KOMENTAR

Komentar

06.05.2000

 

SATU TAHUN SUDAH BERLALU

Buat Presiden Parti Keadilan Nasional Datin Sri Wan Azizah

 

Buat Datin Presiden yang saya hormati,

 

Meratap masa, masa tidak akan kembali, menjenguk usia, usia tidak akan berpatah muda, meniti lalu sambil merenung kembali maka akan terpancar kedewasaan lantas meningkat kematangan kita. Awas, jangan lupa pada yang ada, jangan sesat di tengah jalan dan jangan leka kepada tujuan. Nasihat, jangan buta pada keadaan, jangan bisu pada kebenaran, jangan khayal pada lagu dan igauan andai “ ya” pantas kita gugur sebelum pentempuran.

 

Medan ini tidak menjanjikan kejayaan, medan ini tidak menjanjikan kemenangan , medan ini tidak menjanjikan kesenangan tetapi yang pasti “ medan ini memerlukan keikhlasan, medan ini perlu ketelusan, medan ini perlu keberanian, medan ini PERLU PENGORBANAN”.

 

Datin Presiden,

 

Lengkap sudah satu tahun penubuhan parti ini. Putaran pantas ini meninggal seribu kenangan dalam perjuangan demi menuntut keadilan, menghapuskan kezaliman dan seterusnya menuntut pembebasan Sdr Anwar Ibrahim.

 

Bagi kami di Komentar, laluan 20 bulan perjalanan perjuangan ini penuh dengan cabaran dan penuh dengan onak durinya.Komentar percaya semua reformis sedar akan susah dan payahnya perjuangan ini namun kami tetap berusaha. Komentar turut sedar akan  kelemahan yang ada namun tetap akan terus berusaha untuk membuka minta rakyat dalam menentukan agar agenda reformasi tercapai demi keutuhan negara ini.

 

Datin Presiden,

 

Kadang-kala ucap Komentar amat lantang, amat tegas dan amat kasar. Komentar mohon maaf. Akan tetapi Komentar bertindak sedemikian agar yang keruh dapat dijernihkan, agar yang kusut dapat dileraikan, agar yang gagal dapat dijayakan, agar kelemahan dapat diperkuatkan, agar perjuangan dapat membuahkan hasil dalam menghapus kezaliman, agar Sdr Anwar Ibrahim dapat dibela dan langkah kita menuju pilihanraya akan datang tidak sumbang, malah gagah ibarat pendekar melayu membela nasib kaumnya.

 

Datin Presiden,

Lihat sekeliling kita, tanya pada diri , rujuk pada hati adakah kita akan dapat bersedia sesampai kita pada tuntutan demokrasi pada pilihanraya 2004 nanti.

 

Adakah jentera kita bersedia, adakah sistem parti kita kental dan mantap dalam kita menentukan kemenangan kelak. Adakah kita sudah mempunyai kekuatan bagi melontarkan  mereka dan sistem mereka jauh dari terus mendera rakyat, jauh dari merosakkan ketelusan sistem demokrasi, jauh dari terus mencabuli kedaulatan undang-undang dan jauh dari sebarang penyelewengan.

 

Datin Presiden,

 

Mungkin kita terlalu ghairah dengan sambutan rakyat yang menuntut reformasi. Mungkin dalam itu kita lupa bahawa kekuatan ini perlu dikekalkan, perlu diperteguhkan dan perlu ditingkatkan kerana lawan kita bukan cicak mengkarung. Semangat kental Sdr Anwar Ibrahim masih sudah sebati dalam jiwa-jiwa mereka yang menuntut keadilan. Semangat ini lah yang menjadi pertaruhan kita. Jangan kita kuburkan semangat ini. Jangan kita simbah api itu dengan air, jangan kita padamkan ia kerana ia adalah agenda kebangkitan rakyat.

 

Datin Presiden,

 

Black 14 telah tamat dengan memberi satu gegaran hebat kepada kepimpinan yang memerintah. Gegaran itu menghantar satu “signal” bahawa reformasi tidak mati. Gegaran itu memberi satu isyarat bahawa rakyat masih menuntut perubahan. Gegaran itu mengemparkan mereka sehingga mereka terpaksa memfitnah program rakyat sebagai satu program merusuh. Siapa yang merusuh ? Dalam program itu mengegarkan negara supaya disegerakan tuntutan reformasi , ia turut mengeletarkan beberapa kepimpinan kita.  Aneh, ini adalah perhimpunan menuntut keadilan. Ianya sah dalam perlembagaan negara dan merupakan satu bentuk desakan yang dibenarkan dalam sistem demokrasi. Kenapa pula beberapa kepimpinan parti harus menolaknya? Kenapa pula beberapa suara sumbang itu mencanangan perkara-perkara negatif kepada Datin Presiden dan kepimpinan tertinggi lain? Mereka cuba sedaya upaya mereka untuk menolak perhimpunan Black 14 kerana program itu berisiko. Mereka mahu memperjuangkan keadilan dan menghapuskan kezaliman dari belakang meja dan di belakang lencana keADILan. Mereka mahu berjuang dengan berpegangkan kepada pangkat dan darjat dalam parti. Mereka gagah bila dipanggil berceramah atau bila bermesyuarat parti tetapi lebih tikus dari tikus bila mahu perjuangan menuntut mereka hadir dengan gagah di jalanraya sambil mendesak perubahan. Tiada kejayaan tanpa perjuangan dan tidak ada perjuangan tanpa pengorbanan. Andai ada antara mereka tidak berdaya mengambil risiko tersebut maka sokonglah dalam diam dan usah menolak kerana takut dilanggar jawatan mereka oleh wira reformasi.

