Cili Api 169 (25hb Februari 2001)

Sandiwara Lawak Yang Sedih Bagi UMNO

Cili Api baca sebuah akhbar yang melaporkan Datuk Mustapha Mohamed, Pegawai Penerangan UMNO, sebagai berkata beliau beranggapan PAS memang tidak mahu menyertai pertemuan perpaduan Melayu yang dirancang oleh UMNO. Beliau membuat kenyataan tersebut berdasarkan prasyarat yang dikemukakan oleh PAS. Boleh jadi anggapan Mustapha itu tepat.

Nampaknya para pemimpin UMNO, sampai ke puncaknya, bukan main bersedih lagi kerana mungkin pertemuan ini tidak akan jadi sama sekali. Sia-sialah segala propaganda yang telah mereka sediakan, seandainya pertemuan itu berjaya diadakan. Itu sebab Dr M @ Cek Det sendiri nampak berlakon begitu lembut dan rendah diri sekali di hadapan kamera TV. Datang dululah untuk pertemuan. Kita boleh bincang apa saja. Soal Anwar pun boleh. Mengapa mesti tetapkan syarat dulu? Begitulah lebih kurang rayu Cek Det.

Sekarang Cek Det, melalui pemimpin UMNO dan media pengampunya cuba pusing terbalik segala propaganda yang dirancang terlebih awal. TV dan akhbar tak habis-habis kini cuba menyebar fitnah konon Presiden PAS, Ustaz Fadzil Noor, menerima tekanan dan PAS tidak bersatu-padu. Mereka menyerang PAS kerana kononnya berdalih mengenakan syarat selepas syarat.

Cili Api hendak ingatkan, supaya kita tidak lupa, bahawa yang mula-mula meletakkan syarat ialah UMNO sendiri. Cek Det kata, tak boleh bincang lain, bincang tentang perpaduan Melayu saja. Bukankah ini syarat? Itu sebab keADILan tolak jemputan UMNO bulat-bulat. Apabila PAS kata pertemuan itu mesti diperluas untuk membincangkan perpaduan nasional, Cek Det jawab lebih kurang begini: okay, kita bincang apa saja soal yang berkaitan dengan perpaduan Melayu. Tetapi setakat mana Cek Det boleh dipercayai? Sejauh mana dia ikhlas?

Sebenarnya, tiga prasyarat PAS dikemukakan adalah untuk menguji sama ada UMNO ikhlas dan serius. Syarat itu ialah: mengembalikan royalti minyak, memulihkan pengeluaran Harakah dua kali seminggu, dan menolak rancangan pemerintah tidak mahu membenarkan penggunaan perkataan “Islam” untuk parti. Ada pemimpin UMNO berkata ini urusan kerajaan, bukan UMNO. Tapi bukankah UMNO parti terpenting dalam kerajaan? Bukankah Presiden UMNO juga Perdana Menteri? Jikalau ikhlas terima sajalah.

Berulang-ulang Dr M @ Cek Det kata orang Melayu sudah berpecah. Selepas himpunan Takkan Melayu Hilang di Dunia, beliau mendakwa orang Melayu sudah berpecah empat pula. Pelik juga, mengapakah Dr M @ Cek Det masukkan keADILan sebagai salah satu daripada empat golongan Melayu ini? Bukankah Dr M @ Cek Det kata parti tersebut bukan parti Melayu? Dia pesongkan Dr Wan Azizah, Presiden keADILan, yang berkata parti itu bukan untuk orang Melayu saja, bahkan terbuka kepada bukan Melayu juga.

Jikalau betul sudah ada empat pecahan orang Melayu, mengapakah Cek Det tidak mahu undang semua sekali untuk pertemuan perpaduan Melayu. Cili Api faham mengapa dia tidak mahu BBM yang dipimpin oleh Ibrahim Katak Lompat. Tetapi mengapa mahu PAS saja? Ahem, ahem! Ada udang di sebalik batukah?

Cili Api