Oleh Ummu Natasya

 

Dr. Mahathir Vs Daim: Siapa masuk penjara?

 

PERTEMBUNGAN dua kuasa besar dalam Umno akan menyaksikan sekali lagi perpecahan yang tidak dapat disangkal. Percutian Daim Zainuddin tetapi masih ke pejabat dan masih mahu menghadiri persidangan di luar negara penuh dengan tanda tanya. Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad tidak dapat menyembunyikan keresahannya dengan menyindir Daim dengan kata-kata “orang terlalu kaya” tidak perlu bertanding dalam Umno.

Dr. Mahathir Mohamad tahu, dia akan terperangkap dengan Daim kerana jika dia lambat bertindak terhadap Menteri Kewangan yang cukup kaya dan licik ini, dia akan dipenjarakan seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim. Daim mampu melakukannya dengan bantuan Abdullah Badawi.

Daim Zainuddin pula turut bimbang jika dia tidak menjatuhkan Dr. Mahathir Mohamad dalam masa yang singkat, dengan menonjolkan Abdullah Badawi sebagai Perdana Menteri, dia juga akan dipenjarakan oleh Dr. Mahathir.

Kenyataan Zainal Abidin Zin (Timbalan Menteri Dalam Negeri) yang mengatakan “permainan politik wang” boleh ditahan di bawah ISA sebenarnya sindiran kepada Daim Zainuddin yang akan ditahan di bawah ISA dalam masa yang terdekat. Pemilihan peringkat bahagian bukan “fokus” tetapi dikhuatiri “politik wang” akan menjatuhkan Perdana Menteri Malaysia. Zainal Abidin Zin tentunya sudah diarahkan bersedia…untuk melakukan sesuatu yang agak besar. Kini, berlaku pertembungan, kuasa Daim (yang pernah disifatkan oleh Dr. Mahathir sebagai “too strong) dengan kuasa Dr. Mahathir.

Daim tidak akan berhenti selagi Dr. Mahathir tidak berhenti. Dr. Mahathir mahukan Daim berhenti tetapi Daim mahukan Dr. Mahathir juga berhenti. Daim mahu menjadikan Abdullah Badawi sebagai “boneka” jika dia dapat menumbangkan Dr. Mahathir. Ada kuasa besar di belakang Daim sekarang dan mesyuarat demi mesyuarat sudah dijalankan untuk pertembungan ini.

Tangkapan ISA terhadap sembilan ahli keADILan adalah “kambing hitam” yang sengaja dilakukan untuk turut mengISAkan seseorang pemimpin besar, dari Umno. Pertembungan ini akan menyaksikan siapa menang, antara Dr. Mahathir-Daim/Abdullah Badawi.

Dr. Mahathir melantik Tan Sri Ali Abul Hassan Sulaiman sebagai penasihat ekonominya. Maknanya, Daim sudah tidak berperanan lagi kepada Dr. Mahathir. Mana ada sejarah orang bercuti boleh masuk pejabat, teliti dokumen dan menghadiri persidangan? Mana ada sejarah, orang bercuti boleh rasmi itu dan rasmi ini?

Abdullah Badawi juga seharusnya tidak mudah terlena dek buaian Daim. Jika dia tidak berhati-hati, dialah salah seorang TPM yang akan merengkok dalam penjara bersama-sama Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sukar untuk mempercayai “pertembungan” ini tetapi, ia bukan mustahil. Dr. Mahathir sudah menunjukkan rasa tidak minatnya kepada Daim dan Abdullah Badawi. Kita, tunggu, mungkin esok, mungkin lusa, ada Menteri dan mungkin Timbalan Perdana Menteri akan ditahan di bawah ISA. 

Allah maha berkuasa. Suatu hari dahulu Daim merancang untuk memenjarakan Anwar Ibrahim dan kini, dia tersepit. Apakah selepas dia berjaya memenjarakan Anwar, dia juga akan berjaya memenjarakan Dr. Mahathir?

Begitu juga Dr. Mahathir, suatu ketika dia berjaya memenjarakan Anwar, bukankah lebih mudah untuk dia memenjarakan Daim pula?

Jika Anwar boleh dipenjarakan, siapalah Abdullah Ahmad Badawi di kaca mata Dr. Mahathir?