Cili Api 168 (21hb Februari 2001)

UMNO dan BN Pecah-belah

Cili Api lihat UMNO, BN dan media yang mereka kuasai semuanya sedih dan gelabah kerana pertemuan PAS-UMNO, konon untuk perpaduan orang Melayu itu, sudah ditangguhkan. UMNO telah buat persiapan untuk berpesta. Tapi nasib tak baik.

Kononnya pertemuan itu untuk mencari perpaduan Melayu. Betul-betul ke? Cili Api dengar sebenarnya UMNO berharap jika pertemuan ini berjaya ia akan dapat menguatkan kedudukan Dr M @ Cek Det dan memulihkan pengaruh UMNO. Selain itu ia diharap boleh mengalihkan pandangan rakyat dari soal kezaliman serta korupsi pucuk pimpinan kerajaan BN dan juga kesulitan rakyat akibat kejatuhan harga hasil pertanian dan kenaikan harga barang keperluan harian. Jikalau nasib lebih baik, mereka bermimpi hendak memecahkan perpaduan BA dan menimbulkan kacau di kalangan para anggota serta penyokong PAS.

Apa boleh buat? Buat sementara ini harapan dan impian UMNO serta segelintir pemimpinnya sudah berkecai, walaupun belum berderai lagi. Sebaliknya, Cili Api lihat kedudukan PAS dan BA semakin kuat dan mantap. Pada petang 19hb Februari, hari pertemuan PAS-UMNO yang dijadualkan itu gagal, parti-parti dalam BA, iaitu PAS, keADIlan, PRM dan DAP, mengadakan pertemuan mereka sendiri.

Cili Api dengar pemimpin-pemimpin PAS memberi taklimat kepada para pemimpin parti-parti sahabat. Lepas itu mereka mengadakan sidang media. Khabarnya ramai wartawan hadir. Beberapa akhbar mengeluarkan berita kecil saja. Sesetengah media milik UMNO-BN menggelapkan berita ini sama sekali. Ini memang boleh didugalah. Daripada sedikit-sedikit berita yang keluar itu Cili Api dapat mengumpul sedikit maklumat.

Nampaknya BA menyokong tindakan PAS dan mengulangi jemputan kepada UMNO-BN untuk menyertai sebuah sidang meja bulat bagi membincangkan soal-soal genting berhubung perpaduan nasional. Selain itu BA juga mengecam tindakan ganas polis menyuraikan perhimpunan aman, majlis ceramah dan walkathon yang diadakan di Kubang Pasu, Kuala Lumpur, Sabak Bernam, Kulim dan Gurun. Beberapa orang telah ditangkap. Adakah polis bertindak sendiri, atas perintah Dollah Badwi atau atas arahan Dr M @ Cek Det kepada Dollah Badwi?

Sementara BA bertambah utuh, UMNO semakin runtuh. Dr M @ Cek Det berkata orang Melayu berpecah empat. Sebenarnya yang berpecah empat itu bukan orang Melayu, akan tetapi orang UMNO. Tak lama lagi berkeerat tujuh pula. Sekarang ini bukan UMNO saja berpecah. MCA pun mulai belah. MIC tak usah kiralah. Mereka memang sudah lama berpecah-belah. Samy Vellu, Kayveas dan Pandithan memang tak pernah berlaga angin.

Cili Api tunggu saja perkembangan. Mungkinkah Cek Det akan tenggelam sebelum hujung tahun ini? Bolehkan Dollah Badwi menggantinya? Akan berubahkah nasib rakyat dengan dasar-dasar kerajaan yang ada? Beranikah Dollah badwi buat reformasi?

Heh! Heh! Heh! Cili Api