ali Abul Hassan (ketika itu Pengarah Unit Perancang Ekonomi,
Jabatan Perdana Menteri) yang secara terang-terangan nampaknya cuba
mempertahankan kepentingan Daim Zainuddin.
 
        Menurut beliau, ini hanyalah beberapa contoh dan beliau juga telah
membongkarkan penyelewengan-penyelewengan yang dilakukan oleh pemimpin kerajaan
BN yang lain seperti Abdullah Badawi, Daim Zainuddin, Rafidah Aziz dan Rahim
Thamby Chik. Beliau mempunyai bukti akan dakwaan-dakwaan tersebut dan telah
membuat laporan polis, oleh kerana itulah beliau tidak gentar sama sekali untuk
membongkarnya.   Ezam menegaskan kepada hadirin bahawa walau terpaksa ke penjara
sekalipun namun beliau tidak akan berganjak dan akan terus berjuang membenteras
rasuah kerana baginya inilah punca kepada semua krisis politik pada hari ini.
 
        Walau bagaimanapun, dialog yang baru dihangatkan oleh Sdr Ezam dengan cabaran
beliau terhadap kerajaan UMNO dan Dr. Rais menjadi hambar apabila Dr. Rais
MENGELAK seratus peratus daripada menjawab segala tuntutan dan kritikan yang
dibuat oleh Sdr Ezam. Jauh sekali dari berdialog dengan ahli panel yang lain,
sebaliknya beliau membawa topik yang tidak ada kena-mengena dengan perbincangan
ahli panel yang lain.
 
        Beliau banyak mengulas mengenai pentingnya orang Melayu bersatu untuk
mengekalkan kuasa politik orang Melayu sebelum ia berpindah ke tangan kaum lain.
Beliau juga menyentuh bagaimana orang bukan Melayu juga  mempunyai parti politik
yang berlainan tetapi tidak pula mereka bertembung. Lalu saya ingin benar
bertanya kepada Dr. Rais - apakah gebang-gebangnya di antara  MCA dan Gerakan
yang menuduh MCA mencuri ahli-ahlinya terutamanya sejak dua Lim meninggalkan
Gerakan. Tidakkah ini satu pertembungan Dr. Rais?
 
        Dialog berlalu begitu sahaja dan setiap kali beliau berucap, beliau tidak
menyentuh langsung mengenai pendedahan yang dibuat oleh Sdr Ezam. Berkenaan
kezaliman pihak berkuasa terhadap Sdr Ezam dan aktivis reformasi yang lain,
beliau menasihati Sdr Ezam agar bersabar kerana beliau hanya berada di dalam
parti pembangkang selama 2 tahun sedangkan Dr. Rais pernah menjadi pembangkang
selama 10 tahun. Lalu terlintas dihati saya, apakah beliau menasihati Sdr Ezam
agar bersabar dan berkompromi dengan ketidakadilan pemimpin UMNO semata-mata
kerana berharap masanya akan tiba untuk kamu berkuasa. Sedangkan kita langsung
tidak berbicara tentang kuasa. Sdr Ezam juga di dalam kesimpulannya ketika
merumuskan dialog menjawab nasihat Rais tadi dengan nmenegaskan bahawa perkara
ini bukannya bersabit kegilaan kepada kuasa, sebaliknya kita mencari kebenaran
dan keadilan semata-mata.
 
        Mengenai kezaliman berikutan Peristiwa Black 14 dan sebagainya pula, beliau
jelas mewakili taktik kerajaan Dr. Mahathir apabila beliau meminta laporan
dibuat kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia pimpinan Tan Sri Musa Hitam.
Kerajaan UMNO dengan mudah sahaja melepaskan tangan daripada tanggungjawab
mereka berlaku adil terhadap seluruh rakyat jelata dan menyerahkan tanggungjawab
menyiasat ketidakadilan yang mereka lakukan kepada SUHAKAM yang mereka lantik!
 
        Walau bagaimanapun, Dr. Rais ada memberi isyarat yang tersirat bahawa beliau
tidak menafikan pelbagai kekejaman dan kerakusan politi yang telah dilakukan
oleh Dr. Mahathir. Apabila bertubi-tubi diminta mengulas mengenai kezaliman Dr.
Mahathir, beliau langsung tidak menafikan kenyataan para hadirin serta ahli
panel, sebaliknya beliau mengelak lagi dengan mengajak hadirin menghayati
sumbangan Dr. Mahathir. Maka yang tersiratnya ialah beliau bersetuju dengan ahli
panel yang lain dan para hadirin bahawa Dr. Mahathir memang telah
bertanggungjawab membawa porak peranda demi menjaga kepentingan beliau dan
kroni-kroninya.
 
        Apabila dialog berakhir, nampak jelas bagaimana Dr. Rais gagal untuk membaiki
imej UMNO dan Dr. Mahathir - sebaliknya mengiyakan pula kritikan-kritikan Sdr
Ezam. Apabila beliau mengelak seratus-peratus dari menjawab perkara-perkara yang
dibawa oleh Sdr Ezam, nampak jelas bahawa beliau juga bersetuju dengan dakwaan
tersebut justeru beliau tidak menafikannya langsung.
 
        Untuk  menyelamatkan diri daripada keadaan yang semakin tidak selesa, Rais
dengan spontannya mengesyorkan agar ditubuhkan Majlis Melayu yang mana para
pemimpin Melayu dari parti-parti politik kerajaan dan pembangkang dapat bertemu
dan bekerjasama - sepertimana kata beliau "untuk minum kopi". Sdr Ezam menyambut
baik saranan beliau itu tetapi dengan syarat hak-hak parti pembangkang untuk
bersuara dan bergiat diluhurkan dan parti pemerintah haruslah berlaku adil. Para
hadirin jelas nampaknya 'geli hati' apabila Rais merasakan bahawa masalah besar
yang melanda negara kini dengan mudah sahaja boleh diselesaikan dengan 'majlis
minum kopi'.
 
Penonton-penonton yang hadir begitu bersemangat menanyakan soalan, namun mereka
hampa apabila Dr. Rais jelas gagal menjawab persoalan-persoalan yang diutarakan,
sebaliknya Pesuruhjaya Tinggi Malaysia begitu beria-ia mengampu kerajaan dan
merapu.
 
Wassalam.
 
Salam Reformasi dari Kota London
 
 
 
REFORMIS LONDON