DEMOKRASI DAN FEUDALISME
 
Kebanyakan negara di dunia kini menerimapakai sistem
demokrasi sebagai satu sistem yang terbaik. Apatah
lagi bila satu demi satu sistem pemerintahan
tersungkur dan dikapankan. Di Malaysia sendiri, para
pemimpinnya gah melaungkan bahawa negara ini merupakan
semuah negara yang demokrasi bahkan amat demokrasi.
Pemimpinnya demokratik, rakyatnya bebas, dan yang
terkini dari Mahathir - lihat sahaja di Kelantan dan
Terengganu, pembangkang bebas menubuhkan kerajaan.
 
Sebenarnya walaupun kebanyakan negara menerimapakai
sistem demokrasi tetapi pengaplikasiannya cukup
berbeza di antara suatu negara dengan negara yang
lain. Sesetengah negara maju menyamakan istilah
kebebasan dengan demokrasi. Bebas bererti demokrasi.
Semakin bebas rakyatnya semakin demokratik
pemimpinnya. Ada juga negara yang mengamalkan sistem
demokrasi tetapi sebenarnya masih menerapkan unsur
feudalisme. Di Britain contohnya, Ratu England masih
kekal sebagai ketua negara. Malah di Malaysia sendiri
sistem feudalisme merupakan sesuatu yang masih
diamalkan. UMNO memberikan contoh yang paling jelas
tentang bagaimana sistem feudalisme meresap secara
tidak sengaja. Walaupun kononnya parti tersebut
merupakan parti demokrasi tetapi presidennya tidak
dicabar langsung dalam perhimpunan agung. Bahkan
mencabar presiden parti dianggap menderhaka dan
memecahbelahkan parti. Dalam sistem feudal ini jelas
bahawa ketua akan terus memerintah sehinggalah dia
membuat keputusan untuk meletakkan jawatannya.
 
Sistem feudalisme juga jelas dalam kehidupan kita
sehari-hari. Budaya rakyat terutamanya budaya Melayu
meletakkan senioriti atau tahap umur sebagai ukuran.
Dalam sistem keluarga, melawan cakap orang yang lebih
tua dianggap sebagai kurang ajar. Dalam pekerjaan,
arahan mereka yang lebih lama dan berpengalaman
merupakan sesuatu yang tidak boleh disanggah. Agak
menarik, ia juga berlaku dalam UMNO. Mengikut budaya
feudal UMNO, pendapat mereka yang lebih tinggi
jawatannya (terutamanya Sang Perdana Menteri) tidak
boleh ditentang. Kalau ikut falsafah politik,
menentang bererti menempah maut.
 
Perubahan yang melanda angin politik negara membuatkan
ramai yang tertanya-tanya tentang erti demokrasi.
Apatah lagi bila rakyat ditunjukkan secara
terang-terangan tentang betapa diktatornya kepimpinan
negara. Buatlah apa sahaja, semuanya demokrasi asalkan
bukan politik. Bila tiba hal-hal politik yang
demokratik bertukar UMNOkratik - UMNO boleh
pembangkang tidak.
 
Bagi saya, demokrasi total bukanlah bentuk demokrasi
yang sebenarnya. Kebebasan di mana jua tidak wujud
sepenuhnya. Namun ruang demokrasi itu perlu untuk
mewujudkan keseimbangan dan bibit kebebasan. Apa yang
terjadi, ruang demokrasi ini seperti telah ditutup.
Demokrasi seolah-olah hanya nama yang enak tapi
hakikatnya ianya sesuatu yang memeritkan. Menikmati
erti demokrasi merupakan sesuatu yang sukar apabila ia
melibatkan survival politik pemerintah. Demokrasi
hanyalah mainan mulut sedangkan hakikatnya praktiknya
masih feudalisme.
 
Kadang-kala terfikir, kalau mahu mudah, jadi saja
negara feudalisme. Sultannya Mahathir - bendaharanya
Pak Lah Badawi, temenggongnya - Rahim Noor,
syahbandarnya - Rafidah Aziz, laksamananya - Jeneral
Zaini. Mahkamahnya - mahkamah hutan. Keputusan ikut
suka hati pemerintah. Kalau Mahathir mati - anaknya
ambil alih. Turun temurun keturunannya jadi pemerintah
- tak perlu risau. Tak perlu pilihanraya, tak perlu
juga sibuk berfikir tentang penentang dan ancaman
politik. Kalau ada yang degil - pancung saja - tak
siapa yang berani berkata-kata. Nampak seperti
melampau, tapi kalau difikirkan balik, kadang-kala
itulah hakikat Malaysia. Demokrasi tapi feudalisme.
 
 
Student Life
Nadzryan Faqrul
 
 

__________________________________________________