Cina buta - ubat mustajab untuk BA?

Dalam masyarakat melayu kita biasa mendengar "Cina buta". Mungkin ada yang kabur dengan ungkapan ini. Sebenarnya perihal "Cina buta" ialah situasi di mana seseorang lelaki A telah mentalak isterinya sebanyak tiga kali, kemudian bekas isterinya ini berkahwin dengan lelaki B dan lelaki B ini kemudiannya menceraikan isterinya agar si isteri tadi dapat berkahwin dengan lelaki A kembali.

Mengikut ajaran Islam kahwin yang semacam ini termasuk dosa besar dan mungkar yang diharamkan oleh Allah dan orang yang melakukannya mendapat laknat daripada Allah SWT. Daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda maksudnya: "Allah melaknat muhallil (yang kahwin cina buta) dan muhallalnya (bekas suami yang menyuruh orang menjadi muhalil) (Riwayah Ahmad)".

Bagaimanapun di dalam konteks politik di Malaysia, konsep "Cina buta" mungkin adalah jalan yang mustajab bagi mengatasi kemelut perpindahan ahli parti sepertimana yang sedang berlaku di dalam BA sekarang ini.

Rasanya ramai yang sudah tahu tentang terdapatnya beberapa bekas ahli DAP dari Pulau Pinang yang ingin menyertai keADILan. Sebenarnya bukan di Pulau Mutiara ini sahaja tetapi terdapat ramai bekas ahli DAP dari negeri lain ingin memasuki keADILan. Permohonan bekas-bekas ahli DAP ini bagaimanapun masih belum di terima oleh keADILan kerana terdapat bantahan dari pucuk pimpinan DAP.

Bantahan ini timbul kerana di awal episod penyatuan parti-parti pembangkang ke dalam BA, DAP awal-awal lagi meletakkan syarat bahawa mana-mana ahli yang keluar dari parti-parti pembangkang BA tidak boleh menyertai parti yang turut berada di dalam BA. Syarat ini akhirnya secara 'paksa-rela' terrrpaksa di terima oleh parti-parti komponen BA yang lain.

Apa sebenarnya motif DAP di sebalik syarat tersebut?. Mungkinkah DAP takut kehilangan ahli politik yang berkaliber? Lantas apabila bekas ahli DAP memasuki keADILan maka mungkin keADILan menjadi bakal menjadi sebuah parti yang paling unggul? Itukah yang di khuatiri DAP?

Pada pendapat saya syarat yang di letakkan oleh DAP ini adalah satu syarat yang sangat bodoh, bangang, biol lagi keterlaluan. Syarat ini jelas menafikan hak seseorang untuk menyertai mana-mana parti yang serasi dengan perjuangannya. Malah syarat seperti ini sangat kontradiski dengan semangat Malaysian Malaysia yang di laung-laungkan oleh DAP. Juga syarat seperti ini hanya akan menyempitkan perjuangan BA untuk memacu Malaysia ke arah sistem politik yang lebih demokratik.

Justeru saya menyeru kepada para pemimpin BA untuk memikirkan kembali syarat bengong ini. Andai mahu di teruskan juga maka sudi saya mencadangkan agar konsep "Cita buta" di perkenalkan untuk mengatasi masalah biol seperti ini. Biarkan bekas ahli DAP memasuki MCA atau Gerakan atau mana-mana parti bebas. Kemudian biarkan ahli tersebut di 'ceraikan' dan kemudian barulah ahli tersebut masuk ke dalam parti keADILan.

Lawak sangatkah saranan saya ini?. Terpulanglah.

Hakikatnya ramai penyokong BA tidak mahu melihat konflik remeh-temeh seperti isu perpindahan ahli parti ini menjadi batu penghalang untuk BA meneruskan perjuangan. Hakikatnya ramai penyokong BA tidak mahu konflik bodoh seperti ini berpanjang dan berlarut-larutan sehingga menjejaskan prestasi BA. Hakikatnya ramai penyokong BA mahukan BA menjadi wadah perjuangan alternatif yang terbaik untuk rakyat Malaysia.

Sekian sahaja dahulu. Salam perjuagan dari saya.

 

Sumber20lerrr ramli@freeanwar.com