Cili Api 171 (28hb Mac 2001)

Samy Vellu Dengan Autanya

Cili Api perhatikan apabila ada pilihanraya atau tragedi menimpa masyarakat, baru Samy Vellu sibuk hendak membuktikan beliau berusaha tunggang terbalik untuk membawa projek-projek pembangunan kepada rakyat. Semasa pilihanraya kecil Lunas tempoh hari, beliau belanja berjuta-juta ringgit untuk menurap jalan, menambak lorong, menggali parit, menabur wang dan macam-macam lagi. Dia sangka dengan menyogok rakyat boleh menang. Kita tahu apa telah jadi.

Sekarang, selepas tercetus keganasan di Taman Medan, yang mengakibatkan kematian serta kecederaan yang banyak, beliau sekali lagi cuba hendak membawa pembangunan. Tak habis-habis dia membuat kenyataan dan mempamerkan diri dalam media bahawa beliau sedang meminta wang daripada Menteri Kewangan dan merancang projek-projek. Dia sanggup mendakwa dalam 45 hari semua masalah dapat diselesaikan. Sekali lagi Samy sangka dengan menyogok rakyat mereka akan terus menyokongnya.

Cili Api hendak puji juga usaha rajin Samy, walaupun muslihatnya boleh dipersoalkan. Sehubungan ini Cili Api hendak tanya tiga soalan.. Pertama mengapa sekarang baru hendak bercakap tentang pembangunan di Taman Medan. Mengapa selama berpuluh tahun BN memerintah kawasan ini ditinggalkan terbiar saja? Kedua mengapa bila ada pilihanraya dan tragedi menimpa baru sibuk-sibuk hendak tolong rakyat? Mengapakah selama-lamanya lebih mementingkan projek-projek mega saja, yang mengkayakan golongan kroni dan tidak menguntungkan rakyat jelata?

Ketiga, cuba Samy beritahu secara terbuka berapa banyak sebenarnya wang rakyat yang telah digunakan untuk membangun kawasan miskin di bandar? Kemudian, cuba banding dengan pembaziran wang rakyat juga untuk projek mega yang membusungkan perut Samy dengan wang rasuah?

Daripada cerita-cerita yang Cili Api dengar, ramai orang di Taman Medan tidak begitu percaya dengan janji-janji Samy yang bertaburan sekarang. Bahkan orang India sendiri pun (termasuk beberapa pemimpin MIC tempatan) tidak begitu yakin. Mereka lebih percaya kepada para pemimpin BA, yang tidak membuat apa-apa janji. Khabarnya Samy tahu tentang hal ini. Beliau sangat gelabah dan pusing kepala.

Hal inilah yang mendorong Samy membuat tuduhan gila-gilaan bahawa kononnya ada golongan yang menentang BN menggunakan anasir samseng untuk melakukan keganasan di Taman Medan dan kawasan sekitar. Secara baling batu dan sembunyi tangan, Samy cuba hendak menyalahkan parti-parti BA. Cili Api lihat Ketua Polis Negara pun tidak percaya dengan dongeng Samy ini. Hey Samy, mengapa takut berterus terang?

Cili Api tahu tidak siapa mahu percaya atau takut kepada auta Samy Vellu.

Cili Api