BINGKISAN DARI LONDON

LOKMAN NOOR ADAM

 

 

Assalamualaikum warahmatullah w.b.t.

Maaf di atas kelewatan kami mengutus berita dari Kota London.  Saya telah disambut oleh Sdr Ezam Mohd Nor setibanya saya di Lapangan Terbang  Heathrow, London pada pagi 28hb April, 2000.  Hari pertama kami banyak dihabiskan untuk mencari bahan-bahan bacaan yang tidak bisa diperolehi di Malaysia serta persiapan untuk program jelajah Reformasi Eropah selama hampir dua minggu ini.

29hb April, 2000
Hari kedua kami agak padat dengan  program-program yang telah disusun oleh teman-teman pelajar di sini.  Disebelah pagi kami telah menghadiri Upacara Perasmian Majlis Dialog Masa Hadapan Negara oleh Sdr Ahmad Azam anjuran MISG - ABIM UK&Eire.
Disebelah  petang, Majlis Dialog yang sepatutnya dijadualkan pada jam 2.00 petang  hanya dapat dilangsungkan pada jam 3.00 petang disebabkan kehadiran Dr. Rais yang agak lewat. Dr. Rais bersama Sdr Ezam dan Sdr Azam telah berhujah hampir dua jam dalam program yang cukup hangat  dengan partisipasi penonton.  Selepas selesai program  tersebut kami telah berangkat ke Cambridge University untuk bertemu dengan pelajar-pelajar Malaysia di sebelah malam.  Semangat yang ditonjolkan oleh pelajar-pelajar kita amat membanggakan.  Komitmen mereka untuk mengembangkan sayap reformasi di UK juga amat meyakinkan.

30hb April, 2000
Awal  pagi lagi kami telah berangkat ke London Open School untuk mengadakan pertemuan dengan  sahabat-sahabat FMUKE (Forum Malaysia United Kingdom dan Eire).  Berbagai lontaran minda telah diberikan kepada kami  tentang peranan  yang boleh mereka mainkan untuk membantu gerakan reformasi di tanahair.  Cadangan-cadangan yang  dibuat telah kami rakam untuk dibentang dalam Mesyuarat Pemuda KeADILlan kelak.

Disebelah tengahari kami telah bertemu dengan pelajar-pelajar  di LSE (London School of Economis) dan beberapa PR  untuk membincangkan tentang  usaha menubuhkan sebuah badan yang boleh mengembangkan sayap KeADILan di London.  Selepas perbincangan  tersebut kami telah bertolak ke Manchester untuk pertemuan selanjutnya.  Setibanya kami di sana, kami telah dihidangkan dengan jamuan makan malam, kami juga turut dimaklumkan oleh pelajar di sini bahawa perjumpaan Datuk Nazri Tan Sri Aziz hanya dihadiri oleh 20 orang  iaitu 2 pelajar bukan Melayu, 8 kakitangan MSD dan 10 pelajar Melayu.

1hb Mei, 2000
Pagi ini kami telah mengadakan perjumpaan tertutup dengan "hard core" reformasi  di Manchester untuk membincangkan sumbangan yang boleh mereka lakukan  untuk memantapkan gerakan Reformasi antarabangsaa dan berhubung dengan penubuhan sebuah badan KeADILan di UK.

InsyaAllah, laporan lanjut mengenai program-program  di sini akan kami laporkan  dari masa kesemasa.

"PEMUDA PEMANGKIN GERAKAN REFORMASI"
LOKMAN ADAM
OT31/98