Cili Api 170 2hb Mac 2001

Sudah Cukuplah DAP-Keadilan

Cili Api lihat media perdana yang dikuasai UMNO dan MCA, seperti Utusan Melayu, NST, Nanyang, TV3 dan lain-lain sudah menjadi saluran penting bagi propaganda DAP. Peranan yang dimainkan oleh media ini lebih besar daripada yang mampu dimainkan oleh lidah rasmi DAP sendiri, Roket. Mereka memang mencari peluang memburuk-burukkan parti-parti dalam BA.

Tak tahulah sama ada pucuk pimpinan DAP atau pucuk pimpinan UMNO dan MCA yang rasa senang hati. UMNO mungkin gembira kerana musuh utamanya, Keadilan, menjadi sasaran kecaman DAP. MCA pula mungkin mengurut dada sebab cerita besar dalam akhbar Cina sudah beralih daripada perpecahan dalam MCA kepada percakaran DAP dengan Keadilan.

Apabila Cili Api baca Roket, Cili Api dapati berbagai-bagai artikel dan kenyataan pemimpin DAP yang mengkritik kerajaan BN dan MCA terutama sekali. Sebagai seorang penyokong reformasi dan BA,Cili Api berasa besar hati. Akan tetapi, sekarang ini bila Cili Api baca Utusan, NST serta Nanyang dan dengar pula TV3, Cili Api rasa sangat hiba, sebab banyak betul laporan tentang DAP menghentam Keadilan. UMNO dan MCA tak payah buat apa-apalah.

Sekarang ini hampir semua pemimpin besar DAP, termasuk Lim Kit Siang, Karpal Singh, Kerk Kim Hock, Lim Guan Eng, Chen Man Hin dan ramai lagi telah menembak senapang patah mereka terhadap Keadilan. Bunyi senapang patah itu dibesarkan pula dalam media pengampu BN dan Dr M @ Cek Det itu semacam tembakan meriam katak.

Cili Api rasa sudah cukuplah. Baiklah DAP berhentikan sekarang serangan mereka terhadap Keadilan. Jikalau DAP berniat cuma hendak tunjukkan rasa kurang senang atau marah kepada Keadilan, rasanya sudah melebihi daripada cukup. Cili Api berpendapat sepatutnya perkara ini diselesaikan secara perbincangan dan perundingan tertutup. Satu dua kenyataan terbuka sudah memadai.

Cili Api memang simpati kepada DAP sekiranya ada parti sahabat yang mencuri hidup-hidup anggotanya. Tetapi bagaimana dengan ahli yang sudah mati hubungannya dengan DAP? Tidakkah mereka mempunyai hak asasi untuk keluar parti dan masuk parti lain? Daripada mereka masuk MCA, Gerakan atau MIC, bukankah lebih baik mereka masuk Keadilan, PRM dan, kalau boleh, PAS juga? Bak kata wakil rakyat DAP dari Nibong Tebal, mereka cuma tukar bilik dalam rumah yang sama, bukan begitu?

Lim Kit Siang kata dia sedih sebab Keadilan mungkit kepada janji yang telah disetujui oleh pemimpin-pemimpin BA tidak akan menerima ahli DAP yang terlibat dengan kontroversi. Itu betul juga. Tapi bagaimana jikalau tokoh-tokoh kontroversi ini boleh disekat daripada menggunakan parti yang mereka baru masuki sebagai platform untuk mengkritik parti yang telah mereka tinggalkan?

Cili Api sedih kerana kontroversi antara DAP-Keadilan ini boleh menjejaskan imej BA. Keadilan hendaklah berhati-hati apabila menerima ahli baru dari kalangan bekas anggota DAP. Dalam pada itu Cili Api tertarik juga dengan pandangan Ketua Pemuda DAP, Teng Chan Kim, bahawa DAP perlu kaji mengapa ramai ahlinya keluar dan memohon menjadi ahli parti lain.

Cili Api