Komentar tegaskan “reformis tidak memandangkan jawatan yang disandang”. “Tidak tahu akan konsep bodek membodek”. “Reformis hanya mahukan sokongan dalam usaha mereka bergerak dan terus mendesak kerajaan agar memenuhi tuntutan keadilan.” Bagi mereka yang tidak berani kehadapan tunggu di belakang bersama “call card” yang membungakan jawatan tinggi dalam parti. Jangan pula menghasut kepimpinan lain khususnya Datin Presiden untuk menolak agenda yang diprogramkan oleh rakyat.

 

Datin Presiden,

 

Sdr Anwar Ibrahim adalah mangsa kezaliman. Semua jentera kerajaan digunakan untuk terus menzalimi beliau. Apakah ini tidak memerlukan pembelaan? Apakah tidak ini menuntut perjuangan ?  Sayang, mereka meletakkan diri mereka sebagai pejuang. Mereka meletakkan diri mereka sebagai pembela. Mereka melaung-laungkan slogan “LAWAN TETAP LAWAN”. Malang, mereka cuba mempengaruhi Datin dengan mewar-warkan bahawa ini adalah percubaan merusuh. Mereka duduk bertangga demi menghalang agar program perhimpunan aman rakyat khususnya Black 14 dihalangi. Suara beginikah yang harus kita dengari, suara inikah yang harus kita percayai, suara inikah pembela bangsa kita kelak dan suara inikah yang menjadi penentu perjuangan.

 

Datin Presiden,

 

Jangan salahkan Komentar apabila perkara-perkara ini ditimbulkan. Hasrat dan cita-cita hanyalah untuk memperkukuhkan parti demi menjana kejayaan. Reformasi Jalanan di teruskan untuk mendesak perubahan, jentera parti bagi memastikan kemenangan bila panggilan pilihanraya menjelang tiba. Kesebokkan mereka bermain politik melekakan mereka dari terus berusaha untuk menyedarkan rakyat keseluruhan tentang perjuangan reformasi ini.

 

Datin Presiden,

 

Izinkan Komentar bertanya sedikit agar tersentap disudut hati semua akan kejayaan kepimpinan beberapa orang yang berjawatan dalam parti.

 

1.       Berapa banyakkah bahagian yang telah ditubuhkan dan SAH pendaftarannya.

2.       Berapa banyakkan cawangan yang telah ditubuhkan dan SAH penubuhannya.

3.       Apakah usaha kita dalam terus memberi kesedaran pada rakyat tentang kezaliman pemerintah. Apakah program balik kampung kita sudah meninggalkan kita dan terus tersemayam dikampung ?

4.       Apakah jentera kita sudah cukup kental untuk bergerak keseluruh negara dengan memberi ceramah dan penjelasan dari sekarang sehingga menjenguk ke pilihanraya akan datang?

5.       Pendaftaran ahli yang masih tidak “efficient” serta pentadbiran organisasi yang masih lagi lemah.

6.       Mampukan Parti bergerak tanpa gerakan reformasi.

 

Datin Presiden,

 

Kelemahan parti sedah jelas dan dengan hanya menutup sebelah mata tidak akan memulihkan kekuatan untuk kita sampai ke pilihanraya akan datang.

 

“ Tidak mahu campur ,buat tidak tahu serta berdiam diri TIDAK pernah dapat membantu mereka yang dizalimi”

 

Datin Sri Presiden, 

 

Bukankah hasil hasutan mereka yang bertangga dihadapan rumah Datin Sri Presiden dan bertangga dengan beberapa kepimpinan birokrasi parti menyebabkan satu kenyataan mengantung semua bentuk perhimpunan amam di capai pada Mesyuarat MPT baru-baru ini. Apakah mereka yang hadir dikelilingi Datin Presiden sebenarnya pejuang atau hanya mereka yang pakar berpolitik dengan slogan “bodek tetap bodek

 

Datin Sri Presiden,

 

Komentar sedar akan kehadiran mereka yang memohon agar Black 14 ini dibatalkan. Komentar tahu dan sedar peranan mereka menghasut Datin Seri Presiden dengan pelbagai input negetif tentang Black 14. Datin Seri Presiden “ dengarlah rintihan pejuang-pejuang jalanan tersebut” Prihatinlah pada mereka yang berjuang menuntut keADILan yang  tersisih jauh kerana kegagalan sistem keADILan.

 

Datin Seri Presiden,

 

Pesanan Komentar

 

Terang bukan bermakna nampak,

Gelap tidak pula dikatakan buta,

Entah siang, mungkin juga malam,

Entah esok mungkin juga lusa,

Jangan terpedaya dengan lakunan sungguh mereka.

 

Komentar pohon maaf